Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH 53 HARI PENCULIKAN GILA MARY STAUFFER

Mary dan Beth

    Pada tarikh 16 Mei tahun 1980, seorang guru wanita berusia 36 tahun bernama Mary Stauffer telah pergi ke sebuah salon yang terletak di Roseville, Minnesota bersama dengan anak perempuannya iaitu Beth, 8 tahun. Mary dan Beth pergi ke salon itu adalah untuk menggunting rambut masing-masing sebagai persiapan mereka yang dijangka akan berlepas ke Filipina pada keesokan harinya. Mengikut perancangan, keluarga Mary bakal tinggal di Filipina selama empat tahun untuk menjalankan misi dakwah mereka. Irv Stauffer yakni suami kepada Mary adalah seorang pendakwah agama Kristian.

    Selesai gunting rambut, maka Mary dan Beth pun terus keluar dari salon. Apa yang berlaku kemudian, ada seorang lelaki muda berkaca mata tebal telah pergi mendekati mereka berdua. Pada mulanya, Mary beranggapan lelaki misteri bersenjatakan berpistol itu berniat untuk mencuri kereta yang dipandunya. Jadi, Mary bersedia untuk memberi kunci. Walau bagaimanapun, tanggapan Mary ternyata meleset sama sekali kerana dia dan Beth telah dipaksa oleh lelaki tersebut untuk masuk sekali ke dalam kereta berkenaan. Mary seterusnya disuruh memandu kereta itu menuju ke sebuah lokasi terpencil.

    Sampai di lokasi seperti yang dimaksudkan, lelaki tersebut telah bertindak mengikat Mary dan Beth dengan tali lalu dimasukkan ke dalam bahagian but kereta. Setelah siap berbuat sedemikian, lelaki penculik itu pun pergi memandu kereta lalu sebelum berhenti sekali lagi di sebuah lokasi untuk meletakkan beberapa buah tayar di atas badan Mary dan Beth. Saat mengejutkan untuk lelaki tersebut apabila tiba-tiba ada dua orang budak lelaki muncul berdiri berdekatan dengan kereta itu. Seorang berdiri di depan kereta, seorang lagi pula berdiri di belakang kereta. Apa yang pasti, keberadaan dua orang budak tersebut di situ hanyalah disebabkan rasa ingin tahu mereka tentang apa yang sedang dilakukan oleh lelaki penculik itu. Malang tidak berbau untuk budak lelaki yang berdiri di belakang kereta selepas dia turut disumbat oleh lelaki penculik tersebut ke dalam but kereta. Budak lelaki itu dikenalpasti sebagai Jason Wilkman, 6 tahun. Sepanjang tempoh Jason di dalam but kereta tersebut bersama Mary dan Beth, dia langsung tidak berhenti-henti menangis kerana ingin pulang ke rumah. Setibanya di satu lokasi, lelaki penculik itu memberhentikan keretanya bagi mengeluarkan Jason dari bahagian but kereta. Mary dan Beth tidak pernah lagi melihat Jason selepas itu. Pada akhirnya Mary dan Beth dibawa masuk ke dalam rumah lelaki penculik tersebut. Kedua-kedua mereka yang dirantai telah dikurung di dalam sebuah bilik almari pakaian yang berukuran 4 kaki 21 inci.

Jason Wilkman

    Sementara itu, Irv sudah pun membuat laporan polis tentang kehilangan isteri dan anaknya. Pada mulanya, Irv diyakini sebagai suspek berikutan lakaran wajah suspek yang hampir mirip dengan wajahnya. Mujur sajalah Irv berjaya melepasi ujian pengesanan pembohongan yang telah dijalankan terhadapnya. Susulan penemuan kereta Mary yang ditinggalkan di sebuah kawasan semak, pihak polis mengerahkan seramai 300 anggota mereka dengan bantuan para sukarelawan untuk melakukan operasi pencarian. Saat ini, pihak polis sudah pun mengesyaki bahawa kehilangan Jason berserta Mary dan Beth adalah saling berkait antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, penculikan mereka didalangi oleh pelaku yang sama.

    Hari kedua penculikan, Mary telah dibawa keluar oleh lelaki penculik dari bilik almari untuk dibaringkan di bahagian ruang tamu. Mereka berdua berbual dengan sesi perbualan tersebut dirakamkan secara rakaman video oleh lelaki penculik itu selama tiga jam. Satu demi pendedahan yang diberitahu oleh lelaki penculik tersebut hingga membawa kepada pendedahan identiti sebenarnya yang benar-benar mengejutkan Mary. Nama penculik itu adalah Ming Sen Shiue iaitu pemilik sebuah kedai elektronik yang juga pernah bergelar sebagai anak murid kepada Mary pada 15 tahun sebelumnya. Motif penculikan Ming adalah kerana dia masih begitu obses dengan Mary yang pernah mengajarnya Algebra.

