Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KASIH IBU HINGGA HUJUNG NYAWA

    VENEZUELA - Kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu tidak ternilai harganya. Mungkin tiada istilah ibu yang sempurna, namun seorang ibu sudah pasti berusaha sebaik mungkin untuk menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anaknya. Tidak akan ada orang yang menyayangi kita sepenuh hati sebagaimana ibu kita melakukannya. Ibu kita dapat menggantikan manusia yang ada dalam hidup kita tetapi dia tidak akan pernah dapat diganti oleh sesiapa pun.

    Baru-baru ini, tular tentang seorang wanita berusia 40 tahun dari negara Venezuela bernama Mariely Chacon yang telah mati dalam keadaan tragis di tengah lautan luas. Dia rela mati demi menyelamatkan nyawa dua orang anak kecilnya. Kisah bermula pada 3 September lalu apabila Mariely bersama suami serta dua orang anak mereka iaitu Jose David (6 tahun) dan Maria Beatriz Camblor Chacon (2 tahun) pergi berlayar dari Higuerote menuju ke Pulau Tortuga, Venezuela. Menerusi laporan media, ada lima individu lain yang telah turut serta dalam pelayaran tersebut. Ini termasuklah seorang wanita pengasuh kepada anak-anak Mariely yang dikenali sebagai Veronica Martinez (25 tahun).

    Diringkaskan cerita, trip pelayaran yang menyeronokkan itu telah bertukar menjadi satu bencana. Kapal yang dinaiki oleh Mariely tersebut hancur akibat dilanda ombak besar. Dalam situasi mencemaskan itu, Mariely sempat berpaut pada serpihan kapal berkenaan bersama dengan Jose dan Maria. Tiga beranak terbabit hanyut di tengah lautan selama empat hari tanpa sebarang makanan dan minuman ditambah dengan keadaan cuaca yang begitu panas terik. Sepanjang tempoh tersebut, Mariely terpaksa berkorban meminum air kencing sendiri supaya dia dapat menghasilkan susu badan untuk menyusukan kedua-dua anaknya itu secara berterusan. Dalam fikiran Mariely, dia hanya mahu memastikan Jose dan Maria untuk terus hidup. Hingga hujung nyawa.

    Paling menyedihkan, Mariely didapati sudah lagi tidak bernyawa sewaktu dia dan anak-anaknya berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat. Bahkan sewaktu penemuan dibuat, Jose dan Maria dilihat saling berpelukan dengan mayat ibu mereka. Mariely dipercayai telah meninggal dunia akibat dehidrasi pada beberapa jam sebelumnya. Berdasarkan laporan forensik, organ penting Mariely gagal untuk berfungsi kerana kekurangan elektrolit yang disebabkan oleh dehidrasi berikutan dengan kecepatan penyusuannya sewaktu kejadian. Tentang Jose dan Maria, mereka berdua yang turut mengalami dehidrasi teruk terus dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya. Begitu juga dengan seorang lagi mangsa terselamat yakni Veronica yang bersembunyi di dalam sebuah peti kosong.  

    Sementara itu, suami Mariely dan empat lagi individu yang berada dalam kapal tersebut dilaporkan masih lagi hilang. Menurut keterangan daripada jurucakap agensi berkaitan, peluang semua mangsa untuk diselamatkan dengan lebih awal lebih cerah jika kapal dilengkapi dengan radio, GPS atau suar kecemasan.

Catat Ulasan for "KASIH IBU HINGGA HUJUNG NYAWA "