KISAH PEMBUNUHAN JUAN LUIS LAGUNAS ROSALES : Padah Cakap Besar!
Lagunas |
Tahun 2017, Juan Luis Lagunas Rosales adalah seorang
pempengaruh Mexico berusia 17 tahun yang sedang meningkat naik dengan memiliki
lebih sejuta pengikut di laman media sosial Facebook dan sekitar 300 000
pengikut laman Instagram. Sewaktu berusia 15 tahun, Lagunas yang tinggal
bersama dengan neneknya telah tekad untuk berhijrah bagi mencari peluang pekerjaan
lebih baik. Dia kemudian bekerja sebagai seorang pencuci kereta di bandar
Culiacan.
Populariti Lagunas bermula berikutan satu demi satu video
yang dimuatnaiknya ke laman media sosial telah menarik perhatian orang ramai di
seluruh dunia untuk mengikutinya. Lagunas digelar sebagai “El Pirata de
Culiacan” yang bermaksud “The Pirate of Culiacan”. Video yang sering Lagunas
muatnaik di laman media sosial adalah video aksi terlarang seperti meminum
alkohol dan memegang senjata api haram. Seperkara harus diketahui yakni
menerusi undang-undang Mexico, perbuatan meminum alkohol hanya dibenarkan untuk
mereka yang berusia 18 tahun ke atas sahaja. Selain itu, Lagunas juga kerap
membuat hantaran fotonya yang bergaya dengan kereta mewah dan bergambar bersama
dengan wanita seksi. Bahkan dek kerana kepopularitiannya, Lagunas acap kali
tampil dalam muzik video lagu para artis dan dibayar untuk mempromosi barangan
tempatan.
Pada bulan Disember 2017, Lagunas ada memuatnaik satu video di mana dalam rakaman video berkenaan dia telah menghina seorang lelaki bernama Nemesio Ocegera Cervantes yang dikenali sebagai “El Mencho”. Lagunas yang dalam keadaan mabuk berkata, “El Mencho a mi me pela la verga” atau dalam terjemahan bahasa Inggeris, “El Mencho su*k my c***.” Ternyata, hinaan tersebut telah membawa kepada pengakhiran hidup Lagunas. Tonton video pada penghujung artikel.
Jadi, siapa sebenarnya “El Mencho”? Orang yang dihina Lagunas ini adalah ketua kartel dadah paling kaya serta berbahaya di Mexico iaitu kartel Cartel Jalisco Nueva Generacion (The New Generation Cartel) atau nama singkatan, CJNG. Kartel CJNG dilaporkan aktif melakukan pembunuhan terhadap anggota polis, juri mahkamah, ahli kongres dan orang awam yang menimbulkan masalah kepada mereka. Tentang El Mencho, dia merupakan individu buruan yang paling dikehendaki oleh pihak berkuasa Mexico dan Amerika Syarikat berikutan disyaki menjadi dalang utama dalam beberapa siri kes pengedaran dadah, memiliki senjata api secara haram dan beberapa lagi jenayah besar lain Aktiviti pengedaran dadah yang dijalankan El Mencho termasuklah di benua Eropah, Asia, Afrika dan Oceania. Bayangkan, pihak berkuasa Mexico dan Amerika Syarikat telah menawarkan wang ganjaran sebanyak $10 juta kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat tentang El Mencho hingga membawa kepada penangkapannya.
Berbalik dengan cerita Lagunas iaitu pada malam 18 Disember 2017, dia dan beberapa orang lagi rakannya telah pergi berparti di sebuah bar yang terletak di Jalisco. Pada sekitar pukul 11 malam, bar tersebut tiba-tiba dimasuki oleh sekumpulan lelaki yang lengkap bersenjata. Apa yang berlaku kemudian, kumpulan lelaki itu telah melepaskan 18 das tembakan ke arah Lagunas sekaligus mengakibatkannya mati serta merta di lokasi kejadian. Seorang lagi yang maut akibat insiden tembakan tersebut adalah pekerja bar itu. Rentetan daripada kejadian tersebut, pihak polis tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa Lagunas telah ditembak oleh geng CJNG susulan video hinaannya kepada El Mencho. Penembak bagaimanapun tidak pernah dapat ditangkap hingga pada hari ini. Begitu juga dengan El Mencho sendiri yang masih menjadi buruan antarabangsa. Pautan video berita kematian Lagunas : https://youtu.be/FF59Q0IAYiQ
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN JUAN LUIS LAGUNAS ROSALES : Padah Cakap Besar!"