HUBUNGAN TOKSIK : Kekal Setia atau Harus Pergi?
Alexander Urtula |
Setiap pasangan yang bercinta sudah pasti sentiasa
mengimpikan kebahagiaan dalam hubungan percintaan mereka. Percayalah, tiada
mana-mana pasangan yang inginkan perpisahan. Namun bagaimana pula dengan hubungan
percintaan toksik yang penuh dengan kepalsuan. Bergaduh berserta makian itu
sudah menjadi perkara biasa. Satu persoalan, mengapa ada pasangan yang sanggup
bertahan dan kekal setia dengan hubungan hambar sebegini yang boleh menyebabkan
gangguan mental seperti kemurungan, kegelisahan dan lain-lain lagi jenis
penyakit.
Pada 20 Mei 2019, seorang pelajar lelaki di Kolej Boston,
Amerika Syarikat telah bertindak untuk membunuh diri dengan cara terjun dari
sebuah bangunan garaj parkir. Pelajar lelaki berdarah Filipina tersebut
dikenali sebagai Alexander Urtula, 22 tahun. Paling menyedihkan, Alexander mati
pada hari majlis graduasinya. Kematian Alexander itu ternyata benar-benar telah
mengejutkan ramai pihak. Perkara ini berikutan Alexander dikatakan sebagai
pelajar yang baik dan begitu disenangi oleh orang-orang di sekelilingnya. Dalam
erti kata lain, Alexander bukanlah seorang yang bermasalah. Cuma apabila
disiasat secara lebih mendalam, punca Alexander tekad untuk membunuh diri
rupa-rupanya adalah berpunca daripada teman wanitanya sendiri yang berasal dari
Korea Selatan iaitu Inyoung You.
Alexander dan Inyoung |
Sekali pandang foto Alexander dan Inyoung bersama, mereka berdua kelihatan seperti pasangan secocok bahagia yang saling mencintai antara satu-sama lain. Walau bagaimanapun, tiada siapa sangka Inyoung mempunyai sisi gelapnya yang tersendiri. Sepanjang tempoh 18 bulan pasangan berkenaan berhubungan, Alexander telah didera oleh Inyoung secara emosi. Inyoung sering memaki dan mencaci Alexander tanpa sebarang sebab. Bayangkan pada tempoh dua bulan sebelum Alexander mati, dia telah berbalas sekitar 75 000 teks mesej dengan Inyoung di mana lebih daripada 47 000 mesej tersebut adalah kiriman teman wanitanya itu. Lagi kejam, kebanyakan mesej Inyoung tersebut merupakan mesej berbaur ugutan yang meminta Alexander untuk membunuh diri. Sampai satu masa, Alexander yang begitu mencintai Inyoung telah menjadi murung. Antara teks mesej yang dihantar Inyoung,
“Tolong bunuh diri.” “Pergi mati.” “Dunia akan menjadi lebih
aman tanpa dirimu.”
Berdasarkan laporan media pada awal tahun ini, Inyoung telah pun berdepan dengan pertuduhan melakukan pembunuhan tanpa niat. Hingga artikel ini ditulis, masih tidak jelas mengenai perkembangan terkini kes ini. Kisah sedih Alexander ini sebenarnya sama seperti kisah hubungan toksik Conrad Roy bersama dengan teman wanitanya yang bernama Michelle Carter. Tahun 2014, Conrad telah membunuh diri selepas didesak oleh Michelle secara berulang kali untuk berbuat sedemikian.
Catat Ulasan for "HUBUNGAN TOKSIK : Kekal Setia atau Harus Pergi?"