PEMBUNUHAN YANG HAMPIR SEMPURNA
INDIA – Seorang lelaki berusia 34 tahun yang disyaki membunuh isteri serta dua orang anaknya di Noida pada malam 14 Februari tahun 2018 telah berjaya ditangkap. Lelaki yang dikenalpasti sebagai Rakesh itu dilaporkan melakukan pembunuhan tersebut adalah hanya semata-mata untuk hidup bersama dengan teman wanita simpanannya. Pihak polis memerlukan tiga tahun untuk merungkai kes yang boleh dikatakan pembunuhan terancang hampir sempurna itu.
Selepas membunuh isteri dan dua orang anaknya dengan cara
pukulan menggunakan batang besi, Rakesh telah menanam ketiga-tiga mayat
berkenaan di bawah rumah mereka. Selesai berbuat sedemikian, Rakesh yang juga bekerja
sebagai ahli patologi untuk sebuah makmal bertindak menghapuskan bahan bukti
sebelum melarikan diri. Dua orang anak Rakesh yang dibunuh tersebut berusia 3
dan 1 tahun. Bulan April 2018, Rakesh melakukan satu lagi pembunuhan. Kali ini
dia membunuh seorang rakannya yang dikenali sebagai Rajendra dengan begitu
kejam. Sesudah Rajendra mati, kepala serta kedua-dua belah tangannya telah
dikerat oleh Rakesh. Rajendra dibunuh kerana muka serta bentuk tubuh badannya
yang dikatakan hampir menyamai Rakesh. Mayat Rajendra kemudian dipakaikan
dengan pakaian Rakesh. Malah Rakesh juga sempat meninggalkan kad pengenalan
dirinya pada mayat Rajendra.
Apabila mayat Rajendra ditemui, dia telah disahkan oleh
keluarga Rakesh sebagai Rakesh. Namun harus diketahui, pembunuhan isteri
Rakesh, anak-anak Rakesh dan Rajendra sebenarnya adalah hasil konspirasi Rakesh
dan anggota keluarganya sendiri. Seorang lagi yang turut bersubahat merupakan
Ruby iaitu teman wanita Rakesh. Rubi merupakan seorang anggota polis yang
berpangkat konstabel. Rakesh dan Rubi telah menjalinkan hubungan sulit sejak
dari tahun 2012. Rakesh hidup dalam penyamaran sepanjang tiga tahun tempoh
persembunyian dengan menggunakan pelbagai identiti. Bahkan dia telah melakukan
operasi pembedahan pada bahagian hidung bagi mengelakkan penyamarannya
terbongkar. Apa yang pasti, Rakesh mempunyai kepakaran dalam kerja-kerja
penghapusan bukti.
Kes mula terungkai selepas pihak polis mendapati terdapat
percanggahan laporan DNA mayat Rajendra pada fail siasatan mereka. Rentetan
daripada perkara itu, pihak polis mula memantau rekod panggilan telefon Rubi
yang akhirnya membawa kepada penangkapan Rakesh. Turut ditahan bagi membantu
siasatan adalah Rubi dan beberapa orang lagi anggota keluarga Rakesh. Mayat
isteri dan anak-anak Rakesh yang telah ditemui sudah pun dibawa ke makmal untuk
kerja pemeriksaan forensik.
Catat Ulasan for "PEMBUNUHAN YANG HAMPIR SEMPURNA"