KISAH PEMBUNUHAN KEJAM RINALDI HARLEY WISMANU
Rinaldi |
Pada tahun 2020, Rinaldi Harley Wismanu merupakan seorang
lelaki berusia 32 tahun berstatus duda yang bekerja sebagai seorang pengurus
besar di sebuah syarikat perusahaan kontraktor yang berpangkalan di Jakarta. Sedikit
latarbelakang mengenai Rinaldi, dia adalah anak pertama daripada tiga orang
beradik yang berperwatakan baik, peramah dan begitu disenangi oleh orang-orang
di sekelilingnya. Rinaldi yang sememangnya seorang yang pintar sejak dari kecil
merupakan lulusan dari Universiti Gadjah Mada dalam jurusan seni budaya. Tahun
2012, Rinaldi telah melanjutkan pelajaran di Universiti Tokyo, Jepun. Tamat
belajar, dia pun kembali pulang ke Indonesia. Rinaldi pernah berkahwin dengan
seorang pramugari Jepun pada tahun 2019. Walau bagaimanapun, jodoh pasangan itu
tidak berkekalan lama setelah mereka berdua membuat keputusan untuk berpisah.
Selain itu, Rinaldi mempunyai satu akaun siaran Youtube di mana siaran tersebut
memaparkan kehidupan sehariannya semasa berada di negara Jepun.
Kisah sebenar bermula apabila Rinaldi telah berkenalan
dengan seorang wanita berusia 27 tahun yang bernama Laeli Atik Supriyatin
menerusi laman aplikasi Tinder. Bermula saat tersebut, mereka berdua mula bertukar
nombor telefon lalu berhubung menggunakan aplikasi Whatsapp. Seperkara harus
diketahui, Laeli bukan calang-calang wanita. Dia adalah seorang wanita berkelulusan
ijazah dalam jurusan kimia dari Universiti Indonesia. Laeli juga mempunyai
seorang teman lelaki berusia setahun lebih muda daripadanya yang dikenali
sebagai Djumadil Al Fajri. Pada tahun 2019 lepas, nama Laeli sebenarnya pernah
menjadi tular di laman media sosial Indonesia kerana menjalinkan hubungan sulit
dengan Djumadil yang waktu itu masih lagi bergelar sebagai suami orang.
Laeli |
Berbalik dengan cerita Rinaldi dan Laeli yakni selepas setahun perkenalan, kedua-dua mereka akhirnya telah pergi bertemu secara berdua-duaan di sebuah apartment yang disewa khas dari 7 hingga 12 September 2020. Namun pada tarikh 9 September yakni sewaktu Rinaldi dan Laeli melakukan hubungan intim dalam bilik apartment berkenaan, Djumadil yang sebelumnya bersembunyi di dalam bilik mandi telah bertindak untuk membunuh Rinaldi dengan cara kejam. Bayangkanlah, kepala Rinaldi dihentak menggunakan batu-bata dengan tiga hentakan manakala badannya pula menerima beberapa tusukan pisau. Setelah Rinaldi tidak lagi bernyawa, mayatnya dialih ke dalam bilik mandi. Di situ, Djumadil serta Laeli mengerat mayat Rinaldi kepada 11 bahagian menggunakan peralatan seperti gergaji serta parang yang mereka telah beli. Selesai berbuat sedemikian, keratan mayat Rinaldi dimasukkan ke dalam bungkusan plastik, dua beg bagasi dan satu beg galas.
Djumadil dan Laeli |
Seterusnya, beg-beg tersebut telah disimpan sementara di dalam sebuah apartment lain. Djumadil dan Laeli juga ada membeli alat penyembur dan cat bagi menghapuskan bukti di lokasi kejadian. Selepas pembunuhan dahsyat itu, Djumadil dan Laeli telah mengeluarkan sejumlah wang milik Rinaldi. Wang tersebut kemudian digunakan oleh pasangan terbabit untuk membeli beberapa barangan mewah seperti cincin emas, dua komputer riba, jam tangan, motosikal, Iphone, Ipod dan banyak lagi. Sebelum Rinaldi menemui ajal, dia telah dipaksa untuk memberitahu kata kunci telefon pintar dan kad ATM miliknya. Dalam erti kata lain, motif pembunuhan Rinaldi adalah untuk mendapatkan hartanya.
Sepandai-pandai tupai melompat, jatuh ke tanah jua. Begitu
jugalah dengan nasib yang dialami Djumadil dan Laeli. Mereka berdua ditahan pada
tarikh 16 September oleh sepasukan pihak polis yang telah pun menerima laporan
kehilangan Rinaldi yang dilaporkan gagal untuk dihubungi sejak 9 September.
Penangkapan tersebut dibuat di sebuah rumah sewa iaitu tempat yang mereka
berdua sudah rencanakan sebagai lokasi penanaman mayat Rinaldi. Setelah
tertangkapnya Djumadil dan Laeli, tersebar berita mengenai Laeli yang sudah
lebih setahun langsung tidak berhubung dengan keluarganya.
Berhubung dengan perbicaraan kes, masih tidak jelas tentang perkembangan semasa kes ini. Cuma apa yang dapat dipastikan, Djumadil dan Laeli bakal menerima hukuman samada dihukum mati atau dipenjarakan jika benar-benar didapati bersalah melakukan pembunuhan terhadap Rinaldi.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM RINALDI HARLEY WISMANU "