Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

DUA BERANAK JADI MANGSA PEMBUNUHAN KEJAM

    INDONESIA – Pada sekitar jam 8 pagi hari Rabu bertarikh 18 Ogos 2021, seorang lelaki bernama Yosef yang juga seorang kontraktor telah pulang ke rumahnya. Malam sebelum itu, Yosef dikatakan bermalam di rumah isteri mudanya. Sebaik sampai, Yoser berasa sangat terkejut setelah mendapati rumah isteri tuanya didapati berada dalam keadaan yang berselerak. Dalam bilik mandi yang penuh dengan lumuran darah pula, terdapat beberapa helai pakaian serta sampah sarah. Lagi membimbangkan Yosef apabila isteri serta anak perempuannya iaitu Tuti Suharti (55 tahun) dan Amalia Mustika Ratu (23 tahun) tiada berada di rumah.

    Apa yang berlaku kemudian, mayat Tuti dan Amalia tanpa pakaian telah ditemui dalam ruang belakang kereta Alphard milik mereka yang diparkir di belakang rumah. Maka dengan penemuan mayat dua anak-beranak ini, maka kematian mereka diklasifikasikan sebagai kes pembunuhan. Menerusi pemeriksaan awal yang dilakukan oleh pihak polis, tiada sebarang tanda pecah masuk rumah sekaligus menandakan kes ini bukan bermotifkan rompakan. Jadi, pelaku yang diyakini lebih daripada seorang dipercayai telah membunuh Tuti dan Amalia dengan berunsurkan motif peribadi. Satu-satunya barangan berharga yang hilang adalah telefon milik Amalia.

    Berdasarkan laporan bedah siasat, punca kematian Tuti dan Amalia adalah akibat hentakan benda tumpul pada bahagian kepala mereka. Cuma, waktu kematian mereka adalah berbeza dengan Tuti mati pada pukul 12 malam manakala Amalia pula menemui ajal pada 5 jam berikutnya. Selepas Tuti dan Amalia mati, mayat mereka berdua seterusnya dibawa ke dalam bilik mandi untuk dibersihkan sebelum dimasukkan ke dalam kereta Alphard. Ada kemungkinan bahawa pelaku berniat untuk membuang mayat Tuti dan Amalia dengan membawa lari kereta Alphard sekali. Walau bagaimanapun, pelaku mungkin tidak sempat untuk berbuat sedemikian berdasarkan posisi kereta Alphard yang diparkir senget.  

    Kes masih lagi dalam siasatan oleh pihak polis dengan perkembangan terkini terdapat seorang saksi yang hanya dikenali sebagai Mr.X telah pun ditahan bagi membantu siasatan. Penahanan tersebut dibuat susulan terdapat kesan darah pada bajunya. Pihak pihak polis bagaimanapun masih belum mendedahkan sebarang butiran terperinci tentang Mr. X ini.

    Seperkara lagi yang harus diketahui, Amalia ada memuat naik video bulan di laman Instagram dengan latar bunyi lagu Heaven nyanyian Emilee pada beberapa jam sebelumdia dibunuh. Malah selepas penemuan mayat Amalia, puluhan fotonya dipadam daripada laman Instagramnya yang tiba-tiba bertukar menjadi privasi itu. Begitu juga dengan beberapa akaun laman media sosial Amalia lain yang tidak dapat untuk diakses. Sudah pasti individu yang mengakses telefon Amalia tersebut berusaha untuk menghapuskan segala bukti penting pembunuhan. Sedikit sedutan video Instagram Amalia boleh ditonton menerusi akaun Tiktok @rifkams.

Catat Ulasan for "DUA BERANAK JADI MANGSA PEMBUNUHAN KEJAM"