Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

10 FILEM MISTERI, SERAM DAN THRILLER YANG HARUS DITONTON


10. CASE 39 (2009)

    Apa yang anda akan lakukan sekiranya berdepan dengan seorang budak yang sebenarnya adalah berketurunan iblis?

    Filem Case 39 ini mengisahkan tentang seorang wanita pekerja kebajikan sosial bernama Emily Jenkins yang telah menerima sekeping fail kes bernombor 39 untuk diuruskannya. Kes itu adalah tentang seorang budak perempuan berusia 10 tahun iaitu Lilith Sullivan yang dikatakan bermasalah.    Selepas meneliti butiran fail dan melakukan lawatan ke rumah budak perempuan tersebut, Emily melihat ibu bapa Lilith sebagai pasangan jahat yang boleh mengancam nyawa Lilith. Hinggalah pada satu malam, Emily menerima panggilan telefon daripada Lilith yang memberitahu bahawa dia akan dibunuh oleh ibu bapanya. Tanpa berlengah, Emily bergegas pergi ke rumah Lilith bersama dengan seorang rakan detektifnya, Mike Barron. Ternyata apa yang diperkatakan Lilith sebelum itu benar sama sekali. Dia nyaris dibunuh oleh ibu bapanya dengan cara tubuh badannya dimasukkan ke dalam ketuhar. Mujur sajalah Emily dan Mike sempat untuk menyelamatkan Lilith.

    Tidak lama selepas insiden tersebut, Lilith menetap di rumah Emily buat sementara waktu hingga ada keluarga lain yang akan datang mengambilnya sebagai anak angkat. Namun apa yang pasti, tinggal bersama dengan Lilith adalah salah satu keputusan terburuk yang pernah dibuat oleh Emily dalam hidupnya.






9. YOU'RE NEXT (2011)

    Sebuah lagi filem horror slasher yang menarik untuk ditonton. Penuh dengan adegan brutal dan berdarah. Tentang ending, bersiap siagalah anda okay. Sekali lagi, perempuan jadi fighter. Fuhhhh.

    Jalan cerita mengisahkan tentang seorang wanita bernama Erin yang telah mengikuti teman lelakinya iaitu Crispian untuk pergi ke sebuah rumah mewah milik ibu bapa Crispian yakni bertempat di sebuah kawasan terpencil Missouri. Turut serta datang ke rumah itu adalah beberapa orang lagi adik-beradik Crispian yang ditemani oleh kekasih  dan isteri masing-masing. Tujuan kedatangan mereka semua ke rumah itu adalah sempena ulang tahun perkahwinan orang tua mereka.

    Kisah sebenar bermula pada waktu makan malam apabila ada watak seorang lelaki bernama Tariq tiba-tiba mati selepas kepalanya ditikam dengan anak panah yang telah dipanah oleh sekumpulan psikopat bertopeng yang berada di luar rumah tersebut. Bermula saat itu, semua keluarga Crispian terpaksa bersembunyi untuk menyelamatkan diri masing-masing. 

    Apa yang pasti, Erin bukan calang-calang orang.



8. SINISTER (2012)

    Jika anda adalah peminat filem seram tetapi belum pernah menonton filem Sinister lakonan Ethan Hawke ini, maka sila segerakan menonton. 

    Filem ini mengisahkan tentang seorang penulis buku kisah jenayah benar bernama Ellison Oswalt yang mengalami kebuntuan idea dalam menghasilkan karya terbarunya. Bagi mendapatkan ilham penulisan, maka Ellison telah membawa keluarganya berpindah ke sebuah rumah yang pernah menjadi lokasi pembunuhan misteri. 

    Tidak lama selepas memasuki rumah itu, Ellison telah menemui beberapa gulungan filem lama berserta dengan projektor di bahagian loteng. Mengejutkan Ellison, gulungan filem tersebut adalah rakaman pembunuhan beberapa buah keluarga yang begitu dahsyat dan kejam. Paling menakutkan, setiap rakaman filem itu mempunyai penampakan satu susuk tubuh makhluk yang benar-benar menyeramkan. Ellison kemudian mula menyedari satu malapetaka buruk akan berlaku kepada diri dan keluarganya. 





7. OCULUS (2013) 

    Selepas tengok filem ini, nak tengok cermin pun fikir dua tiga kali. Takut tertengok "penampakan". 

    Filem Oculus ini mengisahkan tentang dua adik beradik yatim piatu bernama Kaylie dan Tim yang kembali bertemu selepas sekian lama terpisah. 11 tahun sebelum pertemuan semula jejak kasih tersebut, ibu bapa pasangan adik beradik itu telah ditemui mati dalam keadaan yang begitu mengerikan di rumah mereka sendiri. 

