KISAH PEMBUNUHAN KEJAM AZRA GULENDAM
Pada penghujung bulan Julai 2021, penduduk di bandar Antalya
Turki dikejutkan dengan satu kes pembunuhan kejam yang telah mengorbankan nyawa
seorang gadis muda berusia 21 tahun bernama Azra Gulendam Haytaoglu. Dia yang
dilahirkan pada tahun 2000 adalah seorang pelajar jurusan kewartawanan di
Universiti Akdeniz, Antalya. Azra dikatakan sebagai seorang gadis yang
berperwatakan peramah, periang dan juga begitu lantang bersuara mempertahankan
prinsipnya.
Diringkaskan cerita iaitu pada bulan Mei 2021, Azra telah
mula berkenalan dengan seorang lelaki bernama Mustafa Murat Ayhan yakni seorang
ahli perniagaan dan ejen hartanah yang berjaya. Perkenalan tersebut bermula
selepas Mustafa dijemput untuk memberikan ceramah di Universiti Akdeniz. Azra
ternyata berasa begitu kagum dengan kejayaan Mustafa. Disebabkan itu, Azra
berhasrat untuk menjadikan kisah hidup Mustafa sebagai subjek tugasan
universitinya. Mustafa bagaimanapun tidak berminat untuk diwawancara biarpun dihubungi
berkali-kali oleh Azra. Seperkara harus diketahui, permohonan wawancara itu
dilakukan Azra dengan cara profesional. Dalam erti kata lain, Azra bukan
seorang gadis murahan.
Awal bulan Julai 2021, Mustafa yang disahkan mengidap Covid-19 telah melakukan kuarantin kendiri secara bersendirian di apartment miliknya bertempat di Antalya. Dek kerana berasa bosan, Mustafa pun menghubungi Azra bagi menyatakan kesudiannya untuk sesi wawancara. Maka Mustafa dan Azra pun pergi bersemuka beberapa kali di kafe dan restoran. Bermula saat tersebut, Mustafa mula menyukai Azra. Hinggalah pada 28 Julai 2021, Azra yang turut disahkan mengidap Covid-19 telah bertengkar dengan kakaknya di rumah sewa mereka. Azra seterusnya bertindak keluar dari rumah untuk pergi berjumpa dengan Mustafa di sebuah kafe.
Di dalam kafe berkenaan, Mustafa telah mengajak Azra untuk datang ke
apartmentnya. Selepas pelawaannya ditolak mentah-mentah oleh Azra, Mustafa membuat
ugutan untuk tidak lagi meneruskan wawancara. Memikirkan tugasan universitinya
yang masih belum selesai sepenuhnya, Azra akhirnya terpaksa akur dengan permintaan
Mustafa. Setibanya di rumah Mustafa, apa yang ditakuti Azra benar-benar
terjadi. Dia dipaksa oleh Mustafa untuk memberikan layanan berbentuk seksual.
Azra cuba untuk melarikan diri tetapi apakan daya kudratnya sangat lemah jika
dibandingkan Mustafa. Azra kemudian telah dibelasah dengan begitu teruk sekali
sebelum dicekik hingga dia tidak sedarkan diri. Sungguh sadis sekali apabila
Azra yang lemah tidak bermaya telah dirogol oleh Mustafa secara berulang kali
dalam masa beberapa jam. Selepas puas berbuat sedemikian, Mustafa terus menikam
dada Azra hingga gadis tersebut tidak lagi bernyawa. Sesudah itu, mayat Azra
dibawa masuk ke dalam bilik mandi lalu dikerat kepada lima bahagian dengan
menggunakan mesin gergaji. Keratan mayat Azra telah dimasukkan ke dalam bungkusan
plastik hitam sebelum diletakkan di dalam bagasi. Musfata turut sempat
melakukan torehan namanya pada lengan kiri Azra.
Laporan kehilangan Azra dibuat oleh keluarganya pada keesokan harinya selepas dia langsung tidak dapat untuk dihubungi. Pihak polis tidak mengambil masa yang lama untuk menangkap Mustafa yang dipercayai sebagai individu terakhir keluar bersama Azra. Dia ditangkap hasil pemeriksaan yang pihak polis lakukan di apartment Mustafa berdasarkan isyarat telefon Azra yang kali terakhir berada di situ. Selain itu, penangkapan Mustafa juga sekaligus telah membawa pihak polis penemuan mayat Azra yang ditanam di sebuah kawasan hutan. Cuma malangnya, sebahagian daripada serpihan mayat Azra gagal untuk ditemui. Ini termasuklah bahagian kepala Azra.
Buat masa sekarang, kes masih lagi dalam siasatan pihak polis. Proses perbicaraan dijangka akan bermula pada bulan November nanti. Mengenai Mustafa, dia dilaporkan sudah membuat pengakuan bahawa pembunuhan Azra adalah secara tidak sengaja. Pengakuan sebegitu dibuat oleh Mustafa bagi mengelakkannya daripada menerima hukuman mati.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM AZRA GULENDAM "