Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH MELEK IPEK : Aku yang Kau Gelar Isteri

Melek

    Pada tahun 2006 bertempat di negara Turki, seorang gadis cantik berusia 17 tahun bernama Melek Ipek telah berkenalan dengan seorang lelaki yang tua lima tahun daripadanya iaitu Ramazan. Perkenalan yang seterusnya membawa bibit-bibit percintaan antara mereka berdua. Pada mulanya, hubungan Ramazan dan Melek sebagai pasangan kekasih ketika itu adalah baik-baik saja. Semuanya seakan nampak sempurna. Hinggalah satu hari, Melek telah dirogol oleh Ramazan yang sememangnya seorang bermulut manis. Melek terpaksa mendiamkan diri tentang perkara tersebut kerana Ramazan melakukan ugutan bunuh terhadap diri dan keluarganya. Terserlah perangai sebenar Ramazan yang sebenarnya adalah seorang yang sangat panas baran serta kaki pukul. Nasib malang Melek berterusan apabila dia menjadi mangsa rogol serta pukul Ramazan dengan kerap.  

    Diringkaskan cerita yakni pada tahun 2008, Melek terpaksa menerima lamaran nikah daripada Ramazan. Melek bernikah dalam keterpaksaan kerana dia sentiasa diugut bunuh oleh Ramazan. Melek tidak dapat untuk berbuat apa-apa sekalipun memandangkan Ramazan memang lelaki jenis benar-benar menunaikan dengan apa yang dijanjikannya. Ugutan bunuh sudah menjadi permainan mulut Ramazan. Tiga tahun selepas pernikahan, Melek selamat melahirkan puteri sulungnya yang diberi nama sebagai Ceylin Deniz. Walau bagaimanapun, Ramazan yang sudah diberhentikan kerja daripada tentera pada waktu itu begitu membenci Ceylin yang dituduhnya sebagai anak Melek hasil hubungan terlarangnya bersama dengan lelaki lain. Seperkara yang harus diketahui, Melek pernah bergelar sebagai pelajar universiti sebelum dia terpaksa berhenti belajar gara-gara sikap cemburu melampau Ramazan yang sering menuduhnya berlaku curang. Apa yang pasti, Melek selalu dituduh untuk perkara dia memang tidak pernah lakukan.

    Tahun 2013, anak perempuan kedua Melek bernama Ikre Nur pun dilahirkan. Sama seperti Ceylin, Ikre juga menjadi mangsa kebencian bapanya. Kali ini Ramazan memberikan alasan bahawa dia menginginkan anak lelaki sebagai penyambung keturunan. Sepanjang tempoh perkahwinan bersama dengan Ramazan, Melek tidak pernah berasa bahagia walaupun untuk sesaat. Bayangkan hidup Melek hanya untuk dibelasah, dipukul, dicekik dan disimbah dengan air panas oleh Ramazan. Selain itu, Ramazan juga kerap memukul kedua-dua anak perempuannya. Lagi kejam, Ramazan gemar untuk merogol Melek betul-betul di depan mata anak mereka. Melek dan anak-anaknya juga dilarang sama sekali untuk mempunyai telefon. Adakalanya tiga beranak berkenaan dihukum dengan dipaksa berkurung dalam almari selama 24 jam serta dibiarkan kelaparan. Tiada apa yang boleh Melek, Ceylin dan Ikre lakukan kerana nyawa mereka bertiga sentiasa diancam oleh Ramazan. Satu lagi cerita tidak masuk akal, Ramazan pernah beberapa kali melakukan hubungan seks dengan bakal adik iparnya sendiri. Menyedihkan, perbuatan keji tersebut sengaja dilakukan di depan Melek.

    Insiden kemuncaknya berlaku pada malam 7 Januari 2021. Malam itu, teruk Melek dikerjakan oleh Ramazan hingga dia mengalami kecederaan teruk di bahagian muka. Selepas puas mengerjakan Melek, Ramazan pun keluar dari rumah. Ramazan bagaimanapun sempat lagi untuk mengugut bunuh Melek dan anak-anak mereka apabila dia kembali ke rumah kelak. Risau memikirkan nasib Ceylin dan Ikre, Melek akhirnya tekad untuk melakukan satu perkara bagi mengakhiri segala penderitaan yang dilaluinya selama ini. Jadi apa yang Melek lakukan, dia mengambil sepucuk senapang yang disimpan Ramazan.

    Sekembalinya Ramazan ke rumah, dia melihat Melek sedang mengacu senapang ke arahnya. Dalam situasi mendebarkan untuk Malek tersebut, Ramazan yang berdiri di depan pintu dengan senyuman penuh sinis. Dia mengejek bahawa isterinya itu nanti akan hidup terkontang-kanting jika tembakan tersebut dilepaskan. Ramazan berkata dengan nada begitu angkuh serta berbaur perlian,

    “Kau ingat ada benda yang boleh lindungi kau? Aku akan tetap lawan kau dan jika aku dipenjara sekalipun, aku akan bunuh kau dan anak-anak kau bila aku dibebaskan dari penjara nanti. Aku akan kerat badan kau untuk dijadikan sebagai makanan anjing supaya tiada siapa pun tahu kau dah mati.”

    Bang! Ramazan jatuh rebah akibat terkena tembakan oleh Melek. Menyedari suaminya sudah pun mati, Melek terduduk sambil menangis teresak-esak. Tidak lama selepas insiden tembakan itu, pihak polis yang dimaklumkan tentang insiden terbabit segera tiba di lokasi kejadian lalu menangkap Melek dengan serta merta untuk menerima dakwaan melakukan pembunuhan.

    Berikutan berita penangkapan dan kisah tragis Melek yang tular laman media sosial, ramai pihak menuntut pihak berkuasa supaya Melek dibebaskan memandangkan pembunuhan tersebut adalah bagi mempertahankan diri daripada menjadi mangsa bunuh suami. Petisyen pembebasan Melek bukan saja telah dilancarkan, bahkan Tayyip Erdogan didesak untuk lebih memberikan perhatian terhadap kes keganasan wanita yang semakin meningkat di negara Turki. Pujian wajar diberikan kepada peguam bela Melek yang telah berusaha sebaik mungkin untuk membela nasib Melek. Bulan April 2021, pengakhiran yang menggembirakan apabila Melek telah dibebaskan daripada sebarang pertuduhan membunuh. Maka Melek kini hidup bahagia bersama dengan Ceylin dan Ikre. Saksikan video pertemuan semula Melek dengan keluarganya sejurus selepas pembebasannya. Memang benar-benar menyentuh emosi. Klik pautan video ini : https://youtu.be/iT8McIwynUg

1 ulasan for "KISAH MELEK IPEK : Aku yang Kau Gelar Isteri"

  1. Mereput la si ramazan tu dlm neraka..perangai mcm iblis..lama giler si melek ni tahan sabar dgn kerenah laki dia yg otak mereng tu..semoga lps ni melek ni hidup bahagia dgn anak² nya..

    BalasPadam