KISAN ANN MARIE ANASTASI : Rahsia Gelap Seorang Isteri
Marie Anastasi
Cuba bayangkan pada satu hari, suami anda tiba-tiba membawa
masuk seorang wanita tidak dikenali ke dalam rumah anda. Wanita itu akan
tinggal di rumah anda selama mana yang mungkin. Satu kejutan yang besar apabila
wanita tersebut rupa-rupanya adalah teman wanita suami anda. Perampas itu
tinggal sekali bersama dengan anda dan suami anda. Sudah pasti anda akan berasa
sangat dikhianati. Jadi, apa yang anda yang akan lakukan? Biarkan saja wanita
tersebut? Sanggup berkongsi suami? Lari dari rumah? Paling tidak pun, cakar
wajah wanita itu?
Baiklah, artikel kali ini mengisahkan tentang kemarahan,
cemburu dan pengkhianatan terbesar yang dialami oleh seorang wanita berasal dari
Maryland bernama Ann Marie Anastasi. Pada tahun 2015, Marie yang berusia 42
tahun merupakan isteri kepada Anthony Anastasi. Sepanjang 18 tahun tempoh
perkahwinan pasangan tersebut, mereka berdua dikurniakan seramai lima orang
anak. Diringkaskan cerita yakni pada satu hari, Anthony telah memperkenalkan
teman wanita mudanya yang berusia 25 tahun iaitu Jacqueline Riggs kepada Marie
di rumah mereka. Anthony memberitahu Marie bahawa Jacqueline bakal tinggal
sebumbung bersama dengan mereka di mana Jacqueline akan tidur di dalam bilik
bawah tanah.
Anthony & Jacqueline |
Pada mulanya, Marie dilihat menerima hubungan tiga segi itu dengan hati terbuka. Malah, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan kehadiran Jacqueline. Namun harus diingatkan, hati wanita memang tidak dapat serta sukar untuk diduga. Lama-kelamaan, Marie mulai berasa cemburu apabila dia semakin diabaikan oleh Anthony yang lebih memberikan perhatian kepada Jacqueline. Lagi membuatkan Marie berasa marah apabila suaminya lebih gemar untuk melakukan hubungan seks dengan Jacqueline yang jauh lebih muda. Maka Marie mula menyedari bahawa kehidupan rumah tangganya bersama Anthony sebenarnya sudah pun berakhir.
Kisah sebenar bermula pada 5 Oktober 2015 apabila Marie
telah menghubungi talian kecemasan 911 untuk memberitahu tentang Anthony yang
ditemui mati terbaring dalam bilik tidur utama rumah mereka akibat bunuh diri
dengan cara tembakan pistol di bahagian kepala. Cerita Marie, dia sedang berada
di kedai runcit bersama dengan anak-anaknya sewaktu kejadian berlaku. Setibanya
pihak polis di lokasi kejadian, mereka telah menemui sepucuk pistol yang berada
bersebelahan dengan mayat Anthony. Tunggu sekejap! Mana pula Jacqueline?
Berdasarkan pemeriksaan lanjut yang pihak polis lakukan di rumah Marie,
Jacqueline ditemui dalam keadaan sudah tidak lagi bernyawa dalam bilik tidurnya
dengan kesan lebih daripada 20 tikaman pada tubuh badan.
Hasil sesi soal awal yang dijalankan terhadap Marie, dia mengesyaki bahawa Jacqueline telah mati dibunuh oleh Anthony terlebih dahulu sebelum suaminya itu bertindak untuk membunuh diri. Dakwa Marie lagi, dia ada terdengar bunyi pertengkaran yang berlaku antara Anthony dengan Jacqueline pada malam sebelum kejadian. Pihak polis bagaimanapun berasa curiga dengan keterangan Marie ini berikutan laporan bukti peluru yang ditemui di lokasi kejadian didapati tidak sepadan dengan pistol senjata pembunuhan. Fikir secara logik, mana mungkin Anthony dapat menukar pistol selepas membunuh diri.
Perkara sebenar yang berlaku terungkai jua selepas pihak
polis melakukan pemeriksaan pada telefon Marie. Sebelum kematian Anthony dan
Jacqueline, dia didapati telah berbalas mesej dengan anak perempuannya yang
berusia 13 tahun (cukuplah dikenali sebagai A) dan seorang lelaki bernama
Gabriel Struss, 18 tahun. Gabriel merupakan teman lelaki kepada salah seorang
anak perempuan Marie. Kandungan mesej tersebut adalah tentang satu pembunuhan
terancang yang bakal dilakukan oleh Gabries dengan menyasarkan Anthony dan Jacqueline
sebagai mangsa. Apa yang pasti, Gabriel melakukan pembunuhan kejam itu adalah
kerana mempercayai bahawa Marie dan A telah menjadi mangsa penderaan Anthony.
Gabriel Struss |
Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes bulan Jun 2016, Gabriel yang didapati bersalah atas pembunuhan Anthony dan Jacqueline menerima hukuman penjara selama 60 tahun. Gabriel yang pernah tinggal di jalanan dan mengalami kemurungan dilaporkan benar-benar menyesali perbuatan membunuhnya. Dia menyangka pembunuhan tersebut akan membolehkan dirinya dijulang sebagai wira kerana menjadi penyelamat kaum wanita. Sementara itu, si A pula diletakkan di bawah tahanan pusat juvana hingga berusia 21 tahun kelak. Setahun kemudian, Marie selaku dalang utama pembunuhan telah diperintahkan untuk meringkuk dalam penjara untuk tempoh 60 tahun. Sewaktu perbicaraan, pasukan pembelaan cuba menggunakan hujah penderaan yang dialami oleh Marie untuk melepaskannya dari hukuman. Walau bagaimanapun, hujah berkenaan ternyata tidak cukup untuk membela Marie. Apatah lagi Marie sendiri yang memberikan pistol kepada Gabriel untuk memastikan Anthony dan Jacqueline mati.
Catat Ulasan for "KISAN ANN MARIE ANASTASI : Rahsia Gelap Seorang Isteri "