MISTERI ENAM HARI DI ALAM GHAIB
Beberapa hari lepas, negara Indonesia dikecohkan dengan
insiden kehilangan seorang budak lelaki berusia 14 tahun yang telah dilaporkan hilang
di kawasan gunung Guntur, Jawa Barat, Indonesia. Budak lelaki itu bagaimanapun
berjaya ditemui pada hari keenam pencarian dalam keadaan yang selamat. Samada
benar atau sebaliknya, kehilangan budak lelaki berkenaan dikatakan mempunyai
kaitan dengan unsur mistik. Jadi, apa yang sebenarnya berlaku?
Kisahnya bermula pada 17 September 2021 apabila Gibran Ar
Rasyid keluar dari rumah untuk menyertai ekspedisi pendakian gunung Guntur
bersama dengan 13 orang lagi pendaki yang dikenali melalui laman media sosial
Facebook. Sebelum pendakian bermula, Gibran sempat untuk membuat panggilan
video telefon kepada keluarganya. Diringaskan cerita yakni menjelang waktu
Maghrib 19 September 2021, pasukan pendakian Gibran telah membuat keputusan
untuk berkhemah di pos 3 pendakian. Pagi keesokan harinya, Gibran yang
dikatakan masih keletihan memilih untuk tidak meneruskan pendakian. Pada 20
September 2021, rakan-rakan Gibran yang baru turun dari puncak telah menyedari
kehilangan Gibran. Semua barangan peribadi Gibran seperti telefon pintar
didapati ada berada dalam khemah. Puas mereka mencari Gibran, malangnya Gibran
gagal untuk ditemui. Kehilangan Gibran kemudian segera dilaporkan kepada pihak
yang berwajib.
Tiga hari pertama operasi pencarian di gunung Guntur dengan keadaan cuaca yang tidak menentu langsung tidak membuahkan hasil. Hingga satu ketika, pasukan pencarian hampir berputus asa untuk menemui Gibran. Namun selepas desakan daripada keluarga Gibran, maka operasi mencari Gibran diteruskan jua. Hanya hari keenam operasi pencarian, barulah Gibran ditemui dalam keadaannya selamat. Masalahnya, tempat penemuan Gibran itusudah dicari dan dilalui oleh pasukan pencari selama berkali-kali pada waktu sebelumnya. Rentetan daripada cerita ini, ramai pihak percaya bahawa Gibran telah disembunyikan oleh makhluk halus. Setelah dibawa pergi untuk mendapatkan rawatan selanjutnya, Gibran didapati dalam keadaan lemah bermaya kerana kelaparan serta dehidrasi tetapi dia disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Menurut cerita Gibran iaitu pada waktu kejadian, dia
mendapati dirinya sudah berada di kawasan lain sebaik saja bangun daripada
tidur. Kedengaran seram apabila Gibran mendakwa bahawa sepanjang tempoh
kehilangannya, dia telah ditemani oleh tiga orang wanita. Salah seorang
daripada wanita tersebut merupakan seorang nenek tua. Gibran juga telah
dihidangkan dengan sepinggan nasi berlaukkan ikan. Walau bagaimanapun, makanan
itu tidak dijamah Gibran kerana dia tidak kelaparan waktu berkenaan. Para
wanita tersebut juga telah mengajak Gibran untuk bermain bersama. Sekali lagi
Gibran menolak pelawaan itu secara baik. Satu lagi cerita tidak masuk akal,
Gibran yakin tempoh masanya bersama dengan wanita-wanita tersebut adalah tiga
jam sahaja sedangkan dia sebenarnya telah pun hilang selama enam hari. Perkara
ini bermakna sejam dalam alam ghaib itu adalah bersamaan dengan dua hari di
kehidupan nyata. Saat sebelum ditemui, Gibran sempat mendengar laungan azan
lalu mendengar namanya dipanggil oleh pasukan pencari.
Menurut penjelasan daripada pakar mistik, makanan yang dihidangkan oleh wanita dalam cerita Gibran tersebut sebenarnya adalah ulat atau benda-benda lain menjijikkan. Gibran membuat pilihan tepat untuk tidak makan dan pergi ke rumah wanita itu. Jika tidak, nescaya Gibran sudah pasti tidak akan dapat kembali bersama dengan keluarganya. Kekal dalam alam ghaib tersebut buat selama-lamanya.
Apa yang pasti, kawasan gunung sering berlakunya kejadian ghaib atau mistik. Maka kita patut beringat dan berhati-hati kerana gunung adalah salah satu tempat jin berkumpul. Sewaktu melakukan ekspedisi di mana-mana tempat pendakian, jangan sesekali lupa untuk sentiasa berdoa meminta perlindungan daripada Allah SWT supaya tidak terkena gangguan jin dan syaitan.
Catat Ulasan for "MISTERI ENAM HARI DI ALAM GHAIB"