Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH AMENEH BAHRAMI : Derita dan Terus Derita

    Pada bulan Oktober tahun 2004 bertempat di negara Iran, seorang wanita berusia 24 tahun yang bernama Ameneh Bahrami sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya. Dia kemudian menyedari ada seorang lelaki dikenali sedang mengekorinya. Lelaki itu bernama Majid Mohavedi yakni bekas rakan sekelas Ameneh semasa belajar di univerisiti. Majid yang muda lima tahun daripada Ameneh telah beberapa kali mengajak Ameneh untuk bernikah dengannya. Walau bagaimanapun, Ameneh sering menolak lamaran pernikahan tersebut kerana ingin fokus dengan kerjayanya terlebih dahulu serta pada masa yang sama tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap Majid.

    Berbalik dengan cerita hari kejadian, Majid yang berasa marah kerana lamaran nikahnya ditolak telah bertindak untuk menyimbah asid pada muka Ameneh. Bagi Majid, jika dia tidak dapat memiliki Ameneh maka lelaki lain patut merasai perkara yang sama. Sementara itu, Ameneh jatuh rebah dalam keadaannya mengerang kesakitan. Diringkaskan cerita, Ameneh yang cedera parah telah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Ameneh terpaksa menganggung derita untuk seumur hidup apabila dia disahkan menjadi buta dan mengalami kecacatan kekal pada bahagian muka. Tentang Majid, dia telah menyerah diri sejurus selepas insiden simbahan asid berkenaan. Seperkara lagi yang harus diketahui iaitu pada dua hari sebelum kejadian, Ameneh ada membuat laporan polis tentang gangguan dan ugutan yang telah dibuat oleh Majid terhadap dirinya. Pihak polis bagaimanapun tidak dapat untuk membuat tindakan selanjutnya berikutan Majid tiada melakukan sebarang sentuhan fizikal kepada Ameneh.

    Insiden malang yang menimpa Ameneh ternyata mendapat liputan meluas oleh pihak media. Ameneh yang dilaporkan terpaksa menjalani rawatan pembedahan muka sebanyak 17 kali telah menuntut pihak mahkamah supaya Majed dikenakan hukuman qisas. Secara ringkasnya, hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas. Perkara ini bermaksud Majed akan dibutakan dengan asid, sama seperti yang dialami oleh Ameneh. Pada mulanya, tuntutan Ameneh ini tidak dilayan tetapi dia tidak pernah berputus asa untuk mempertahankan haknya sebagai wanita teraniaya. Hinggalah bulan November tahun 2008, pihak mahkamah di Iran bersetuju untuk melaksanakan hukuman qisas terhadap Majed. Mungkin keputusan ini adalah satu keadilan untuk Ameneh tetapi tidak untuk pejuang hak asasi manusia. Mereka menganggap hukuman yang diterima Majed adalah tidak berkeperimanusiaan.

    Setelah beberapa kali tertangguh, hukuman qisas Majed akhirnya dilaksanakan pada bulan Julai 2011 di sebuah hospital. Sewaktu melihat kedatangan Ameneh, Majed sempat lagi untuk mengeluarkan kata-kata berbaur makian dan hinaan kepada Ameneh. Tiada sebarang tanda penyesalan pada raut wajah Majed. Memandangkan Ameneh buta, adik lelakinya telah menggantikannya untuk melakukan kerja-kerja titisan asid pada mata Majed. Belum sempat adik lelaki Majed berbuat sedemikian, Ameneh tiba-tiba berubah fikiran untuk memaafkan Majed lalu tidak meneruskan hukuman qisas tersebut. Menyedari perkara itu, Majed telah berlutut pada kaki Ameneh sebagai tanda bersyukur. Ameneh terus menyuruh Majed untuk beredar pergi. Harapan Ameneh hanya satu, namanya tidak akan lagi dipanggil oleh Majed buat selama-lamanya.

    Keputusan mengejut Ameneh tersebut sebenarnya telah dipengaruhi oleh dua individu. Individu pertama adalah seorang doktor di klinik Sepanyol yang merawat Ameneh. Individu kedua, seorang lelaki bernama Amir Sabouri, seorang lelaki Iran yang banyak membantu Ameneh dalam mendapatkan rawatan perubatan. Menurut Amir, kemaafan daripada Ameneh akan dapat membuktikan di mata dunia bahawa orang Iran adalah berhati mulia. Beberapa bulan berikutnya, sebuah patung khas Ameneh telah dipamerkan di sebuah tempat pameran yang berlokasi di Tehran.

    Mengenai Majed, dia telah dipenjara dan dikenakan denda untuk membayar sejumlah wang pampasan kepada keluarga Ameneh sebagai ganti hukuman qisas. Tahun 2014, Majed dibebaskan dari penjara dan tidak pernah membayar sebarang wang pampasan kepada Ameneh sebagaimana yang telah diperintahkan oleh pihak mahkamah. Perkara ini menyebabkan Ameneh benar-benar rasa kecewa dan dikhianati.

Catat Ulasan for "KISAH AMENEH BAHRAMI : Derita dan Terus Derita"