    Kaylie sememangnya meyakini bahawa kematian orang tuanya sebelum ini adalah angkara sebuah cermin antik berusia lebih dari 300 tahun yang pernah berada di rumah mereka. Jadi, Kaylie pun mengajak Tim untuk kembali ke rumah mereka bagi membuktikan teorinya tentang cermin antik yang dikatakan berhantu itu. Kaylie bukan sekadar ajak kosong kerana dia sudah pun membuat kajian terperinci mengenai cermin antik tersebut. Malah sebagai persediaan awal, Kaylie telah menyediakan pelbagai peralatan seperti kamera dan sistem penggera sebagai langkah berjaga-jaga dalam rumah itu. 

    Namun apa yang berlaku kemudian, Kaylie serta Tim telah terperangkap antara realiti dan halusinasi.
 


6. MAMA (2013)

    Sebuah filem seram yang agak underrated, namun jalan ceritanya yang cukup bagus. Salah satu peraturan dalam filem seram, jangan pernah berharap dengan penamat cerita yang menggembirakan. Begitulah juga dengan filem Mama ini. 

    Filem Mama mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Lucas yang dikejutkan dengan berita penemuan dua orang anak buah perempuannya iaitu Victoria dan Lily yang telah ditemui berada dalam sebuah kabin terbiar di  tengah hutan selepas lima tahun mereka dilaporkan hilang. Menyedihkan, kedua-dua anak buah Lucas itu dilihat sudah tidak lagi bertingkah laku normal seperti kanak-kanak lain itu.

    Hak penjagaan Victoria dan Lily akhirnya diberikan kepada Lucas bersama dengan isterinya yang bernama Annabel. Tidak lama kemudian, Lucas dan Annabel menyedari bahawa ada orang "ketiga" sentiasa bersama Victoria dan Lily yang mereka berdua gelarkan sebagai "Mama". "Mama" itulah yang menjaga Victoria dan Lily sepanjang lima tahun tempoh kehilangan dua adik beradik berkenaan. Lebih parah apabila "Mama" itu menjadi semakin marah kerana berasa cemburu dengan Annabelle yang telah mula menunjukkan ciri-ciri keibuan sebenar.



5. KRISTY (2014)

    Fuh. Berdebar serta berpeluh layan filem ni. Memang puas hati gila kot dengan ending nya. Lebih-lebih lagi bila watak perempuan yang jadi fighter. 

    Filem ini mengisahkan seorang pelajar wanita universiti bernama Justine yang memilih untuk tinggal bersendirian di asrama kampusnya tatkala semua pelajar lain pulang ke rumah masing-masing sempena cuti perayaan Hari Kesyukuran. Apa yang berlaku kemudian, sekumpulan psikopat yang juga merupakan pengikut ajaran sesat siber telah mencerobohi kampus itu untuk membunuh Justine. 

    Justine terpaksa berjuang seorang diri untuk terus hidup selepas pengawal keselamatan dalam kampus berkenaan turut mati dibunuh oleh kumpulan psikopat yang sangat kejam tersebut.



4.  BOY MISSING (SECUESTRO) - 2016

    Sebuah filem misteri thriller dari Sepanyol dengan unsur plot twist. 

    Filem ini mengisahkan tentang seorang budak lelaki bernama Victor yang telah ditemui di jalanan dalam keadaannya cedera. Dia yang kemudian dihantar ke hospital enggan untuk membuka mulut semasa disoal siasat oleh pihak polis. Hanya selepas ketibaan ibu Victor iaitu Patricia di hospital yang juga merupakan seorang peguam hebat, barulah diketahui bahawa Victor adalah seorang bisu dan pekak yang hanya boleh berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.

    Tidak lama selepas dibenarkan untuk keluar dari hospital, Victor mendakwa bahawa dia sebenarnya telah menjadi mangsa penculikan seorang lelaki bekas banduan yang dikenalpasti sebagai Charlie.

