Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH REYHANEH JABBARI : Erti Kehormatan Seorang Wanita

    “Ibu, tolong jangan menangis. Saya sayangkan ibu. Saya harap saya dapat peluk ibu hingga saya mati.”

    Itulah kata-kata terakhir seorang wanita Iran bernama Reyhaneh Jabbari sebelum dia dihukum gantung sampai mati pada tarikh 25 Oktober 2014 oleh pihak mahkamah Iran. Reyhaneh dijatuhkan hukuman tersebut pada tahun 2009 selepas dia didapati bersalah melakukan pembunuhan terhadap seorang lelaki yang telah cuba untuk merogolnya.

    Kisah bermula pada bulan tahun 2007 bertempat di sebuah kafe apabila Reyhaneh yang baru berusia 19 tahun pada ketika itu berkenalan dengan seorang lelaki pertengahan usia bernama Morteza Abdolali yakni bekas seorang ejen perisik Iran. Morteza seterusnya telah meminta Reyhaneh yang juga merupakan seorang pekerja penghias dalaman datang ke pejabatnya untuk melakukan kerja-kerja penghiasan dengan kadar harga berpatutan. Apa yang berlaku kemudian di pejabat kosong berkenaan, Morteza telah melakukan percubaan rogol terhadap Reyhaneh. Mujur sajalah Reyhaneh dapat melawan sebelum dia bertindak untuk menikam punggung Morteza menggunakan pisau lipat yang dibelinya pada dua hari sebelum kejadian. Seperkara harus diketahui, Reyhaneh membeli pisau itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku sewaktu berada di pejabat Morteza. Sesudah menikam Morteza, Reynaneh terus melarikan diri dari tempat kejadian.

    Diringkaskan ceritanya, pihak polis tidak mengambil masa yang lama untuk menangkap Reyhaneh. Selepas penangkapannya, Reyhaneh dikatakan telah dipenjarakan secara pengasingan bersendirian selama dua bulan tanpa diberi sebarang kebenaran untuk berhubung dengan peguam dan juga anggota keluarganya. Selain itu, ada juga laporan yang mendakwa bahawa Reyhaneh telah didera oleh pasukan penyiasat sebagai bentuk paksaan untuk dia memberikan keterangan palsu. Apa yang pasti, Reyhaneh tetap kekal dengan pendirian bahawa tindakannya untuk menikam Morteza adalah sebagai langkah mempertahankan diri sebagai seorang wanita. Dakwa Reyhaneh lagi, ada seorang lagi lelaki yang berada di lokasi kejadian sewaktu hari insiden tikaman berlaku. Perkara ini bermaksud lelaki itulah yang telah membunuh Morteza sejurus selepas Reyhaneh melakukan diri. Malang sekali apabila pihak berkuasa menuduh Reyhaneh sengaja mereka-reka cerita tentang karakter seorang lelaki yang tidak pernah wujud.

    Tahun 2009, mahkamah di Tehran telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Reyhaneh sekaligus mencetuskan kontroversi berikutan perbicaraan yang dianggap terlalu berat sebelah. Bahkan hukuman yang dianggap terlalu kejam tersebut telah mendapat tentangan keras dari kerajaan Amerika Syarikat, British dan aktivis hak asasi manusia di seluruh dunia. Setelah beberapa kali tertangguh, pelaksanaan hukuman gantung sampai mati terhadap Reyhaneh dilaksanakan jua pada bulan Oktober 2014 susulan keputusan daripada keluarga Morteza yang tekad untuk tidak memaafkan Reyhaneh. Sebelum ke tali gantung, Reyhaneh ada meninggalkan wasiat kepada ibunya iaitu Shole Pakravan supaya organ badannya akan didermakan kepada mereka yang memerlukan. Menerusi satu rakaman suara yang sempat dirakam Reyhaneh untuk Shole, dia berjanji bahawa orang-orang yang menganiayainya di dunia akan mendapat pembalasan setimpal di mahkamah akhirat nanti. Dengar serta tonton rakaman itu di sini : https://youtu.be/2DvdsmlLLeU

    Sepanjang tempoh perbicaraan kesnya yang berjalan selama bertahun-tahun, Reyhaneh tidak pernah menangis sekali pun dalam mahkamah kerana tahu bahawa dia berada di pihak benar. Dalam salah satu sesi perbicaraan,

     Hakim : Kenapa kau bunuh lelaki itu?

    Reyhaneh : Kerana dia ingin mencabul kehormatanku.

    Hakim : Aku tidak melihat perkara itu adalah satu alasan untuk membunuh.

    Reyhaneh : Bagaimana kau nak memahami kerana kau sendiri pun tidak memiliki kehormatan itu!

Catat Ulasan for "KISAH REYHANEH JABBARI : Erti Kehormatan Seorang Wanita"