Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN SADIS AIDEN LEOS

Aiden bersama dengan ibu serta kakaknya

    Bayangkan satu situasi di mana anda sedang memandu kereta di jalan raya besar. Sewaktu dalam pemanduan, tiba-tiba ada pemandu daripada sebuah kereta lain menunjukkan isyarat lucah kepada anda kerana dia berasa tidak puas hati keretanya telah anda pintas. Adakah anda akan membalas balik isyarat lucah terhadap pemandu kereta itu? Ada kemungkinan anda akan cuba mengejar balik kereta tersebut untuk mencetuskan provokasi? Paling tidak pun, anda membiarkan saja kereta itu berlalu pergi kerana malas untuk bergaduh hanya semata-mata kerana perkara remeh sedemikian.

    Pada 21 Mei 2021 bertempat di Amerika Syarikat, seorang wanita bernama Joanna Cloonan telah pergi menghantar anak lelakinya yang berusia enam tahun iaitu Aiden Leos ke sebuah tadika dengan menaiki kereta jenis Chevrolet. Aiden dilaporkan berada di tempat duduk belakang kereta. Apa yang berlaku kemudian yakni sewaktu dalam perjalanan tersebut, kereta yang dipandu oleh Joanna tiba-tiba telah dipintas oleh sebuah kereta jenis Volkswagen berwarna putih.  Pemandu kereta Volkswagen berkenaan adalah seorang wanita dengan ditemani oleh seorang lelaki yang duduk di kerusi penumpang bersebelahan dengannya. Jadi, Joanna yang berasa tidak puas hati telah menunjukkan isyarat lucah kepada pemandu kereta Volkswagen itu. Rasa tidak puas hati Joanna adalah bersebab kerana dia dipintas sewaktu sedang cuba menukar laluan keretanya. Namun tanpa disangka, tindakan Joanna tersebut telah mengundang padah.

    Tidak lama selepas insiden pergaduhan itu, Joanna terdengar satu bunyi seakan bunyi mercun di belakang keretanya. Sebaik menoleh ke belakang, alangkah terkejutnya Joanna apabila mendapati perut Aiden berlumuran dengan darah. Rintih Aiden dalam kesakitan, “Ibu...perutku sakit.” Aiden sebenarnya telah ditembak dari arah belakang oleh individu yang berada dalam kereta Volkswagen putih tersebut. Maka Joanna yang berasa panik terus memberhentikan keretanya di tepi jalan. Seorang anggota polis berada di waktu luar tugas yang kebetulan melalui kawasan kejadian pada waktu itu telah memberikan bantuan pernafasan CPR sementara menunggu ketibaan ambulans. Setibanya ambulans, Aiden terus segera dikejarkan ke hospital. Walau bagaimanapun, Aiden tidak dapat untuk diselamatkan. Dia disahkan meninggal dunia di hospital.

Aiden dan kakaknya

    Insiden keganasan jalan raya tersebut ternyata telah mencetuskan kemarahan orang ramai yang begitu bersimpati dengan nasib Aiden. Dia hanyalah seorang budak lelaki yang menjadi mangsa keadaan tidak sepatutnya. Tentang pemandu dan penumpang kereta Volkswagen itu, mereka berdua telah melarikan diri. Pada mulanya, ada pihak tertentu menawarkan wang ganjaran sebanyak U$50 000 untuk diberikan kepada mereka yang dapat memberikan maklumat terperinci hingga tertangkapnya suspek. Hasil derma daripada orang ramai, wang ganjaran tersebut seterusnya telah dinaikkan menjadi $500 000.

    Tentang Aiden, dia dikatakan sebagai seorang budak yang sangat pintar dan mendengar kata. Aiden juga mudah untuk bergaul mesra sehingga menjadi budak kesayangan orang-orang di sekelilingnya. Alexis Cloonan, kakak kepada Aiden yang berusia 15 tahun ternyata berasa sangat sedih dengan kematian mengejut adiknya itu. Apatah lagi mereka berdua merupakan pasangan adik beradik yang begitu rapat. Joanna pula benar-benar berasa trauma dengan apa yang telah berlaku. Sukar untuk Joanna luahkan segala perasaannya.

    Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Pemandu dan penumpang kereta tersebut berjaya ditangkap pada dua minggu setelah kejadian yakni bersamaan dengan tarikh 6 Jun. Mereka berdua yang juga merupakan pasangan kekasih dikenali sebagai Marcus Anthony Eriz (24 tahun) dan Wynne Lee (23 tahun). Seperkara yang dapat dipastikan, Marcus adalah individu yang telah menembak mati Aiden. Menerusi foto serta video pada laman Instagram miliknya, Marcus dilihat sebagai seorang peminat senjata api. Marcus pada waktu sebelumnya telah mencukur jambangnya bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak polis.

    Buat masa sekarang, Marcus yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh masih lagi berada dalam tahanan pihak berkuasa dengan dia tidak dibenarkan untuk diikat jamin. Jika didapati bersalah, Marcus akan dijatuhkan hukuman 40 tahun penjara seumur hidup. Mengenai Wynne, dia diyakini bersubahat kerana dia sememangnya mengetahui Marcus mempunyai senjata api. Selain itu, Wynne langsung tidak melakukan sebarang tindakan susulan yang sepatutnya selepas waktu kejadian seperti menghubungi pihak polis untuk melaporkan tentang pembunuhan Aiden. Berbeza dengan Marcus, Wynne dibenarkan untuk diikat jamin sementara menunggu perbicaraan kes. Dia bakal dipenjarakan selama empat tahun jika disabit kesalahan. Pada masa yang sama, Wynne akan dipantau oleh pihak berkuasa secara berterusan dan dilarang sama sekali untuk berhubung dengan Marcus. 

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN SADIS AIDEN LEOS "