KISAH ZHU LING : Siapa Racun Zhu Ling?
Pada penghujung tahun 1994, seorang wanita berusia 21 tahun
yang bernama Zhu Ling mula mengalami gejala sakit perut dan keguguran rambut
secara berterusan. Seperkara harus diketahui, Zhu Ling merupakan seorang
pelajar tahun kedua di Universiti Tsinghua, Beijing yakni salah sebuah universiti
paling berprestij di China pada waktu tersebut. Dia merupakan seorang pelajar
pintar yang sering mendapat pujian pensyarah dan juga rakan-rakan di
sekelilingnya. Selain itu, Zhu Ling juga mempunyai bakat yang tersendiri dalam
bidang muzik. Dalam erti kata lain, Zhu Ling adalah seorang pelajar harapan
yang serba boleh.
Berbalik dengan cerita kesakitan Zhu Ling, dia kembali pulih
selepas pergi mendapatkan rawatan di sebuah hospital tempatan. Namun pada bulan
Mac tahun 1995, Zhu Ling sekali lagi jatuh sakit dengan keadaannya kali ini adalah
lebih teruk berbanding waktu sebelumnya. Dia menjadi lumpuh separuh badan,
hilang penglihatan, tidak dapat bercakap, sukar bernafas dengan sendiri dan
lain-lain lagi gejala yang parah. Pada mulanya, pakar perubatan di China tidak
dapat untuk menentukan penyakit sebenar yang menimpa Zhu Ling. Menyedari
perkara ini, salah seorang rakan Zhu Ling daripada Unversiti Peking, Beijing
telah meminta bantuan daripada pakar perubatan seluruh dunia melalui platform
Internet untuk membantunya mendiagnosis penyakit sebenar yang dialami Zhu Ling.
Usaha rakan Zhu Ling itu ternyata tidak menjadi sia-sia apabila dianggarkan
seramai 1500 orang pakar perubatan dari pelbagai negara telah memberikan
pandangan mereka.
Mengejutkan, punca sebenar penyakit Zhu Ling rupa-rupanya adalah disebabkan talium iaitu bahan yang digunakan untuk membuat bahan optik, aloi, racun tikus dan racun serangga. Dalam erti kata lain, ada kemungkinan besar dia telah diracun oleh seseorang. Walaupun Zhu Ling kemudian berjaya dirawat dengan ubat penawar Prussian Blue, dia mengalami kecacatan kekal. Paling menyedihkan, Zhu Ling akhirnya mental seperti seorang kanak-kanak berusia 6 tahun.
Satu-satunya individu disyaki merasuki meracun Zhu Ling
adalah rakan sekelas dan sebilik asramanya sendiri yang dikenali sebagai Sun
Wei. Apa yang dapat dipastikan pada tahun kejadian, Sun merupakan satu-satunya
pelajar Universiti Tsinghua yang mempunyai akses untuk mendapatkan bahan talium
bagi kajian eksperimen. Biarpun pada mulanya diyakini sebagai suspek, Sun
bagaimanapun dibebaskan oleh pihak polis susulan kekurangan bahan bukti kukuh
untuk mendakwanya. Jadi, kes Zhu Ling pun ditutup. Terdahulu, Sun yang kini
menetap di negara Amerika Syarikat pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia
tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan Zhu Ling. Walau bagaimanapun,
terdapat beberapa pihak mempercayai bahawa penutupan kes ini disebabkan
pengaruh politik yang dimiliki oleh keluarga Sun.
Bulan Julai 2015, pihak Rumah Putih Amerika Syarikat telah menolak petisyen untuk menyiasat serta menghantar semula Sun ke negara China. Sementara itu, ibu Zhu Ling yang kini berusia 70an masih menjaga Zhu Ling serta pada masa sama masih tidak berputus asa untuk menegakkan keadilan untuk anaknya. Kata ibu Zhu Ling,
“Saya akan terus memohon. Saya inginkan jawapan kerana saya ingin berikan jawapan itu kepada Zhu Ling. Zhu Ling merupakan anak saya dan dia merupakan anak yang sangat baik. Dia telah hampir hilang kehidupannya pada usia yang muda dan sejak itu kehidupannya menjadi begitu sengsara. Saya bencikan orang yang telah menyebabkan hidup anak saya menjadi sebegini. Saya mengharapkan keajaiban. Peristiwa ini sudah lama berlaku, saya harap keadaan Zhu Ling akan sentiasa bertambah baik.”
Catat Ulasan for "KISAH ZHU LING : Siapa Racun Zhu Ling? "