KISAH PEMBUNUHAN KEJAM ROSMINI DARWIS : Demi Maruah Keluarga
Kebiasaannya budaya Honour Killing atau pembunuhan demi kehormatan berlaku di negara-negara Asia Selatan dan Timur Tengah. Namun pada bulan Mei 2020, negara Indonesia telah dikejutkan dengan pembunuhan demi kehormatan yang pertama kali berlaku di negara itu pada zaman moden.
Pada tahun 2020, Rosmini binti Darwis adalah seorang gadis remaja cantik berusia 16 tahun yang tinggal di kawasan Kabupaten Bantaeng, Sulawesi Selatan, Indonesia. Memasuki pertengahan tahun tersebut, Rosmini yang juga merupakan anak kelima daripada enam orang adik mula jatuh sakit dengan mengalami gejala seperti mual, muntah dan pengsan. Waktu itu, Rosmini tidak bersekolah memandangkan sekolah di seluruh Indonesia terpaksa ditutup kerana pandemik Covid-19.
Melihat keadaan kesihatan Rosmini yang semakin teruk, keluarganya mula berasa risau. Mereka mengesyaki bahawa Rosmini berkemungkinan besar telah menjadi mangsa sihir. Jadi, Rosmini pun dibawa keluarganya untuk pergi berubat dengan dukun. Melalui gambaran diberikan dukun, individu yang dipercayai telah menyihir Rosmini merupakan sepupu lelakinya sendiri iaitu Usman. Keluarga Rosmini memang sudah menjangkakan hal ini kerana mereka sudah lama ada mendengar desas-desus tentang Usman yang sudah berusia 45 tahun menyimpan perasaan terhadap Rosmini.
Pada tarikh 9 Mei 2020, Usman pergi melawat ke rumah keluarga Darwis selepas mendapat berita tentang Rosnini yang kurang sihat itu. Walau bagaimanapun, kedatangan Usman pada waktu berkenaan ternyata telah mengundang kemarahan keluarga Rosmini. Maka Usman pun ditahan sebelum dipaksa untuk membuat pengakuan mengenai sihir yang dia sudah lakukan kepada Rosmini. Situasi bagaimanapun menjadi semakin tegang apabila Usman membuat penafian tentang perkara tersebut. Enggan pertengkaran itu berterusan, Rosmini akhirnya membuka mulut bagi menceritakan perkara sebenar. Cerita Rosmini, sakit yang dia alami bukanlah disebabkan sihir tetapi sebaliknya kerana kehamilan. Lagi mengejutkan keluarga Rosmini, Usman adalah individu yang bertanggungjawab menghamilkan Rosmini. Rupa-rupanya selama ini, Usman dan Rosmini telah menjalinkan hubungan percintaan tanpa pengetahuan keluarga masing-masing. Sukar untuk keluarga Rosmini menerima kenyataan itu. Apatah lagi status Usman yang sudah pun memiliki isteri.
Rahman (kiri), Supriyanto (kanan) |
Rentetan pengakuan mengejutkan daripada Rosmini, keluarganya telah meminta Usman supaya bertanggungjawab sepenuhnya. Maka Usman disuruh untuk mengahwini Rosmini dengan kadar segera. Jawapan yang diberikan Usman menunjukkan dia seolah-olah serba salah untuk berkahwin dengan Rosmini. Melihat reaksi Usman sedemikian rupa, keluarga Rosmini terus mengamuk terutamanya dua orang abang kandung Rosmini yang bernama Rahman (30 tahun) dan Supriyanto (20 tahun). Mereka berdua telah bertindak untuk memukul Usman. Meskipun telinga Usman tercedera kerana terkena libasan parang, dia sempat untuk melarikan diri.
Rahman yang sudah seakan dirasuki iblis seterusnya melepaskan kemarahannya terhadap seorang penunggang motosikal dikenali sebagai Enal. Mujur sajalah Enal dapat memecut laju motosikal biarpun kepala dan jarinya mengalami kecederaan akibat parang yang dilibas Rahman kepadanya. Tidak lama selepas itu, seorang lagi pemuda bernama Irfan yang kebetulan melalui depan kawasan rumah keluarga Rosmini telah ditahan oleh Rahman dan Supriyanto lalu dibawa masuk ke dalam rumah untuk dipaksa berkahwin dengan Rosmini. Siapa saja mahu berkahwin secara paksa, begitulah juga dengan Irfan yang enggan untuk mengahwini Rosmini tanpa kerelaan hati.
Keluarga Rosmini benar-benar kecewa dengan Rosmini. Nama baik dan maruah keluarga mereka telah pun tercemar. Mereka semua termasuk Rosmini pun berkumpul dalam sebuah bilik yang terletak di bahagian belakang rumah. Di situ, Darwis selaku ketua keluarga telah memberikan persetujuan untuk melakukan pembunuhan terhadap Rosmini yang sudah memalukan mereka. Rosmini hanya mampu pasrah dan menitiskan air mata apabila disuruh untuk berbaring dibatas lantai. Rahman dan Supriyanto tidak layak bergelar sebagai abang apabila sanggup untuk membunuh Rosmini dengan cara begitu kejam. Bayangkan, Rosmini telah dipukul dengan kayu sebelum lehernya dikelar dengan parang. Sebelum pembunuhan dilakukan, anggota keluarga Rosmini yang lain disuruh untuk memejamkan mata sambil berselawat.
Rupa-rupanya ada jiran yang terdengar suara jeritan Rosmini sewaktu kejadian pembunuhan berlaku. Dek kerana rasa curiga, dia yang tidak melengahkan masa telah membuat laporan polis. Susulan maklumat tersebut, pihak polis pun melakukan serbuan di rumah keluarga Rosmini. Perkara inilah yang menyebabkan amukan Rahman dan Supryanto semakin di luar kawalan. Kedua-dua mereka termasuk anggota keluarga Rosmini yang lain enggan untuk keluar dari rumah dengan mengunci pintu. Pihak polis serta tentera akhirnya terpaksa menggunakan cara kekerasan setelah usaha untuk memujuk Rahman dan Supryanto tidak membuahkan hasil. Gas pemedih mata telah dibaling masuk ke dalam rumah keluarga Rosmini. Pengakhirannya, semua anggota keluarga Rosmini pun berjaya jua ditahan. Tentang Rosmini, mayatnya telah ditemui dalam keadaan berlumuran darah.
Hasil siasatan polis, motif pembunuhan Rosmini adalah disebut sebagai "Siri" iaitu bahasa daripada Bugis-Makassar. Secara ringkasnya, "Siri" ini adalah tindakan untuk mempertahankan maruah keluarga. Soal penangkapan, hanya Rahman dan Supriyanto yang ditahan kerana mereka berdualah yang melakukan pembunuhan terhadap Rosmini. Pemeriksaan mental yang dijalankan terhadap semua anggota keluarga Rosmini mendapati bahawa mereka semua berada dalam keadaan sedar semasa kejadian berlaku. Perbicaraan kes telah pun bermula pada bulan Ogos tahun 2020 dan sehingga kini masih tiada perkembangan jelas hukuman yang bakal diterima Rahman dan Supriyanto.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM ROSMINI DARWIS : Demi Maruah Keluarga"