KISAH YANG LIJUAN : Wanita yang Fanatik dengan Andy Lau
Rasanya nama Andy Lau sudah tidak perlu diperkenalkan lagi.
Dia merupakan penyanyi dan aktor legenda dari Hong Kong yang telah pun meraih
banyak anugerah dalam kariernya. Sewaktu zaman muda Andy Lau, dia sememangnya
diminati serta digilai oleh ramai peminat wanita kerana ketampanan wajahnya.
Sudah menjadi lumrah untuk seorang artis terkenal seperti Andy Lau, dia pasti
akan menjadi perhatian luar biasa lebih-lebih lagi daripada mereka yang
memiliki keobsesan yang melampau.
Kisahnya ada seorang wanita dari negara China yang bernama Yang Lijuan. Sejak dari kecil lagi, dia memang menggilai Andy Lau. Walau bagaimanapun, Yang Lijuan yang dilahirkan pada tahun 1978 menjadi semakin obses dengan Andy Lau sewaktu berusia 16 tahun hanya kerana bermimpi aktor kacak tersebut. Yang Lijuan yang bersekolah hanya sekerat jalan banyak menghabiskan masa sehariannya hanya untuk mendengar semua lagu serta menonton filem Andy Lau. Selain itu, bilik tidur Yang Lijuan juga dipenuhi dengan poster-poster Andy Lau. Dah nama pun fanatik, segala perjalanan aktiviti Andy Lau sememangnya diketahui oleh Yang Lijuan. Dalam fikiran Yang Lijuan, dia berharap dapat untuk bertemu dengan Andy Lau kerana tahu mereka berdua telah ditakdirkan untuk hidup bersama. Berkahwin dan mempunyai anak yang comel-comel belaka.
Sementara itu, bapa Yang Lijuan iaitu Yang Qinji menyokong
penuh ketaksuban anaknya terhadap Andy Lau. Dia sanggup mengorbankan
segala-galanya untuk memenuhi impian pertemuan Yang Lijuan dengan Andy Lau
menjadi realiti. Bagi merealisasikan perkara tersebut, Yang Qinji yang juga
seorang pesara guru sanggup meminjam wang dan menjual rumah untuk membiayai
segala kos berkaitan seperti kos perjalanan ke Hong Kong. Semua ini diakukan
Yang Qinji demi kebahagiaan Yang Lijuan. Selama beberapa tahun, Yang Lijuan
bersama ibu bapanya telah beberapa kali berulang balik ke Beijing dan Hong Kong
untuk melihat Andy Lau secara dekat. Meskipun perkara itu tidak pernah berlaku,
Yang Lijuan dan bapanya tidak pernah sesekali untuk berputus asa. Malah Yang
Qinji telah berniat untuk menjual buah pinggangnya bagi mencari lebihan dana. Sepanjang
tempoh berada di Hong Kong, tiga beranak terbabit sanggup tidur di serata
tempat seperti luar restoran dan tepi jalan sebagai langkah penjimatan. Seperkara
yang harus diketahui, cerita keobesesan Yang Lijuan ini sebenarnya ada mendapat
liputan luas daripada media masa Hong Kong. Andy Lau bagaimanapun memilih untuk
tidak melayan berita berkenaan.
Pada bulan Mac 2007 yakni semasa dalam satu acara anjuran kelab peminat Andy Lau, Yang Lijuan akhirnya dapat bertemu jua dengan aktor pujaannya itu betul-betul di depan mata. Yang Lijuan ternyata begitu gembira sekali walaupun dia dilayan Andy Lau sama saja seperti peminat yang lain. Tamat acara tersebut, Yang Lijuan berasa sedih dan tidak berpuas hati kerana sesi bersama Andy Lau yang dianggapnya sangat singkat sekali. Bagi Yang Lijuan, dia sepatutnya diberikan keistimewaan untuk meluangkan masa bersama dengan Andy Lau secara bersendirian. Dalam erti kata lain, hanya ada Yang Lijuan dan Andy Lau sahaja. Tiada sebarang gangguan.
Apa yang berlaku kemudian, Yang Qinji yang benar-benar
kecewa dengan tindakan Andy Lau tidak melayan anaknya dengan wajar telah
bertindak untuk membunuh diri dengan cara melemaskan diri dalam lautan. Sebelum
membunuh diri, Yang Qinji sempat untuk menulis nota di mana kandungan nota itu
meminta supaya Andy Lau untuk menjaga anaknya. Susulan kematian mengejutkan
Yang Qinji, Andy Lau telah mendapat kecaman dan kritikan daripada ramai pihak.
Enggan mendiamkan diri, Andy Lau terpaksa tampil memberikan penjelasan untuk
mempertahankan hak dirinya. Insiden ini sedikit sebanyak telah mencemarkan nama
baik serta menjejaskan karier Andy Lau.
Setelah Yang Qinji meninggal dunia, barulah Yang Lijuan sedar tentang segala kesilapan yang dibuatnya iaitu mensia-siakan kehidupan selama bertahun-tahun untuk perkara tidak berfaedah lagi tidak bermanfaat. Maka dia dan ibunya pun kembali pulang ke kampung halaman mereka yang terletak di Lanzhou lalu menghilangkan diri daripada terus menjadi tatapan pihak umum.
Tahun 2014, Yang Lijuan akhirnya tampil semula di sebuah program studio. Kali ini, Yang Lijuan memberi nasihat kepada orang ramai agar tidak sesekali obses dengan artis. Cerita Yang Lijuan, kematian bapanya ternyata telah memberikan kesan besar dalam hidupnya. Dia kini tinggal bersama ibunya di sebuah rumah kecil yang hanya memiliki sebuah bilik tidur. Bagi menyara kehidupan mereka, Yang Lijuan yang tidak pernah berkahwin telah bekerja di sebuah pasar raya dengan kadar gaji rendah memandangkan dia tidak mempunyai sebarang pendidikan. Yang Lijuan berasa menyesal dengan keadaan hidupnya sekarang. Harapan Yang Lijuan hanya satu, dia berharap supaya ibunya kekal sihat sampai bila-bila.
Catat Ulasan for "KISAH YANG LIJUAN : Wanita yang Fanatik dengan Andy Lau"