Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN ELLA ANDINIE : Dibunuh Suami Kerana Syabu

    Baru-baru ini, pengguna media sosial di negara Indonesia dikejutkan dengan berita pembunuhan kejam seorang wanita di Indonesia yang telah mati dibunuh secara kejam oleh suaminya sendiri. Lagi menyedihkan, wanita itu baru saja sebulan bergelar sebagai isteri.

    Pada tarikh 7 September 2021, Ella Andinie (24 tahun) telah bernikah dengan seorang lelaki yang berasal dari Aceh iaitu Muhammad Rafli. Tidak lama selepas perkahwinan tersebut, barulah Ella tahu tentang perangai Rafli yang sebenar. Rafli adalah seorang penagih dadah, kaki mabuk, kaki judi dan kaki pukul. Dalam erti kata lain, Rafli tidak layak untuk dijadikan sebagai seorang suami. Seperkara harus diketahui, Rafli pernah juga menggadai barang kemas milik Ella bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah dan berjudi. Hal ini menyebabkan Ella pernah cuba untuk menuntut cerai tetapi tidak dilayan oleh Rafli. Selain itu, Rafli juga dikatakan telah berkahwin dengan wanita lain tidak lama selepas dia mengahwini Ella. Namun masih tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran tentang hal itu.


    Diringkaskan cerita yakni pada sekitar pukul 10 pagi bersamaan dengan tarikh 20 Oktober 2021, Ella telah ditemui mati di atas katil dalam bilik tidur oleh adiknya sendiri. Penemuan mayat tersebut dibuat oleh adik Ella selepas dia berasa curiga dengan Ella yang langsung tidak keluar dari bilik tidurnya sejak awal pagi. Sementara itu, Rafli pada waktu sebelumnya tergesa-gesa meninggalkan kawasan rumah Ella. Dia telah beredar pergi dengan menaiki motosikal Ella serta pada masa sama turut membawa lari telefon pintar milik isterinya itu. Selepas pihak polis tempatan menerima laporan tentang kematian Ella, mereka mengesyaki bahawa Rafli merupakan suspek utama pembunuhan. Maka operasi pencarian serta pemburuan Rafli pun dijalankan.

    Mengenai Rafli selepas meninggalkan rumah Ella, dia telah pergi mengambil seorang rakan lelakinya yang dikenali sebagai Apoy. Mereka berdua kemudian pergi ke sebuah kedai telefon untuk menjual telefon pintar milik Ella. Selesai berbuat sedemikian, Rafli dan Apoy sempat untuk pergi makan sebelum menuju ke sebuah kedai sewa kereta. Kedua-dua mereka berniat untuk menyewa kereta sewa bagi tujuan melarikan diri. Walau bagaimanapun, niat jahat Rafli dan Apoy terbantut setelah pemilik kereta sewa tersebut enggan untuk menyewakan kereta setelah dia menyedari Rafli merupakan suspek utama satu kes pembunuhan yang sedang tular di laman media sosial. Sepandai-pandai tupai melompat jatuh ke tanah jua, Rafli berjaya diberkas oleh pihak polis di sebuah ladang kebun sawit dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas kejadian pembunuhan Ella.

    Jadi, apa sebenarnya yang berlaku terhadap Ella? Menurut keterangan Rafli, dia telah membunuh Ella dengan cara cekikan leher sewaktu isterinya itu sedang tidur. Berhubung dengan motif, ada laporan yang mengatakan bahawa Rafli berada di bawah pengaruh dadah jenis syabu ketika melakukan pembunuhan. Pihak polis juga telah menemui peralatan yang digunakan Rafli untuk menghisap syabu. Maklumat lain, Rafli menuduh Ella berlaku curang terhadap dirinya. Tuduhan dibuat selepas Rafly mendapat tahu Ella ada berbalas mesej dengan lelaki lain menggunakan aplikasi Whatsapp. Cuma harus diingatkan, kesahihan keterangan Rafli masih diragui memandangkan kes masih lagi dalam siasatan sepenuhnya oleh pihak polis.

    Soal samada Ella sedang hamil waktu dibunuh tidak dapat disahihkan kerana terdapat laporan yang mendakwa dia telah pun mengalami keguguran pada waktu sebelum kejadian pembunuhannya berlaku.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN ELLA ANDINIE : Dibunuh Suami Kerana Syabu"