KISAH DANIEL HOLTZCLAW : Sisi Gelap Seorang Anggota Polis
Daniel Holtzclaw atau nama sebenarnya Daniel Ken Holtzclaw
dilahirkan pada 10 Disember tahun 1986 bertempat di wilayah Guam, Amerika
Syarikat. Dia merupakan seorang berdarah kacukan Jepun yakni anak kepada
pasangan suami isteri yang bernama Eric dan Kumiko Holtzclaw. Selain itu, Daniel
juga mempunyai dua orang adik beradik perempuan iaitu Jenny dan Julie. Habis
sekolah menengah, Daniel telah melanjutkan pelajarannya ke Universiti Timur
Michigan dengan mengambil jurusan Keadilan Jenayah. Selepas tamat graduasi
tahun 2010, Daniel menyertai Jabatan Polis Oklahoma. Daniel yang juga mempunyai
teman wanita dikatakan sebagai lelaki berperwatakan alim, baik, sopan dan
begitu disenangi oleh orang di sekelilingnya.
Kisah sebenar bermula pada malam 18 Jun 2014. Malam tersebut, seorang wanita berkulit hitam berusia 57 tahun yang dikenali sebagai Jannie Ligons sedang memandu keretanya di sebuah kawasan jalan raya sunyi sepi. Tidak lama selepas itu, kereta yang dipandu Jannie tersebut telah dipintas oleh sebuah kereta polis peronda. Janie yang sudah mempunyai seramai 12 orang cucu itu kemudian disuruh untuk memberhentikan keretanya di tepi jalan. Janie seterusnya melihat ada seorang lelaki anggota polis yang mendekatinya. Tiada angin dan tiada ribut, Janie telah dituduh oleh anggota polis berkenaan melakukan pelbagai kesalahan undang-undang jalan raya. Dalam erti kata lain, Janie ditahan tanpa sebarang sebab. Janie yang berasa tidak puas hati pada mulanya cuba untuk membantah namun berakhir dengan mimpi ngeri apabila anggota polis tersebut telah meliwat serta memaksanya melakukan oral seks di tepi jalan. Selesai berbuat sedemikian, anggota polis itu pun beredar pergi serta pada masa sama membuat ancaman bunuh kepada Janie sekiranya dia berani mendedahkan kejadian malam tersebut kepada sesiapa.
Janie yang dalam keadaan ketakutan bagaimanapun tekad untuk segera membuat laporan polis di Jabatan Polis Oklahoma mengenai kejadian rogol itu. Hasil siasatan selanjutnya daripada pihak polis Oklahoma mendapati pelaku yang dimaksudkan oleh Janie tersebut dikenalpasti sebagai Daniel Holtzclaw. Berdasarkan sesi soal siasat awal terhadap Daniel, dia telah membuat penafian berhubung tuduhan Janie. Walau bagaimanapun, keputusan DNA pada seluar dalam serta pakaian uniform yang dipakai oleh Daniel telah dapat mengesahkannya sebagai suspek. Jadi, Daniel pun ditahan serta merta. Tidak lama selepas penangkapan Daniel, pihak polis Oklahoma terus membuat semakan rekod aduan yang dibuat oleh beberapa orang wanita sebelum ini di mana mereka pernah mengalami kejadian sama seperti Janie, diliwat dan dikerah untuk melakukan oral seks. Semua mangsa telah diminta datang ke balai polis sebelum membuat pengecaman identiti terhadap Daniel yang diyakini sebagai perogol mereka sebelum ini.
Seorang demi mangsa akhirnya tampil membuat dakwaan pernah menjadi mangsa liwat Daniel. Hingga bulan November 2014, jumlah keseluruhan mangsa Daniel adalah seramai 13 orang wanita termasuk pelacur. Semua mangsa adalah wanita berkulit hitam dengan rata-rata daripada mereka berusia lebih dari 40 tahun. Hanya ada seorang saja mangsa Daniel yang muda yakni berusia 17 tahun. Seperkara dapat dipastikan, modus operandi Daniel adalah seperti yang berlaku terhadap Janie. Hampir semua mangsa dilaporkan tidak berani membuat laporan polis kerana menerima ugutan bunuh oleh Daniel.
Sewaktu perbicaraan kes, Daniel yang dipecat daripada
Jabatan Polis Oklahama telah mengaku tidak bersalah dengan alasan diperangkap
oleh mangsa. Ibu bapa Daniel mempercayai bahawa satu-satunya anak lelaki mereka
itu memang tidak bersalah. Begitu juga dengan teman wanita Daniel iaitu Kerri
Hunt yang sentiasa menyokongnya. Mereka percaya Daniel merupakan seorang mangsa
teraniaya walaupun bukti di mahkamah menunjukkan sebaliknya. Hinggalah pada bulan
Disember 2015, pihak juri telah memutuskan Daniel bersalah atas tuduhan
melakukan keganasan seksual, rogol, pemalsuan bukti dan beberapa lagi pertuduhan
yang lain. Maka Daniel pun dihukum penjara selama 263 tahun. Mendengar
keputusan hukuman tersebut, Daniel terus menangis teresak-esak. Pasukan peguam
pembelaan cuba untuk membuat rayuan tetapi malangnya tidak diterima.
Timbul persoalan mengapa Daniel sanggup melakukan perbuatan keji dan terkutuk tersebut sedangkan kehidupannya sudah nampak begitu sempurna. Ada kerjaya, ada teman wanita dan memiliki keluarga penyayang tetapi Daniel sendiri pula dibayangi dengan sisi gelapnya sebagai manusia pemangsa. Apa yang Daniel sebenarnya inginkan?
Catat Ulasan for "KISAH DANIEL HOLTZCLAW : Sisi Gelap Seorang Anggota Polis"