MISTERI KEHILANGAN PASANGAN PENGANTIN BARU DI BUSAN
Pada tarikh 31 Mei 2016, seorang lelaki di Busan, Korea Selatan telah membuat laporan polis tentang kehilangan anak lelakinya yang berusia 35 tahun iaitu Jeon Min-Gun. Jeon dilaporkan hilang oleh bapanya selepas dia gagal untuk dihubungi secara berterusan. Berdasarkan siasatan awal, isteri Jeon yang bernama Choi Sung-Hee, 35 tahun juga didapati telah hilang. Mereka berdua baru saja enam bulan bergelar sebagai pasangan suami isteri. Hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pihak polis dalam apartment pasangan tersebut, tiada tanda-tanda pergelutan atau pecah masuk. Dalam erti kata lain, tiada sebarang unsur jenayah yang berlaku. Cumanya beberapa barangan peribadi seperti telefon, pasport, beg galas dan komputer riba tidak dapat untuk ditemui. Selain itu, anjing peliharaan Jeon dan Choi yang ada dalam apartment berkenaan dilihat tidak terurus dengan najis bertaburan di merata tempat. Perkara ini bermaksud anjing tersebut sudah dibiarkan bersendirian untuk satu tempoh yang begitu lama. Kereta pasangan itu juga ada berada di kawasan parkir apartment.
Kali terakhir Choi dilihat adalah pada lewat malam 27 Mei 2016. Menerusi rakaman litar tertutup di apartment, Choi yakni seorang artis teater telah memasuki ke dalam apartment sambil memegang plastik yang mengandungi barangan keperluan asas yang dibelinya dari sebuah kedai runcit. Beberapa jam berikutnya, Jeon yang merupakan seorang pemilik restoran pulang ke apartment selepas menghabiskan masa di sebuah bar. Apa yang berlaku kemudian, kedua-dua mereka tidak pernah lagi dilihat keluar dari apartment selepas itu. Seperkara harus diketahui, apartment tersebut mempunyai 22 buah kamera litar tertutup yang dipasang di tempat sangat strategik. Walau bagaimanapun, tiada satu pun daripada kamera itu yang dapat merakam pergerakan Jeon dan Choi pada selepas malam 27 Mei.
Hanya pada 2 Jun 2016, penyiasatan kes kehilangan Jeon dan Choi mula dijalankan. Pihak polis bagaimanapun ada mendapat maklumat mengenai teks mesej yang dihantar oleh Jeon dan Choi kepada rakan sekerja masing-masing pada lima hari berturut-turut selepas kali terakhir mereka dilihat. Mesej itu adalah pemberitahuan daripada Jeon dan Choi tentang ketidakhadiran mereka di tempat kerja yang disebabkan urusan peribadi. Sebelum hilang dari radar, rekod terakhir data lokasi GPS telefon menunjukkan bahawa Jeon dipercayai berada di Busan manakala Choi pula di Seoul. Secara geografi, Seoul terletak kira-kira 330 kilometer jauhnya dari Busan.
Satu-satunya individu disyaki mempunyai kaitan dengan kes kehilangan Jeon dan Choi ini adalah seorang wanita yang dikenalpasti sebagai Jang. Dia merupakan bekas teman wanita kepada Jeon. Ada pihak yang mendakwa bahawa Jang menjadi dalang penculikan kerana tidak berpuas hati susulan perpisahannya dengan Jeon. Mengenai Jang, dia pernah berkahwin sebanyak dua sekali selepas berpisah dengan Jeon. Perkahwinan pertamanya hanya bertahan selama sebulan. Setelah berkahwin buat kali kedua, Jang dilaporkan pergi berhijrah ke negara Norway. Namun pada masa sama, dia sering melakukan ugutan kepada Jeon menerusi teks mesej telefon. Sewaktu hari perkahwinan Jeon dan Choi, mereka telah mengupah pengawal peribadi kerana berasa bimbang perkara yang tidak diingini berlaku.
Bulan Disember 2017, pihak mahkamah Norway menolak permohonan daripada pihak berkuasa Korea Selatan untuk mengekstradisi Jang. Penolakan dibuat susulan ketiadaan bukti untuk mengaitkan Jang dengan kehilangan Jeon dan Choi. Ibu Jeon pernah pergi ke Norway untuk cuba bertemu sendiri dengan Jang bagi mendapatkan maklumat terperinci. Namun ibu Jeon tidak pernah dapat berbuat sedemikian kerana mendapat beberapa halangan besar seperti mendapat campur tangan daripada pihak polis. Sementara itu, Jang telah membuat penafian tentang sebarang penglibatannya dengan kes kehilangan Jeon dan Choi. Jadi hingga sekarang, kes masih lagi tergantung. Tiada siapa tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada pasangan pengantin baru Busan tersebut. Bila difikirkan balik, boleh jadi juga Jeon dan Choi sengaja menghilangkan diri. Mana tahu?
Catat Ulasan for "MISTERI KEHILANGAN PASANGAN PENGANTIN BARU DI BUSAN"