Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MODEL CANTIK TAIWAN

Naomi 

    Pada tahun 2017, Naomi Chen atau nama sebenarnya Naomi Chen Ke Xiang adalah seorang model cantik Taiwan yang berusia 22 tahun dengan perwatakan baik, peramah dan begitu disenangi oleh orang di sekelilingnya. Dia juga mempunyai pasangan kembar yang bernama Celine Chen Ke Jie. Karier Naomi dalam dunia modeling bermula selepas kecantikannya semasa bekerja di sebuah kedai emas menjadi tular di Taiwan. Bermula saat itu, satu demi satu tawaran sesi fotografi telah diterima oleh Naomi hingga dia akhirnya membuat keputusan untuk menjadi model sepenuh masa.

Seperkara yang harus diketahui, ibu bapa Naomi pada mulanya tidak bersetuju dengan karier pilihan anak mereka itu susulan kebimbangan dengan unsur gangguan seksual yang sering dialami oleh para model. Walau bagaimanapun, Naomi berjaya meyakinkan ibu bapanya bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan. Lagipun,dia sentiasa ditemani oleh rakan sekerja model yang juga merupakan rakan baiknya iaitu Liang Si Hui (22 tahun) dan teman lelaki Liang yang dikenali sebagai Cheng Yu (24 tahun). Mengenai Cheng, dia sering mendakwa dirinya adalah seorang fotografi hebat yang pernah memenangi pelbagai anugerah. Selain itu, Cheng juga mengaku bahawa dia berasal daripada keluarga kaya raya yang mempunyai pelbagai jenis kereta mewah. Kelompok kenalannya juga bukan biasa-biasa di mana dia berkawan dengan beberapa orang artis terkenal. Apa yang pasti, semua perkara diperkatakan oleh Cheng tersebut hanyalah sekadar pembohongan semata-mata. Hakikat sebenar, dia merupakan seorang lelaki yang sangat terdesak memerlukan wang. Cheng juga pernah mempunyai rekod jenayah melakukan kesalahan serangan seksual terhadap seorang gadis di bawah umur.

Naomi dan Liang

    Kisah sebenar bermula pada penghujung bulan Februari 2017 apabila Naomi telah menerima beberapa teks mesej daripada Liang tentang tawaran satu sesi fotografi yang menawarkan bayaran agak lumayan. Tiada sebarang masalah Naomi untuk menerima tawaran tersebut. Lagipun sesi fotografi berkenaan akan dikendalikan oleh Cheng. Jadi pada 2 Mac 2017, Naomi pun keluar dari rumah untuk menghadiri sesi fotografi seperti yang telah dipersetujui. Namun apa yang berlaku kemudian, Naomi dilaporkan langsung tidak pulang ke rumah selepas itu. Maka Celine terus pergi membuat laporan polis tentang kehilangan Naomi setelah kembarnya itu gagal untuk dihubungi selama berkali-kali. Malah Celinie juga mendesak pihak polis supaya menyiasat keberadaan Cheng dan Liang kerana mereka berdua adalah orang terakhir yang dipercayai bersama dengan Naomi.

Naomi

    Tanpa berlengah, pihak polis segera melakukan pengesanan data lokasi isyarat telefon Cheng dan Liang yang dikesan berada di sebuah bangunan pusat membeli belah terbiar bandar Taipei. Hasil pemeriksaan dalam bangunan kosong tersebut, pihak polis telah menemui mayat Naomi di sebuah ruang parkir kereta dengan terdapat tali pada bahagian lehernya. Ini bermaksud, Naomi mati dibunuh dengan cara cekikan. Mayat Naomi juga ditemui berpakaian lengkap tanpa memakai seluar dalam. Sepertinya, ada tanda serangan seksual. Beberapa barangan peribadi berharga milik Naomi seperti wang, kad kredit dan jam tangannya telah didapati hilang.

    Pihak polis seterusnya tidak mengambil masa yang lama untuk menangkap Cheng dan Liang. Pasangan terbabit ditangkap di sebuah hotel bertaraf lima bintang yang terletak di Taichung. Hotel itu berjarak sekitar 100 kilometer dari lokasi penemuan mayat Naomi. Penangkapan Cheng dan Liang berjaya dilakukan oleh pihak polis hasil pengesanan transaksi kad kredit Naomi serta maklumat yang diberikan oleh pekerja hotel. Telefon milik Naomi dilaporkan telah ditemui di dalam sebuah tong sampah hotel tersebut. Berdasarkan soal siasat awal, Cheng membuat pengakuan hanya berniat untuk merompak dan barangan berharga Naomi. Jam tangan mahal Naomi yang dicurinya telah dihadiahkan kepada Liang. Cheng menafikan secara berterusan tentang sebarang serangan seksual walaupun bukti DNA menunjukkan dia memang melakukan perkara tersebut. Paling mengejutkan adalah pendedahan daripada Cheng mengenai pembunuhan Naomi yang sebenarnya direncanakan oleh rakan baiknya sendiri, Liang.

Cheng dan Liang

    Mengenai Liang, dia mempunyai alibi dengan keterangan berada di rumah sewaktu kejadian berlaku. Alibi ini telah disokong oleh ibu Liang sendiri. Bahkan Liang memberitahu telefon miliknya sudah pun hilang sejak dari bulan Februari. Disebabkan ketiadaan bukti kukuh yang menandakan Liang ada berada di lokasi kejadian sewaktu kejadian pembunuhan berlaku, dia pun dibebaskan sepenuhnya daripada menerima sebarang pertuduhan. Memang terdapat rakaman kamera litar tertutup di sekitar lokasi kejadian yang menunjukkan Cheng ada bersama dengan Naomi dan seorang lagi wanita lain. Cuma tidak jelas samada wanita itu adalah Liang ataupun orang lain.

    Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes bulan Oktober 2020, Cheng yang didapati bersalah akhirnya menerima hukuman penjara seumur hidup tanpa sebarang peluang pembebasan secara bersyarat. Meskipun dihukum penjara, Cheng tetap menegaskan Liang merupakan dalang utama pembunuhan Naomi. Ramai netizen yang mempercayai bahawa Liang adalah seorang rakan talam dua muka yang mengatur rancangan pembunuhan Naomi. Dia berbuat sedemikian kerana mungkin berasa cemburu dengan kecantikan Naomi. Apatah lagi Naomi sering mendapat perhatian berserta daripada netizen berbanding dirinya sendiri.

1 ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MODEL CANTIK TAIWAN"

  1. Bro punya content sama dgn tweet ni... Kot la org sama

    https://twitter.com/Amrlamnnn/status/1424003297485017090?s=19

    BalasPadam