KISAH KEHILANGAN MAYA MILLETE
Pada tahun 2021, Maya Tabalanza merupakan seorang wanita
berketurunan Filipina berusia 40 tahun yang telah membesar di negara Amerika Syarikat.
Dia yang berkhidmat sebagai pakar perundingan kontrak di jabatan tentera laut
Amerika Syarikat sudah pun berkahwin dan memiliki tiga orang anak hasil
perkahwinannya dengan seorang lelaki bernama Larry Millete. Maya dan Larry yang
dikatakan sebagai pasangan ideal telah saling mengenali sejak dari usia mereka
remaja lagi.
Kisah sebenar bermula pada 9 Januari 2021 apabila kakak
kepada Maya iaitu Maricris Drouaillet telah membuat laporan polis mengenai
kehilangan adiknya itu. Laporan tersebut dibuat Maricris selepas Maya gagal
untuk dihubungi sejak dari 7 Januari. Bagi Maricris, mana mungkin untuk Maya
menghilangkan diri begitu saja memandangkan dia adalah seorang ibu yang sangat
penyayang. Lebih mencurigakan, Maya hilang pada dua hari sebelum hari percutian
sempena ulang tahun anak perempuannya. Susulan laporan kehilangan Maya, maka
pihak polis pun memulakan penyiasatan serta operasi pencarian.
Berdasarkan maklumat yang pihak polis perolehi, kali terakhir Maya dilihat secara sahih adalah pada pukul 5 petang bertarikh 7 Januari di mana hari itu dia menguruskan proses tuntutan cerainya. Maya telah menuntut cerai daripada Larry sejak dari penghujung tahun 2020. Pencerai tersebut dituntut Maya kerana Larry telah menuduhnya menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain secara berterusan. Apa yang dipastikan, hubungan rumah tangga Maya dan Larry memang sudah lama berantakan. Selain itu, Larry didakwa sebagai seorang suami yang panas baran, kuat mengongkong dan cemburu tidak bertempat. Rasa tidak kepercayaan Larry sampai ke tahap dia muncul di tempat kerja Maya secara mengejut hanya semata-mata untuk melihat samada isterinya itu bermesyuarat dengan lelaki lain.
Pihak polis telah melakukan operasi pencarian Maya secara
besar-besaran di beberapa buah tempat selama berbulan-bulan dengan bantuan
penduduk setempat dan sukarelawan. Walau bagaimanapun, operasi pencarian
tersebut tidak membuahkan sebarang hasil. Pihak polis sebenarnya ada mendapat
maklumat yakni pada 8 Januari, Larry telah berada di lokasi tidak diketahui selama
12 jam. Selepas disoal siasat, Larry menjelaskan bahawa dia dan anak lelakinya
yang berusia 4 tahun berada di sebuah pantai serta pada masa sama tidak membawa
telefon. Keluarga Maya juga mendakwa ada terhidu bau peluntur di bahagian garaj
rumah Larry sewaktu mereka berkunjung ke rumah berkenaan pada 10 Januari.
Seperkara harus diketahui, kisah kehilangan Maya Millete ini telah mendapat liputan luas media Amerika Syarikat. Malah pada bulan April 2021, keluarga Maya termasuk peguam yang mewakili mereka muncul dalam rancangan bual bicara popular iaitu Dr. Phil.
Hanya pada bulan Julai 2021, pihak polis telah menamakan
Larry sebagai orang yang berkepentingan dalam kes kehilangan Maya. Tiga bulan
kemudian, Larry akhirnya telah ditangkap dibenarkan untuk diikat jamin atas
dakwaan melakukan pembunuhan terhadap Maya. Lagipun tiada sebarang bukti yang
menunjukkan Maya hilang atas kehendak dirinya sendiri. Namun harus diingatkan,
jasad Maya masih belum ditemui. Jadi penangkapan Larry berikutan beberapa bukti
sedia ada yang mengaitkannya sebagai suspek utama pembunuhan. Bukti itu
termasuklah seperti penemuan senjata api di dalam rumahnya dan juga carian
maklumat internet yang Larry lakukan mengenai cara untuk melumpuhkan seseorang.
Terdapat juga laporan media mengenai Larry yang ada merancang untuk mengupah
pembunuh upahan bagi membunuh seorang lelaki yang telah dipercayai menjalinkan
hubungan sulit dengan Maya. Tak cukup dengan itu, Larry pernah mempunyai rekod
berhubung dengan seorang tukang sihir yang disuruh untuk menyihir Maya. Lain-lain
lagi bukti, audio rakaman bunyi lapan dentuman kuat dari rumah Larry yang dipercayai
sebagai bunyi tembakan. (Dengarkan audio itu di sini : https://youtu.be/qTi4tqfqAF0 )
Larry bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah atas dakwaan yang dikenakan kepadanya. Buat masa sekarang, perbicaraan kes masih lagi berjalan. Begitu juga dengan operasi pencarian Maya yang masih lagi giat dijalankan. Di laman media sosial Facebook, terdapat satu kumpulan yang dicipta khas untuk membincangkan kes kehilangan Maya Millete. Hingga setakat artikel ini ditulis, kumpulan “Missing Maya Millete Discussion” tersebut mempunyai lebih daripada 12 000 orang ahli.
Catat Ulasan for "KISAH KEHILANGAN MAYA MILLETE "