Ming Sen Shiue

    Mengenai Ming, dia memang sudah memendam perasaan terhadap Mary sejak dari zaman sekolah menengahnya lagi. Bahkan Ming sering berkhayal untuk berhubungan seks dengan Mary. Ini termasuklah khayalan melakukan hubungan seks secara berkumpulan. Bayangkan, Ming yang berasal dari negara Taiwan telah melakukan aktiviti menghendap Mary selama 15 tahun lamanya. Diulangi, 15 tahun diperlukan Ming untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang kehidupan Mary di mana perkara tersebut tidak pernah diketahui serta disedari oleh Mary. Seperkara yang harus diketahui iaitu pada lima tahun sebelum penculikan Mary, Ming pernah menceroboh masuk ke dalam rumah ibu bapa mentua Mary kerana dia menyangka Mary turut mendiami rumah berkenaan. Ibu bapa mentua Mary bagaimanapun tidak pernah melaporkan insiden itu kepada pihak polis kerana telah menerima ugutan bunuh daripada Ming. Selain itu, Ming menyalahkan Mary sebagai punca kegagalannya mendapat biasiswa pendidikan kolej dan dia terpaksa menjadi anggota tentera Amerika Syarikat yang telah dihantar pergi berperang ke negara Vietnam. Namun hakikat sebenar, semua dakwaan Ming tersebut merupakan sekadar pembohongannya semata-mata. Dia adalah salah seorang anak murid Mary yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti hingga menjadi seorang ahli perniagaan sukses. Ming tidak pernah berkhidmat pun sebagai anggota tentera seperti yang didakwanya.

    Selama tempoh dua bulan penculikan Mary, dia telah dirogol berkali-kali oleh Ming. Beth pula bernasib baik kerana tidak pernah dirogol memandangkan Ming ada membuat pengakuan bahawa dia bukanlah seorang perogol kanak-kanak. Cumanya, Ming tidak teragak-agak untuk membunuh Beth sekiranya Mary tidak menunjukkan aksi mengghairahkan sewaktu dia dirogol. Lama-kelamaan, Mary dan Beth yang sentiasa dalam keadaan dirantai telah diberi kelonggaran untuk makan di dapur serta pada masa dibenarkan mandi. Sampai satu masa, Mary dan Beth disuruh membeli pakaian di sebuah pusat membeli belah dengan pengawasan ketat oleh Ming yang mengugut untuk membunuh Irv jika mereka berdua cuba melarikan diri. Sungguh menakutkan kerana tangan Ming sentiasa memegang pistol.

Mary Stauffer

    Hinggalah pada tarikh 7 Julai 1980, Mary tanpa disangka telah berjaya melonggarkan pin engsel pintu bilik almari tempat dia dan Beth dikurung. Waktu tersebut, Ming sedang berada di kedai elektronik miliknya. Tanpa berlengah, Mary terus pergi mencapai telefon yang terletak di bahagian dapur rumah Ming bagi menghubungi pihak polis. Setibanya pihak polis di lokasi kejadian, Mary dan Beth akhirnya berjaya diselamatkan sekaligus membawa kepada penangkapan Ming. Tunggu sekejap! Apa pula cerita tentang Jason? Susulan penangkapan Ming yang kemudian bersetuju untuk menerima rundingan pertuduhan, dia telah menunjukkan lokasi tempat mayat Jason dibuang. Jason mati dalam keadaan begitu menyayat hati apabila dia dipukul oleh Ming secara berulang kali dengan menggunakan batang besi sampai mati.

Ming Sen Shiue

    Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Ming yang disahkan tidak mempunyai tanda-tanda mengidap sebarang penyakit mental telah dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun atas kesalahan penculikan dan 40 tahun lagi untuk kesalahan melakukan pembunuhan. Apa yang pasti, Ming adalah seorang lelaki yang benar-benar gila dan menakutkan. Sewaktu perbicaraan kes, dia pernah melompat keluar dari kandang tertuduh untuk menoreh muka Mary dengan pisau lipat yang telah diseludup masuknya ke dalam mahkamah. Torehan itu telah menyebabkan Mary menerima 62 kesan jahitan pada bahagian mukanya. Rentetan daripada kejadian di luar jangkaan tersebut menyebabkan Ming terpaksa dibicarakan dalam keadaannya diikat pada kerusi. Ming juga berjanji saat dibebaskan dari penjara kelak, dia akan tetap pergi mencari Mary dan Beth untuk membunuh mereka berdua. Satu lagi cerita iaitu ketika Ming berada dalam penjara, dia telah menawarkan sejumlah wang ganjaran lumayan kepada seorang banduan bernama Richard Green. Tawaran itu adalah sebagai upah untuk memastikan Mary dan Beth mati serta membantu Ming melarikan diri dari penjara. Richard bagaimanapun lebih rela memilih untuk membocorkan maklumat tersebut kepada pihak FBI.

    Tahun 2010, permohonan pembebasan bersyarat yang dibuat oleh Ming ditolak secara mentah oleh pihak berkuasa kerana dia masih lagi dianggap berbahaya untuk masyarakat. Kisah detik hitam yang pernah dilalui oleh Mary dan Beth ini telah adaptasi ke dalam filem berjudul Abducted: The Mary Stauffer Story (2019) terbitan Lifetime dengan dibintangi oleh Alyson Hannigan, Howie Lai dan Daphne Hoskins. Trailer boleh ditonton di sini.

Catat Ulasan for "KISAH 53 HARI PENCULIKAN GILA MARY STAUFFER "