MISTERI KEMATIAN KELUARGA CHUNDAWAT DI BURARI : Rahsia Sebuah Rumah
Netflix baru saja menayangkan filem dokumentari tiga episod
siasatan serta pendedahan tentang kes misteri kematian 11 sekeluarga di Burari,
India di mana sepuluh orang daripada mereka telah membunuh diri dengan cara
menggantung diri manakala seorang lagi pula mati akibat dicekik. Samada mereka
semua benar-benar mati bunuh diri atau sebenarnya dibunuh, apa yang pasti,
kematian keluarga yang bernama keluarga Chundawat ini mempunyai unsur mistikal
dan khurafat.
Tiga generasi, satu kematian. Jadi, apa sebenarnya yang
berlaku kepada mereka semua ini?
Keluarga Chundawat terdiri daripada 11 orang semuanya dengan
Narayan Devi yang berusia 77 tahun bertindak sebagai ketua keluarga. Mereka
dikatakan sudah menetap di kawasan Burari, Delhi selama 20 tahun. Keluarga Chundawat
merupakan sebuah keluarga sederhana yang menjalankan perusahaan kedai runcit
dan papan lapis. Selain itu, keluarga Chundawat juga bukanlah keluarga yang
bermasalah apatah lagi mempunyai musuh. Dalam erti kata lain, keluarga Chundawat
adalah keluarga yang baik.
Kisah sebenar bermula pada pagi 1 Julai 2018 apabila kedai runcit keluarga Chundawat tidak dibuka seperti hari kebiasaannya. Musykil dengan keadaan tersebut, seorang jiran tetangga kawasan berkenaan yang bernama Gurcharan Singh pun bertindak untuk memeriksa keadaan di rumah keluarga Chundawat. Apa yang berlaku kemudian, Gurcharan telah menemui 10 mayat anggota keluarga Chundawat dalam keadaan tergantung pada siling rumah di mana tangan mereka telah diikat ke belakang manakala mata dan mulut pula ditutup dengan kain. Hanya Narayan seorang saja yang ditemui mati di dalam bilik berasingan dengan punca kematiannya adalah akibat dicekik.
Berdasarkan siasatan awal yang dilakukan oleh pihak polis di
lokasi kejadian, tiada sebarang tanda pergelutan dan kehilangan barangan
berharga. Pihak polis pada mulanya mengesyaki bahawa kematian semua mangsa
berkemungkinan besar adalah satu kes pembunuhan yang kelihatan seperti bunuh
diri. Namun setelah mendapat laporan forensik dan keterangan daripada jiran
setempat, pihak polis percaya bahawa kematian keluarga Chundawat ini sebenarnya
kes bunuh diri secara beramai-ramai. Kesimpulan dibuat susulan pihak polis yang
diberitahu tentang perangai salah seorang mangsa iaitu Lalit Bhatia, 45 tahun
yang dikatakan berubah sejak kematian bapanya. Bermula dengan penemuan 11 buah
diari aneh yang ditulis oleh Lalit, kes kemudian menjadi semakin rumit. Diari
bukan sebarang diari kerana diari itu menyimpan seribu satu rahsia gelap
keluarga Chundawat.
Bapa Lalit iaitu Bhopal Singh telah meninggal dunia pada tahun 2007. Sejak itu, Lalit bukan seperti Lalit yang sebelumnya. Dia lebih banyak mendiamkan diri daripada untuk berborak. Lalit gemar melakukan aktiviti pelik seperti bersembahyang di depan pokok dan juga memberikan makanan kepada binatang liar. Dia juga ada memberitahu keluarganya tentang roh Bhopal telah merasukinya supaya mereka semua dapat kembali bersama. Ada masanya Lalit tiba-tiba berperwatakan seperti mendiang bapanya. Perkara tersebut dipercayai sepenuhnya oleh keluarga Chundawat yang lain. Menerusi catatan diari Lalit, dia banyak mengeluh tentang keadaan keluarganya yang dirasakan harus mengubah cara hidup mereka. Seperkara lagi harus diketahui, cara kematian keluarga Chundawat adalah sama seperti arahan ritual yang ditulis oleh Lalit dalam diari itu. Melalui pemeriksaan kamera litar tertutup, beberapa orang anggota keluarga Chundawat dilihat telah pergi membeli wayar kabel dan membawa masuk kerusi bangku ke dalam ke rumah untuk dijadikan sebagai peralatan ritual. Dalam erti kata lain, keluarga Chundawat melakukan persediaan membunuh diri.
Tidak semua pihak bersedia untuk menerima penjelasan daripada pihak polis. Begitu juga dengan sebahagian daripada saudara-mara keluarga Chundawat yang percaya kematian mereka adalah satu kes pembunuhan. Lagipun, keluarga Chundawat merupakan keluarga berpendidikan yang tidak mengamalkan amalan yang bertentangan dengan ajaran agama. Bahkan mereka juga tidak mempunyai sebarang masalah kewangan apatah lagi untuk membuat sebarang pinjaman wang. Jadi agak tidak masuk akal untuk mengatakan keluarga Chundawat membunuh diri. Daripada sudut psikologi, boleh jadi keluarga Chundawat ini menderita gangguan Perkongsian Psikosis yakni sejenis penyakit yang menyebabkan seseorang itu mengalami delusi sama dengan orang terdekatnya yang terkena gangguan mental.
Catat Ulasan for "MISTERI KEMATIAN KELUARGA CHUNDAWAT DI BURARI : Rahsia Sebuah Rumah"