KISAH PEMBUNUHAN CODY JOHNSON : Hari Kelapan Bergelar Pengantin
Cody dan Jordan |
Cody Johnson yang dilahirkan pada tahun 1988 bertempat di
San Jose, California, Amerika Syarikat digambarkan sebagai seorang lelaki baik,
peramah, ringan tulangdan begitu disenangi oleh orang-orang di sekelillingnya. Diringkaskan
cerita yakni pada satu hari, Cody telah berkenalan dengan seorang wanita yang
tiga tahun lebih muda daripadanya iaitu Jordan Graham. Perkenalan yang bermula
dari gereja tersebut telah membibit rasa cinta antara Cody dan Jordan hingga
mereka berdua akhirnya menjadi pasangan kekasih.
Mengenai Jordan, perangainya jauh berbeza dengan Cody.
Jordan berperwatakan pemalu, pendiam dan tidak mempunyai ramai rakan. Selain
itu, Jordan juga adalah seorang wanita alim yang memegang teguh prinsip untuk
tidak melakukan hubungan seks sebelum kahwin. Kealiman Jordan telah banyak
mempengaruhi Cody untuk datang lebih kerap ke gereja. Keluarga Cody ternyata begitu
senang dengan kehadiran Jordan yang dilihat sebagai calon isteri paling sesuai
untuk Cody.
Kisah cinta antara Cody dan Jordan sepertinya nampak
sempurna. Tiada cacat cela dalam perhubungan mereka berdua. Cody sememangnya
benar-benar mencintai Jordan. Adakah Jordan cintakan Cody sebagaimana Cody
cintakan dirinya? Jawapannya tidak sama sekali. Sepanjang tempoh Cody dan
Jordan bercinta, tiada sesiapa pun yang pernah melihat pasangan kekasih
tersebut berpegangan tangan, berpelukan apatah lagi berciuman. Bahkan Jordan
sering memberikan pelbagai alasan untuk menjauhkan dirinya daripada Cody. Dalam
erti kata lain, hanya Cody saja yang beriya dalam perhubungan cinta aneh itu.
Lebih kurang setahun berhubungan, Cody telah melamar Jordan untuk menjadi isterinya.
Cuma apa yang benar-benar mengejutkan, Jordan menerima lamaran berkenaan
walaupun dia sendiri tidak menyukai Cody. Segala urusan persiapan majlis
perkahwinan banyak diuruskan oleh Cody sedangkan Jordan sebolehnya enggan untuk
mengambil tahu tentang perkara tersebut.
Jadi, Cody dan Jordan akhirnya berkahwin secara rasmi pada 29 Jun 2013. Semasa majlis perkahwinan itu, Cody dilihat sangat gembira sekali. Lain pula ceritanya dengan Jordan di mana dia nampak kurang selesa sepanjang berada di sisi Cody. Nampak ketara senyumannya adalah satu senyuman yang terpaksa. Seperkara harus diketahui, Jordan pernah beberapa kali mengaju soalan kepada seorang rakan baiknya yang bernama Katrina Martinez tentang rasa keraguannya untuk meneruskan perkahwinan dengan Cody. Jawapan yang diberikan Katrina, pilihan adalah di tangan Jordan sendiri. Malah tidak lama selepas majlis perkahwinan tersebut, Jordan meluahkan kepada Katrina berhubung dengan rasa penyesalannya kerana sudi menjadi isteri kepada Cody. Jordan juga menolak untuk melakukan hubungan seks dengan Cody dengan memberikan alasan datang bulan.
Cody memang menyedari tentang layanan dingin yang diberikan oleh Jordan kepadanya. Walau bagaimanpun, dia berusaha sebaik yang mungkin untuk terus memikat hati isterinya itu. Hinggalah pada hari kelapan Cody bergelar suami kepada Jordan, dia tiba-tiba dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya. Laporan kehilangan tersebut dibuat berikutan Cody bukan saja tidak masuk bekerja, malah gagal untuk dihubungi. Apabila Jordan ditanya oleh keluarga dan rakan-rakan Cody tentang keberadaan suaminya itu, dia kelihatan begitu tenang sekali. Tiada sebarang tanda kerisauan pada wajahnya. Jordan dengan nada gembira memberitahu bahawa Cody telah keluar dari rumah menuju ke lokasi yang tidak diketahui. Lagi membuatkan keluarga Cody rasa curiga, Jordan sudah pun menanggalkan cincin perkahwinannya.