    Charlie yang kemudian ditahan bagaimanapun dibebaskan semula berikutan tiada bukti kukuh untuk mendakwanya melakukan penculikan terhadap Victor. Disebabkan berasa tidak puas hati dengan pembebasan Charlie, maka Patricia pun pergi meminta pertolongan dengan Raul yakni bekas kliennya untuk menakut-nakutkan Charlie. Apa yang berlaku seterusnya benar-benar mengejutkan di mana Charlie telah mati dibunuh oleh orang upahan Raul namun pada masa yang sama Victor mendedahkan tentang cerita penculikannya sebelum ini adalah sekadar pembohongan semata-mata. Maka dengan kematian Charlie, hidup Patricia pun mula menjadi tidak tenteram kerana menyedari dirinya pasti akan menjadi buruan pihak polis



3. DACHRA (2018)

    Filem Dachra yang berkisarkan tentang sihir ini merupakan filem seram pertama dari negara Tunisia yang dikatakan inspirasi daripada kisah benar. Jalan ceritanya seakan menyamai filem The Blair Witch Project. Cuma bezanya, Dachra bukan filem berkonsepkan found footage.

    Dachra mengisahkan tentang tiga orang pelajar iaitu Yassmine, Bilel dan Walid yang bekerjasama melakukan  sebuah projek penyelidikan. Mereka bertiga telah bersepakat untuk membuat penyelidikan tentang seorang wanita pesakit mental bernama Mongia. Apa yang diketahui yakni pada 20 tahun sebelumnya, Mongia telah ditemui di tepi jalan dalam keadaannya hampir mati akibat leher dikelar. Mongia yang tidak diketahui asal usulnya kemudian  ditahan di hospital sakit mental sebelum diyakini sebagai seorang ahli sihir.

    Penyelidikan yang dilakukan oleh Yassmine, Bilel dan Walid tidak semudah seperti yang disangkakan kerana pihak hospital sakit mental telah menafikan kewujudan pesakit bernama Mongia. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga pelajar berkenaan tekad untuk terus melakukan penyiasatan hingga pada akhirnya mereka bertiga terperangkap di sebuah perkampungan terpencil yang benar-benar menakutkan.






2. THE DARK AND THE WICKED (2020)

    Pertama sekali, filem ini bukanlah filem seram seperti The Conjuring atau Evil Dead. Diingatkan, filem ini disarankan kepada mereka yang boleh layan filem seram jenis slow burn. Contoh paling mudah, filem ini ala-ala filem Hereditary (2018).

    The Dark and The Wicked ini mengisahkan dua adik beradik bernama Louise dan Michael yang telah pulang mengunjungi ibu bapa mereka yang tinggal di sebuah kawasan ladang terpencil. Kepulangan Louise dan Michael bagaimanapun tidak disambut baik oleh ibu mereka yang segera menyuruh anak-anaknya itu untuk beredar pergi dari rumah tersebut. Bapa Louise dan Michael pada waktu ini juga sememangnya berada dalam keadaan sakit tenat.

    Apa yang berlaku kemudian, ibu Louise dan Michael ditemui mati tergantung di dalam bangsal kawasan rumah berkenaan. Tidak lama selepas itu, Michael telah menemui sebuah diari milik ibunya. Catatan dalam diari tersebut, ada unsur kejahatan yang sedang cuba untuk mengambil jiwa bapa Louise dan Michael.



1. FEAR OF RAIN (2021)

    Pernah tak anda mengalami satu kejadian di mana korang menyangka sesuatu kejadian itu benar-benar berlaku sedangkan ia hanyalah khayalan korang semata-mata. Tak pun, anda sendiri menjadi keliru samada kejadian itu adalah realiti atau sekadar ilusi.

    Filem Fear of Rain ini mengangkat tema tentang skizofrenia yakni sejenis penyakit mental yang serius di mana ianya menganggu kewarasan seseorang individu. Seseorang yang mengalami skizofrenia ini kebiasaannya akan mengalami delusi dan halusinasi pendengaran.

    Baiklah, jalan mengisahkan tentang seorang gadis remaja bernama Rain Burroughs yang mengidap penyakit skizofrenia. Dari awal filem lagi, Rain dilihat sering mengalami halusinasi hingga menyebabkan dia bergelut dengan emosinya sendiri. Di sekolah, Rain hanya mempunyai seorang rakan lelaki bernama Caleb yang mungkin sekadar khayalan di depan matanya.

    Hinggalah satu hari, Rain mula meragui tentang seorang wanita iaitu McConnell merangkap jiran dan di guru sekolahnya yang dia yakini adalah sebagai seorang penculik kanak-kanak. Ingat, Rain adalah seorang pesakit skizofrenia. Jadi, bukan mudah ibu bapanya untuk mempercayai tentang perkara itu.

    Percayalah, anda sendiri nanti pun akan jadi keliru antara realiti dan halusinasi.

Catat Ulasan for "10 FILEM MISTERI, SERAM DAN THRILLER YANG HARUS DITONTON"