Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

MISTERI KEHILANGAN ELIZABETH JASSO TERLERAI

    AMERIKA SYARIKAT – Misteri kehilangan seorang janda yang sedang hamil 40 minggu anak kembar akhirnya terlerai selepas dia ditemui selamat oleh pihak polis tempatan Baytown, Texas pada hari Selasa lepas. Elizabeth Jasso yang berusia 31 tahun sebelum ini dilaporkan hilang oleh ibu mentuanya iaitu Blanca Gonzalez sejak hari Khamis minggu lepas yakni bersamaan dengan 5 Ogos 2021.

    Blanca dikatakan mula berasa risau kerana anak menantunya itu langsung tidak pulang ke rumah mereka selepas mengunjungi kubur mendiang suaminya. Ini kerana Elizabeth dijangka akan bersalin pada hari tersebut. Menurut kenyataan pihak polis, mendiang suami Elizabeth iaitu Milko Jasso yang berusia 29 tahun telah meninggal dunia pada bulan Februari lalu akibat ditembak oleh kenalannya. Selepas kematian suaminya, Elizabeth sangat berasa sedih dengan kehilangan Milko namun kesedihannya itu terubat apabila dia disahkan hamil. Lagi membuatkan keluarga mentua Elizabeth berasa teruja, foto imbasan ultrabunyi terhadap Elizabeth menunjukan dia hamil pasangan kembar.

    Kisah kehilangan Elizabeth kemudian mendapat perhatian orang ramai sebelum menjadi tular di laman media sosial. Malah menerusi laman Facebook, terdapat beberapa kumpulan telah dicipta untuk membincangkan tentang kes Elizabeth. Salah satu kumpulan tersebut adalah Elizabeth Jasso...missing theories and discussions yang kini mempunyai seramai 31 000 orang ahli.

    Namun ada satu perkara rahsia mengenai Elizabeth yang telah mengejutkan serta mengecewakan keluarga mentuanya. Berdasarkan siasatan tersendiri yang mereka buat beberapa jam selepas kehilangan Elizabeth, terbongkar rahsia besar bahawa Elizabeth sebenarnya tidak pernah hamil. Berita kehamilannya selepas kematian Milko hanyalah satu pembohongan besar semata-mata. Berkenaan dengan foto imbasan ultrabunyi itu pula merupakan hasil pembelian Elizabeth secara dalam talian. Satu perkara yang dapat dipastikan, Elizabeth sebenarnya tidak boleh hamil sampai bila-bila.

    Pihak polis telah mengesahkan bahawa Elizabeth berada dalam keadaan baik tanpa mengalami sebarang kecederaan. Siasatan juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah. Jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan. Buat masa sekarang, motif sebenar Elizabeth menghilangkan diri masih lagi tidak diketahui. Sementara itu, Blanca benar-benar berasa terkilan dengan tindakan Elizabeth yang telah memalsukan tentang kehamilannya.

Catat Ulasan for "MISTERI KEHILANGAN ELIZABETH JASSO TERLERAI"