KISAH PEMBUNUHAN KEJAM LEE MANUEL VIOLORIA-PAULINO
Lee Manuel Violoria-Paulino |
Pada pertengahan bulan November tahun 2016, seorang remaja
lelaki warga Amerika Syarikat berusia 16 tahun yang bernama Lee Manuel
Violoria-Paulino telah dilaporkan hilang oleh keluarganya. Laporan itu dibuat
oleh keluarga Lee pada hari yang sama rumah mereka dirompak. Jadi timbul teori
awal samada ada kemungkinan bahawa Lee telah menjadi mangsa penculikan oleh
kumpulan perompak itu.
Mengenai Lee, dia adalah seorang anak lelaki baik yang sangat
mendengar kata orang tuanya. Lee yang juga merupakan salah seorang pelajar
popular di sekolahnya dikatakan berperwatakan rajin, peramah dan begitu
disenangi oleh orang di sekelilingnya. Selain itu, Lee mempunyai seorang rakan
karib lelaki bernama Mathew Borges yang berusia 15 tahun. Dua sekawan tersebut
sering meluangkan masa bersama untuk bermain permainan video dan menghisap
ganja. Cumanya perangai Lee dan Mathew adalah jauh berbeza sekali di mana
Mathew merupakan seorang intorvert. Seperkara lagi yang harus diketahui, Mathew
pernah menjalinkan hubungan dengan beberapa orang pelajar perempuan di
sekolahnya. Walau bagaimanapun, kebanyakan hubungan itu tidak berkekalan lama
kerana sikap panas baran dan cemburu yang ada pada diri Mathew.
Mathew Borges |
Berbalik dengan cerita kehilangan Lee, mayatnya telah berjaya ditemui di kawasan sungai Merrimack pada tarikh 1 Disember 2016. Penemuan mayat Lee tersebut dibuat oleh sepasang suami isteri yang kebetulan sedang berjalan di tepi sungai itu. Namun apa yang benar-benar mengerikan, mayat Lee ditemui dalam keadaan ngeri iaitu tanpa kepala dan kedua-dua tangannya. Hasil laporan bedah siasat, terdapat 76 kesan tikaman pada tubuh badan Lee. Rentetan daripada perkara tersebut, pihak polis mempercayai bahawa kematian Lee sebenarnya adalah satu pembunuhan terancang. Sewaktu tempoh kehilangan Lee, pihak polis ada menerima maklumat daripada rakan-rakan Lee mengenai mesej pengakuan pembunuhan yang telah dihantar oleh Mathew kepada mereka. Berdasarkan pemeriksaan kamera litar tertutup di kawasan rumah Lee, memang sahih Mathew adalah individu terakhir yang telah dilihat keluar bersama Lee. Masalahnya, bukti mesej berkenaan tidak boleh dijadikan sebagai alasan kukuh untuk melakukan tangkapan terhadap Mathew. Hanya setelah penemuan mayat Lee, barulah pihak polis melakukan penggeledahan di rumah Mathew bagi mencari bahan bukti. Penggeledahan tersebut ternyata tidak sia-sia apabila pihak polis menemui nota kertas milik Mathew yang mengandungi butiran terperinci tentang rancangan pembunuhan Lee.
Jadi, kenapa Mathew sanggup membunuh rakan baiknya itu.
Jangan terkejut kerana alasan yang diberikan Mathew adalah begitu remeh sekali.
Pembunuhan yang hanya disebabkan rasa cemburu. Diulangi semula, cemburu. Mathew
berasa marah kerana teman wanitanya ada menegur dan berborak dengan Lee dalam
keadaan yang mesra semasa waktu persekolahan. Dalam fikiran Mathew, dia
beranggapan bahawa Lee cuba merampas teman wanitanya. Malah Mathew sering
mempersoalkan kenapa kebanyakan gadis yang diminatinya lebih cenderung memilih
untuk berkawan dengan Lee.
Maka pada malam 18 November 2016, Mathew telah mengajak empat orang rakan lelakinya pergi merompak rumah Lee. Tanpa empat orang lelaki terbabit sedari, Mathew sebenarnya berniat untuk membunuh Lee. Sebelum rompakan berlaku, Mathew telah mengajak Lee untuk menghisap ganja di tepi sungai Merrimack. Waktu itu, tiada seorang pun anggota keluarga Lee yang berada di rumah. Selepas Mathew dan Lee berlalu pergi, barulah empat orang rakan lelaki Mathew tadi memecah masuk rumah Lee bagi melakukan rompakan. Tidak lama selepas sampai di kawasan sungai Merrimack, Mathew yang bagai dirasuki syaitan telah bertindak untuk menetak serta menikam badan Lee secara berulang kali dengan menggunakan parang. Lebih dahsyat, kepala Lee dipenggal manakala tangan kiri dan kanannya pula dikerat. Selesai berbuat sedemikian, Mathew terus membuang mayat Lee ke dalam sungai sebelum dia beredar pergi tanpa sebarang rasa bersalah. Bahkan Mathew siap menghantar teks mesej kepada rakan-rakannya tentang pembunuhan yang baru saja dia lakukan. Kepala Lee telah ditemui semula tidak selepas penemuan mayatnya. Lain pula dengan cerita kedua-dua tangan Lee yang masih belum dapat dikesan hingga pada hari ini.
Berhubungan dengan keputusan perbicaraan kes yakni pada bulan Julai 2019, Mathew yang didapati bersalah atas pertuduhan membunuh Lee telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan dia layak untuk diberikan pembebasan secara bersyarat selepas 30 tahun dipenjarakan.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM LEE MANUEL VIOLORIA-PAULINO "