Hasil sesi soal siasat yang pihak polis jalankan terhadap
Jordan, dia didapati telah memberi keterangan dengan cerita yang tidak
konsisten. Versi penceritaan yang berubah-rubah. Sewaktu operasi pencarian Cody
masih giat dijalankan oleh pihak polis, Jordan tiba-tiba memberitahu mereka
bahawa dia ada menerima satu e-mel daripada seorang pengirim yang hanya
dikenali sebagai Tony S. E-mel berkenaan adalah pemberitahuan tentang kematian
Cody yang telah pun mati akibat terjatuh dari sebuah tebing tinggi bertempat di
Taman Kebangsaan Glacier. Tanpa berlengah, pihak polis berserta keluarga dan
rakan-rakan Cody terus melakukan pencarian di kawasan yang dimaksudkan. Jordan
turut serta tetapi dia menunjukkan perangai yang pelik semasa berada di dalam
kereta. Jordan ketawa seorang diri dan menyanyi sambil menikmati pemandangan
perjalanan.
Setibanya di lokasi, Jordan terus menunjukkan tebing tempat Cody
dipercayai terjatuh. Ya, memang benar apa yang diperkatakan Cody. Jauh di bawah
tebing tersebut, ada mayat Cody. Bagaimana Jordan mengetahui lokasi mayat Cody?
Dakwa Jordan, dia mendapat petunjuk daripada Tuhan. Rentetan daripada jawapan
mencurigakan itu, Jordan sekali lagi ditahan oleh pihak polis bagi membantu
siasatan. Mula-mulanya, Jordan membuat penafian bahawa dia bukanlah orang
terakhir yang bersama Cody. Rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian
bagaimanapun menunjukkan sebaliknya di mana Jordan didapati telah memasuki
Taman Kebangsaan Glacier bersama dengan Cody. Pihak polis turut dapat menjejaki
alamat IP “Tony” si pengirim e-mel yang beralamat di rumah ibu bapa Jordan.
Dari situ, terbongkarlah rahsia bahawa “Tony” sebenarnya adalah Jordan.
Menyedari pihak polis mempunyai bukti kukuh untuk mendakwanya, barulah Jordan menceritakan segala-galanya. Cerita Jordan, dia mengaku telah menolak Cody dari tebing dengan tolakan secara tidak sengaja. Mereka berdua pada sebelumnya dikatakan bertengkar. Pihak polis pula mengemukakan teori bahawa kematian Cody adalah satu pembunuhan terancang. Perkara ini berikutan Jordan yang terus beredar pergi selepas Cody terjatuh dari tebing. Jordan tidak mengambil sebarang tindakan kecemasan seperti memeriksa mahupun melaporkan keadaan Cody kepada pihak yang sepatunya. Mengikut teori pihak polis, Jordan diyakini telah mengumpan Cody untuk pergi ke Taman Kebangsaan Glacier, konon ada satu kejutan hadiah untuk suaminya itu. Sampai di tepi tebing, Jordan menyuruh Cody yang kedua-dua matanya diikat dengan kain untuk berpusing ke belakang. Sebaik Cody berbuat sedemikian, Jordan pun terus menolaknya. Motif Jordan, dia berasa tidak bahagia dengan perkahwinannya bersama dengan Cody.
Maka pada akhirnya, Jordan telah menerima pertuduhan melakukan pembunuhan peringkat pertama. Berhubung dengan perbicaraan kes, Jordan akhirnya mengaku bersalah atas pembunuhan Cody. Pengakuan itu dibuat selepas Jordan bersetuju untuk menerima rundingan pertuduhan dengan dia dituduh melakukan pembunuhan peringkat kedua. Tanggal 27 Mac 2014, Jordan telah dihukum penjara selama 30 tahun tanpa kelayakan pembebasan secara bersyarat.
Bersambung plk dh mcm drama pukul 7_🤣
BalasPadamAwat ada sambung pulak
BalasPadam