KISAH SERANGAN KANIBAL DI MIAMI
Ronald Poppo |
Pada 26 Mei 2012, pihak polis Miami Amerika Syarikat telah
menerima satu panggilan telefon kecemasan daripada seorang lelaki penunggang
basikal bernama Larry Vega di mana dia memberitahu tentang seorang lelaki tua
gelandangan yang menjadi mangsa serangan kanibal seorang lelaki berkulit hitam.
Setibanya pihak polis di lokasi kejadian, mereka telah memberi amaran keras
kepada si penyerang berkenaan untuk berhenti daripada mencederakan mangsa
secara berterusan . Namun apa yang berlaku kemudian, penyerang itu terpaksa
ditembak mati oleh pihak polis selepas dia tidak mengendahkan dengan segala
amaran yang sudah diberikan kepadanya. Menerusi rakaman kamera litar tertutup
di lokasi kejadian, insiden serangan dahsyat tersebut telah berlaku selama 18
minit sebelum ketibaan pihak polis.
Sesudah kejadian berlaku, mangsa iaitu Ronald Poppo yang berusia 65 tahun terus dikejarkan ke hospital sebelum dia disahkan berada dalam kritikal akibat kehilangan kulit muka sebanyak 70 hingga 90 peratus. Ronald bukan setakat kehilangan bulu kening dan hidung, malah sebahagian dahi serta pipinya juga dimakan oleh penyerangnya. Lagi mengerikan apabila mata kiri Ronald turut dicungkil keluar! Bayangkan, mata dicungkil hidup-hidup. Ronald pada akhirnya terpaksa menjadi buta untuk seumur hidup susulan mata kanannya yang telah mengalami kecederaan parah. Selepas menjalani beberapa rawatan pembedahan muka, Ronald terpaksa menjalani rawatan terapi pengurusan diri seperti memakai pakaian, makan dan mandi untuk meneruskan kelangsungan hidup. Sedikit tentang latar belakang hidup Ronald, dia telah pun menjadi orang gelandangan sejak dari tahun 1976. Hanya selepas kejadian berlaku, barulah keluarga Ronald mendapat tahu mengenai Ronald yang sebenarnya masih hidup setelah 30 tahun dia menghilangkan diri.
Tentang penyerang Ronald, dia dikenali sebagai Rudy Eugene yang dilahirkan pada tahun 1981. Dia yang juga merupakan seorang duda mempunyai rekod penangkapan pihak polis sebanyak lapan kali sejak dari usianya 16 tahun lagi. Cerita tentang hari kejadian, Rudy sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki kereta dari Pantai Miami selepas pergi menghadiri sebuah festival. Walau bagaimanapun, kereta yang dipandu Rudy itu kemudian telah mengalami kerosakan di pertengahan jalan. Jadi, Rudy pun keluar dari keretanya untuk berjalan kaki. Seterusnya, satu perkara pelik terjadi apabila Rudy bertindak untuk menanggalkan satu demi satu pakaiannya hingga dia bertelanjang penuh. Bahkan Rudy juga membawa sebuah kitab injil dengan beberapa helaian dalamnya yang sudah dikoyakkan. Tiada angin dan ribut, Rudy tiba-tiba telah pergi menyerang Ronald yang sedang tidur di sebuah kawasan jejambat. Ronald dibelasah oleh Rudy secara bertubi-tubi. Rudy yang bertindak agresif seakan-akan seperti zombi telah memakan daging pada muka Ronald. Motif serangan? Rudy menuduh Ronald mencuri kitab injil miliknya. Paling menyedihkan, tiada seorang pun saksi yang lalu lalang di lokasi kejadian cuba untuk menghentikan serangan berkenaan. Mujur sajalah pihak polis datang. Kalau tidak, boleh jadi muka Ronald akan hancur sepenuhnya hingga tinggal tengkorak.
Ronald selepas kejadian |
Berdasarkan laporan bedah siasat, pakar forensik tidak menemui sebarang daging manusia dalam badan Rudy. Pelik bukan? Apa yang ditemui, hanyalah dadah jenis ganja dan sejumlah pil yang tidak dicernakan sepenuhnya. Perkara ini sekaligus telah menyebabkan sesetengah pihak mengemukakan teorit tentang Rudy berkemungkin besar ada mengambil sejenis dadah jenis Bath Salts yang dikatakan boleh merangsang penagihnya bertingkah laku seperti zombi. Tidak kurang juga ada yang mempercayai bahawa Rudy mengalami penyakit mental. Ibu Rudy sendiri pula beranggapan apa yang berlaku sewaktu kejadian adalah disebabkan unsur kuasa ghaib.
Catat Ulasan for "KISAH SERANGAN KANIBAL DI MIAMI"