Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

LELAKI BUNUH ISTERI DENGAN ULAR TEDUNG

    INDIA – Seorang lelaki berusia 27 tahun telah dipenjarakan selama 17 tahun berserta tambahan dua hukuman penjara seumur hidup berikutan didapati bersalah membunuh isterinya dengan menggunakan cara patukan ular tedung. Lelaki terbabit dikenali sebagai Sooraj S. Kumar yang juga merupakan seorang pekerja bank swasta. Kes ini dipercayai pertama kali berlaku di India di mana seseorang individu disabitkan kesalahan membunuh dengan menggunakan ular sebagai senjata pembunuhan.

    Kisah bermula pada 7 Mei 2020 apabila isteri Sooraj yang berusia 25 tahun iaitu Uthra ditemui oleh ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil bilik tidurnya. Ibu Uthra membuat pemeriksaan badan sebelum mendapati anaknya itu telah dipatuk ular. Pada masa sama, ada seekor ular tedung besar ditemui di dalam bilik tidur tersebut. Waktu berkenaan, Sooraj tiada berada di dalam bilik. Uthra pula yang juga seorang orang kurang upaya dengan masalah pembelajaran telah disahkan meninggal dunia akibat patukan ular tersebut.

    Lebih kurang seminggu selepas kematian Uthra, bapanya iaitu Vijayasenan telah mengesyaki anak perempuannya itu berkemungkinan besar mati dibunuh. Hal ini kerana yakni pada dua bulan sebelum Uthra dipatuk ular tedung, dia pernah terkena patukan ular kapak tetapi sempat untuk diselamatkan. Secara asasnya, ular kapak dikatakan tidak boleh memanjat tangga dengan sendiri manakala ular tedung kebiasaannya tidak aktif pada waktu malam. Dalam erti kata lain, ada individu yang telah sengaja meletakkan ular-ular tersebut di dalam bilik Uthra. Maka dari sini bermulanya kecurigaan terhadap Sooraj yang turut melakukan beberapa percubaan proses pindahan harta milik Uthra selepas isterinya itu meninggal dunia.

    Berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh pihak polis Kerala, Sooraj didapati ada melakukan penyelidikan mengenai ular kapak dan ular tedung menerusi carian internet. Seterusnya, Sooraj telah mendapatkan ular tersebut daripada penangkap ular. Berhubung dengan motif Sooraj, dia dipercayai melakukan pembunuhan kejam tersebut adalah untuk mewarisi kekayaan Uthra yang sememangnya berasal daripada keluarga berada. Sooraj berbuat sedemikian bagi membolehkannya berkahwin dengan wanita lain. Dia tidak lagi sanggup untuk menjaga Uthra yang tidak normal. Sooraj tidak akan memperolehi sebarang harta jika dia menceraikan atau meninggalkan Uthra dengan cara apa sekalipun. Hanya dengan kematian akibat kecelakaan sebegitu, barulah Sooraj layak untuk mendapat harta Uthra. Perkahwinan Sooraj dan Uthra sebelum ini membabitkan nilai hantaran besar termasuklah kereta baru dan juga wang tunai berjumlah sekitar 500 000 Rupee (RM27 601).

Catat Ulasan for "LELAKI BUNUH ISTERI DENGAN ULAR TEDUNG"