MENGUNGKAP KISAH PEMBUNUHAN GABBY PETITO
Gabrielle Petito atau lebih dikenali sebagai Gabby dilahirkan pada 19 Mac 1999 bertempat di Long Island, New York. Dia menetap bersama ibu dan bapa tirinya namun pada masa yang sama masih mempunyai hubungan baik dengan bapa kandungnya. Tentang hubungannya dengan Brian Laundrie, mereka berdua sudah berkenalan sejak dari zaman sekolah menengah. Hubungan cinta antara Brian dan Gabby bagaimanapun mula berputik pada sekitar tahun 2019. Lebih kurang setahun kemudian, pasangan itu pun mengikat tali pertunangan selepas Gabby menerima lamaran perkahwinan daripada Brian. Menerusi hantaran ayat berbunga-bunga di laman media sosial masing-masing, Brian dan Gabby jelas dilihat sangat mencintai antara satu sama lain.
Setelah bertunang, Gabby tinggal sekali bersama dengan keluarga Brian di sebuah rumah yang terletak di Florida. Brian dan Gabby mempunyai hobi yang sama seperti berkhemah, mendaki dan mengembara. Segala hal perjalanan aktiviti lasak tersebut sering mereka berdua muatnaik di laman media sosial Instagram, Tiktok dan Youtube. Kisah sebenar bagaimanapun bermula apabila Brian dan Gabby bersepakat untuk melakukan trip perjalanan kembara selama 4 bulan dengan matlamat merentas beberapa negeri di Amerika Syarikat menggunakan van putih jenis Ford milik keluarga Gabby. Pasangan itu dilaporkan memulakan perjalanan mereka pada tarikh 2 Julai 2021.
Namun hinggalah pada 12 Ogos 2021 yakni di Utah, pihak polis
telah menerima maklumat daripada orang awam berhubung dengan satu insiden
pertengkaran yang melibatkan satu pasangan tidak lain tidak bukan antara Brian
dan Gabby. Setibanya polis di lokasi kejadian, Gabby dilihat sedang menangis
teresak-esak. Gabby bagaimanapun memberitahu pihak polis bahawa keadaannya itu
adalah disebabkan masalah kesihatan mental yang dialaminya. Terdapat kesan
cakaran pada lengan, leher dan muka Brian. Perkara ini menyebabkan Gabby hampir
untuk ditangkap. Walau bagaimanapun, perkara tersebut dapat diselesaikan dengan
baik memandangkan Brian dan Gabby jelas saling mencintai antara satu sama lain.
Kedua-dua mereka juga bersetuju untuk tidur berasingan pada malam itu seperti
yang disarankan oleh pihak polis dengan harapan situasi akan kembali menjadi
terkawal. Jadi Brian pun bermalam di motel manakala Gabby memilih untuk tidur
di dalam van. Seperkara harus diketahui, rakan-rakan kepada Brian dan Gabby
mendakwa bahawa pasangan tersebut sebenarnya tidaklah sebahagia seperti yang
disangkakan.
Pada tarikh 1 September 2021, Brian telah pulang ke rumahnya
yang terletak di Florida dengan menaiki van putih Gabby. Perkara paling
mengejutkan, Brian pulang bersendirian! Dalam erti kata lain, Gabby tiada
bersama dengannya. Menurut keterangan daripada ibu Gabby, kali terakhir dia
berhubung dengan anaknya itu adalah pada 25 Ogos menerusi panggilan video
telefon. Lokasi terakhirnya dipercayai berada di sekitar kawasan Grand Teton,
Wyoming. Selepas dari tarikh tersebut, Gabby gagal untuk dihubungi sama sekali.
Menerusi laman Instagram Gabby, foto terakhir yang dimuatnaiknya adalah
bertarikh 26 Ogos dengan kapsyen “Happy Halloween". 11
September, keluarga Gabby pun pergi membuat laporan polis tentang kehilangan
Gabby.
Berbalik semula kepada Brian, dia bukan saja langsung tidak
membantu pihak polis mengesan Gabby malah enggan untuk membuka mulut bagi
berbicara tentang tunangnya itu. Sebarang urusan hanya melalui peguam keluarga
Brian. Pelik bukan? Perkara tersebut mencetuskan persoalan memandangkan Brian
adalah individu terakhir yang disyaki bersama Gabby. Kakak Brian merupakan
satu-satunya anggota keluarga Brian yang membuka mulut untuk menyatakan rasa
simpatinya terhadap nasib yang menimpa Gabby. Ibu bapa Brian pula lebih banyak
mendiamkan diri. Sepertinya mereka berdua sedang menyembunyikan satu rahsia
yang sangat besar. Puas keluarga Gabby merayu kepada keluarga Brian supaya
memberikan kerjasama bagi membantu siasatan akan tetapi rayuan berkenaan
langsung tidak diendahkan.
Kes menjadi semakin rumit saat Brian tiba-tiba dilaporkan
hilang oleh keluarganya pada 17 September 2021. Masalahnya di sini, laporan
kehilangan Brian itu hanya dibuat pada hari ketiga dia dipercayai hilang. Fikir
secara logik, mengapa keluarga Brian menunggu masa sehingga tiga hari untuk
membuat laporan polis? Brian pada waktu sebelumnya dikatakan keluar dari rumah
untuk pergi mendaki tanpa membawa barangan peribadi penting seperti dompet dan
telefon.
Pihak berkuasa telah melancarkan operasi pemburuan dan
pencarian Brian di merata tempat terutamanya dalam sebuah kawasan hutan
berpaya. Di kawasan situlah mayat seorang wanita yang dikenalpasti sebagai
Gabby ditemui. Hasil pemeriksaan awal pihak polis, kematian Gabby
diklasifikasikan sebagai kes pembunuhan. Cumanya pihak polis masih lagi tidak mendedahkan
punca sebenar kematian Gabby. Rentetan daripada penemuan mayat Gabby, pihak
polis telah melakukan penggeledahan di rumah keluarga Brian yang telah
diisytiharkan sebagai salah satu lokasi kejadian. Lain-lain hal, pihak polis
mengeluarkan waran tangkap terhadap Brian yang didapati ada menggunakan kad
kredit Gabby pada waktu selepas kehilangan tunangnya itu.
Hingga setakat artikel ini ditulis, Brian masih lagi belum dapat ditemui. Jadi dengan menghilangnya Brian, kes kekal tergantung. Apapun, sama-sama kita tunggu kesudahannya. Adakah bakal terungkai atau terus menjadi misteri?
Catat Ulasan for "MENGUNGKAP KISAH PEMBUNUHAN GABBY PETITO "