BUNUH PEROGOL, WANITA INI BAKAL DIPENJARAKAN
MEXICO – Seorang wanita muda berusia 21 tahun kini bakal
berdepan dengan hukuman penjara selama 30 hingga 60 tahun penjara atas pertuduhan
membunuh seorang lelaki yang telah merogolnya. Wanita yang dikenali sebagai
Roxana Ruiz itu dipercayai melakukan pembunuhan tersebut di rumahnya sendiri
pada 8 Mei lepas.
Sebelum kejadian berlaku, Roxana dikatakan pergi ke sebuah
bar untuk bertemu dengan seorang rakan wanitanya. Selesai pertemuan tersebut, Roxana
disapa oleh seorang lelaki bernama Cruz yang menawarkan diri untuk menemaninya berjalan
pulang ke rumah. Kedua-dua mereka dilaporkan saling mengenali antara satu sama
lain atas urusan perniagaan. Setibanya di rumah Roxana, Cruz merayu untuk
bermalam di situ dengan alasan rumahnya terlalu jauh untuk perjalanan pulang
pada waktu lewat malam sedemikian. Kesilapan besar yang dibuat oleh Roxana, dia
bersetuju untuk membenarkan Cruz tidur di rumahnya. Mereka berdua tidur
sebilik, namun Cruz tidur di atas lantai.
Apa yang berlaku kemudian, Roxana yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 4 tahun telah dibelasah sebelum dirogol oleh Cruz. Roxana yang tidak berputus asa melawan akhirnya dapat memukul bahagian hidung Cruz. Roxana yang benar-benar berasa marah seterusnya melilit bajunya pada leher Cruz. Maka Roxana pun mencekik Cruz sampai mati. Sesudah Cruz mati, mayatnya yang dimasukkan ke dalam karung telah dibuang di tepi jalan raya berdekatan dengan lokasi kejadian. Roxana bagaimanapun ditangkap oleh pihak polis susulan ada saksi yang melihatnya pergi membuang karung berkenaan. Dia kini telah diletakkan sebagai tahanan penjara Xochiaca.
Perkara yang paling mengecewakan Roxana, dia langsung tidak
dibawa pergi oleh pihak polis untuk menjalani pemeriksaan perubatan bagi membuktikan
tentang dakwaan dirinya yang menjadi mangsa rogol.
“Mereka tidak mengambil sebarang keterangan daripada saya
yang sepatutnya saya berikan untuk pertahankan diri. Satu-satunya jenayah saya
adalah mempertahankan diri daripada lelaki yang telah merogol saya. Mungkin
saya patut membiarkan saja lelaki itu berlalu pergi dan biarkan saja saya mati
atau cedera supaya saya tidak hidup seperti ini.”
“Saya telah mencekiknya, saya berasa terlalu takut, saya tak
nak dia cederakan sesiapa lagi, saya berasa kesunyian, tercela, saya berasa
tidak berguna, saya tahu semuanya salah saya kerana terlalu mempercayai orang.”
Sementara itu, sekumpulan feminis di Mexico kini masih berusaha untuk menyebarkan cerita tentang Roxana dengan harapan dia akan dapat dibebaskan. Malah, mereka juga dijangka akan melakukan demonstrasi pada hari perbicaraan kes Roxana yang dijadual berlangsung pada hari ini.
Catat Ulasan for "BUNUH PEROGOL, WANITA INI BAKAL DIPENJARAKAN"