KISAH PEMBUNUHAN AYA HACHEM YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN
Pada tahun 2020, Aya Hachem merupakan seorang gadis cantik
manis berusia 19 tahun yang bergelar sebagai pelajar perundangan tahun kedua
Universiti Salford bertempat di England. Keluarga Aya yang berasal dari negara
Lubnan telah berhijrah ke England sejak tahun 2011. Aya yang bercita-cita untuk
menjadi seorang Perdana Menteri dikatakan sebagai seorang anak yang baik dan
mendengar kata-kata orang tuanya. Malah Aya juga satu-satunya harapan dalam
keluarganya untuk mengubah nasib mereka sekeluarga bagi mendapatkan kehidupan
yang lebih baik. Selain itu, Aya begitu disenangi oleh ramai orang kerana
sikapnya yang sangat peramah. Bapa Aya adalah seorang pemandu teksi manakala
ibunya pula bekerja di sebuah kedai pakaian.
Feroz Suleman (kiri), Pacha Khan (kanan) |
Baiklah, mari berkenalan pula dengan Feroz Suleman yakni lelaki berdarah Afghanistan berusia 40 tahun di mana dia merupakan seorang pemilik sebuah kedai tayar di Blackburn iaitu RI Tyres. Di sebelah kedai tayar milik Feroz itu pula, terdapat sebuah kedai cuci kereta bernama Quick Shine Car Wash milik seorang lelaki berasal dari negara India yang dikenali sebagai Pacha Khan. Pada mulanya, hubungan Feroz dan Pacha dilihat tidak mempunyai sebarang masalah. Mereka berdua yang juga muslim sering bantu membantu antara satu sama lain atas urusan perniagaan.
Kisah sebenar bagaimanapun bermula pada bulan Februari 2019
apabila Pacha memulakan jualan tayar kereta di kedainya dengan harga yang jauh
lebih murah daripada kedai Feroz. Rentetan daripada perkara tersebut, maka
perniagaan tayar yang diusahakan oleh Feroz kian merosot kerana ramai pembeli lebih
memilih untuk melakukan pembelian tayar di kedai Pacha. Hubungan Feroz dan
Pacha termasuk pekerja masing-masing kemudian menjadi semakin tegang hingga
sering kali menyebabkan berlakunya pertengkaran antara mereka. Sampai satu
masa, Feroz terpaksa memecat beberapa orang pekerjanya berikutan tidak dapat
lagi untuk membayar gaji mereka kerana keuntungan yang dijana kedai tidak lagi sama
seperti dahulu. Bagi Pacha, perkara ini langsung tidak menjadi masalah pun
untuknya memandangkan dia mengamalkan persaingan jualan secara sihat. Malah Pacha
telah bertindak untuk menukar nama kedainya daripada Quick Shine Car Wash
kepada Quick Shine Tyres.
Permusuhan antara Feroz dan Pacha berlanjutan hingga setahun
lamanya. Hingga pada akhirnya, salah seorang pekerja Feroz yang bernama Kashif
Manzoor telah memberi cadangan kepada majikannya supaya membunuh Pacha dengan
menggunakan khidmat pembunuh upahan. Tanpa berfikir panjang, Feroz yang
menyetujui cadangan itu telah diperkenalkan kepada tiga orang lelaki iaitu Ayaz
Hussain, Abubakar Satia dan Uthman Satia. Hasil perbincangan sesama mereka, pembunuhan
terancang terhadap Pacha bakal direncanakan dengan khidmat tiga lagi individu
tambahan. Mereka bertiga adalah Anthony Ennis, Zamir Raja dan Judy Chapman.
Semestinya, kesemua individu berkenaan telah dijanjikan oleh Feroz dengan kadar
upah yang begitu lumayan dengan syarat memastikan Pacha mati.
Gambar atas (Rakaman kejadian), Gambar bawah (Suspek) |
Pada petang 17 Mei 2020 bersamaan dengan waktu bulan Ramadan, Pacha dikatakan sedang berdiri di luar kedainya. Turut kelihatan di perkarangan kedai RI Tyres adalah Feroz yang sedang cuba mencipta alibi waktu kejadian. Tidak lama selepas itu, Pacha nyaris menjadi mangsa tembakan daripada individu dalam sebuah kereta yang melintas betul-betul di depannya. Pacha bernasib baik kerana tembakan tersebut telah mengena pada cermin kedai. Selang beberapa minit kemudian, sebuah lagi kereta muncul untuk melepaskan sedas lagi tembakan ke arah Pacha. Malangnya, tembakan kali kedua ini telah terkena pada bahagian dada seorang gadis yang kebetulan melalui kawasan situ. Gadis tersebut rupa-rupanya adalah Aya yang sedang dalam perjalanan kaki menuju ke pasar raya berdekatan bagi membeli lauk untuk dia masak sebagai juadah berbuka puasa. Penembak yang menyedari kesilapannya terus beredar pergi dari lokasi kejadian. Aya segera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia. Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas semasa kejadian, sila tonton video ini.
Pihak polis yang menerima laporan daripada Pacha berhubung
insiden tembakan berkenaan tidak mengambil masa lama untuk menangkap kesemua
lapan suspek termasuk Feroz. Penangkapan itu dibuat berdasarkan siasatan serta pemeriksaan
pihak polis pada kamera litar tertutup di lokasi kejadian. Hasil keputusan
perbicaraan kes yang sebelum ini beberapa kali tertangguh akibat pandemik
Covid19, kesemua suspek (kecuali Judy) yang didapati bersalah atas cubaan
membunuh Pacha dan melakukan pembunuhan terhadap Aya telah dipenjarakan untuk
seumur hidup. Perbicaraan Judy dijadual akan berlangsung pada bulan Oktober
2021.
Tentang Aya, kematiannya benar-benar menyedihkan. Sewaktu hari kejadian, dia dalam keadaan berpuasa tanpa bersahur kerana mengalami sakit demam. Bahkan pada hari itu juga, dua orang adik kecil Aya menangis teresak-esak di rumah mereka hingga waktu Maghrib kerana kelaparan. Menanti kepulangan Aya yang tidak kunjung tiba. Namun tanpa dua beradik tersebut sedari, kakak kesayangan mereka itu telah pun pergi mengadap Ilahi buat selama-lamanya. Manusia hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya. Penamat cerita, jenazah Aya telah dihantar ke Lubnan untuk dikebumikan di kampung halamannya.
Al-fatihah untuk Aya Hachem. Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Amin.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN AYA HACHEM YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN"