KISAH PEMBUNUHAN KEJAM LAMU
Lamu |
Pada tahun 2020 bertempat di wilayah pergunungan Aba barat China, Amuchu atau lebih dikenali sebagai Lamu merupakan seorang wanita cantik berusia 30 tahun yang berperwatakan peramah, ceria dan begitu disenangi oleh orang di sekelilingnya. Selain itu, dia juga bergelar sebagai pempengaruh laman aplikasi Douyin dengan memiliki seramai lebih daripada 700 000 orang pengikut. Secara ringkasnya, Douyin adalah Tiktok versi China. Di aplikasi Douyin tersebut, Lamu yang tidak sombong sering berkongsi video aktiviti kehidupan harian dan juga menyanyi. Kebanyakan video yang Lamu muatnaik di Douyin kerap mendapat jutaan tanda suka daripada pengikutnya.
Lamu sebenarnya pernah mempunyai seorang suami yang bernama Tang Lu di mana mereka berdua telah berkahwin pada usia muda. Pasangan itu mempunyai dua orang anak lelaki. Mereka semua tinggal di rumah ibu Tang. Sewaktu awal perkahwinan, kehidupan rumah tangga Lamu dan Tang sangat bahagia. Namun lama-kelamaan, Tang mula membuat perangai dengan melakukan kekerasan. Lamu bukan saja sering dihina malah selalu dipukul oleh Tang. Situasi kian memburuk selepas ibu Tang meninggal dunia. Seperkara harus diketahui, ibu Tang sebelum itu sering menyebelahi Lamu apabila berlaku pertengkaran antara anak dengan menantunya.
Tang Lu |
Pada bulan Mac 2020, Lamu yang tekad untuk bercerai telah pulang ke rumah bapanya secara bersendirian. Tang kemudian cuba memujuk Lamu untuk kembali ke pangkuannya. Lamu terpaksa bersetuju setelah Tang mengancam untuk membunuh kedua-dua anak mereka. Setelah tinggal rumah semula, keadaan tetap sama dengan Lamu asyik menjadi mangsa makian dan pukulan Tang secara berterusan. Lamu yang sudah tidak tahan dengan penderaan tersebut sekali lagi meninggalkan Tang. Walaupun Lamu dipujuk Tang, dia tetap dengan keputusan untuk memfailkan penceraian.
Bulan Mei 2020, Tang yang berasa marah dengan permohonan cerai itu telah pergi menyerang Lamu yang tinggal di rumah bapa mentuanya. Tang bagaimanapun melarikan diri berikutan disergah oleh seorang saudara perempuan Lamu yang menyaksikan kejadian serangan itu. Tidak lama selepas kejadian tersebut, Tang telah membelasah seorang saudara wanita Lamu hanya kerana wanita itu enggan memberitahu tentang keberadaan isterinya. Laporan polis mengenai perbuatan Tang memang sudah pun dibuat tetapi pihak polis tidak melakukan sebarang tindakan susulan kerana beranggapan perkara tersebut adalah lebih kepada urusan peribadi. Tang yang masih tidak berpuas hati telah mengugut untuk membunuh Lamu.
Satu demi satu hal berlaku, Lamu memang sudah tawar hati. Tiada ruang lagi di hatinya untuk menerima Tang semula. Hinggalah bulan September, Lamu dan Tang akhirnya sah bercerai dengan hak penjagaan anak-anak mereka diserahkan kepada Lamu. Empat hari selepas penceraian berkenaan, ternyata ugutan bunuh yang pernah dibuat oleh Tang terhadap Lamu benar-benar terjadi. Hari itu, Lamu sedang bersiaran langsung di Douyin dengan melakukan aktiviti masakan. Tanpa diduga, Tang tiba-tiba telah memasuki ruang dapur rumah bapa mentuanya lalu menyimbah petrol kepada Lamu. Dalam sekelip mata saja seluruh badan Lamu terbakar hidup-hidup. Kejadian dahsyat tersebut telah ditonton secara penstriman langsung oleh kira-kira 400 000 orang pengikut Douyin Lamu. Bapa Lamu bergegas meminta bantuan sebaik mendengar suara jeritan anak perempuannya itu dari bahagian dapur. Tang pula sudah pun melarikan diri.
Lamu yang dirawat di hospital telah mengalami luka lecur sebanyak 90% pada tubuh badannya. Menyedihkan, dia dilaporkan koma selama dua minggu sebelum disahkan meninggal dunia pada 30 September 2020. Mengenai Tang, pihak polis tidak mengambil masa yang lama untuk melakukan penangkapan terhadapnya. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes yang bersidang pada bulan Oktober lepas, pihak juri mahkamah memutuskan Tang yang didapati bersalah dijatuhkan hukuman mati.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM LAMU "