Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SAMIA SHAHID : Antara Cinta dan Keluarga

Samia Shahid

     Samia Shahid merupakan seorang wanita cantik lagi periang berdarah Pakistan yang dilahirkan pada tahun 1987 bertempat di Bradford, England. Selepas tamat sekolah menengah di sekolah Nab Wood. Samia bekerja sebagai pekerja pemasaran serta pada masa sama mengisi masa lapangnya dengan menjadi seorang jurusolek. Samia dikatakan begitu rapat dengan bapanya iaitu Chaudhry Mohammed Shahid yang menetap di Pakistan. Dalam erti kata lain, Samia merupakan anak kesayangan dalam keluarganya. Segala kemahuan Samia sentiasa dituruti asalkan dia tidak mencemarkan maruah keluarganya. Prinsip Shahid, keluarga adalah segala-galanya.

    Diringkaskan cerita yakni pada tahun 2012, Samia yang berusia 25 tahun waktu itu telah dijodohkan dengan sepupu lelakinya sendiri yang bernama Chaudhry Muhammad Shakeel. Majlis perkahwinan mereka itu diadakan secara meriah di Pakistan. Seperkara yang harus diketahui, Samia sebenarnya tidak rela dengan perkahwinan secara aturan keluarga tersebut. Lebih-lebih lagi apabila Samia mendapat tahu tentang Shakeel yang pernah meringkuk di dalam penjara. Bulan Jun 2012, Samia terpaksa pulang bersendirian ke England selepas permohonan visa Shakeel ditolak. Jadi, Samia dan Shakeel terpaksa menjadi pasangan jarak jauh.

Samia dan Shakeel

    Tahun 2013, Samia telah berkenalan dengan seorang lelaki juga berketurunan Pakisatan yang dikenali sebagai Syed Mukhtar Kazim. Sedikit tentang Mukhtar, dia merupakan seorang penganut muslim berfahaman Syiah yang bekerja di Dubai. Tidak lama selepas perkenalan antaran Samia dan Mukhtar, mereka berdua telah sama-sama jatuh cinta. Disebabkan itu, Samia tekad untuk memfailkan penceraian terhadap Shakeel tanpa melalui proses yang sepatutnya. Samia terpaksa berbuat sedemikian kerana dia menyedari keluarganya tidak akan menyetujui tuntutan cerai yang dibuatnya. Pada 7 September 2014, Samia dan Mukhtar melangsungkan perkahwinan secara rahsia di bandar Leeds. Setelah berkahwin, Samia telah mengikut Mukhtar untuk tinggal di Dubai.

Samia dan Mukhtar

    Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah juga dengan nasib yang dialami oleh Samia. Berita perkahwinannya dengan Mukhtar telah sampai ke pengetahuan keluarganya. Keluarga Samia terutamanya Shahid benar-benar berasa kecewa dengan perbuatan Samia yang dianggap mencemarkan nama baik keluarga mereka. Shahid yang enggan untuk berdiam diri segera membuat laporan polis tentang Samia yang dilaporkannya sebagai orang hilang. Bulan Julai 2016, Samia telah menerima panggilan telefon daripada keluarganya di Pakistan yang memberitahu tentang Shahid yang tiba-tiba jatuh sakit. Samia disuruh pulang untuk menziarahi bapanya itu. Mukhtar pada mulanya melarang Samia pulang ke Pakistan kerana dia begitu mencurigai keluarga Samia yang mungkin akan melakukan pembunuhan demi kehormatan. Samia juga merasakan perkara yang sama akan tetapi dia cuba untuk berfikiran positif.

    Pada 14 Julai 2016, Samia pun tiba di negara Pakistan. Namun pada empat hari berikutnya, Mukhtar tiba-tiba telah menerima panggilan telefon daripada saudara keluarga Samia yang memaklumkan tentang kematian Samia di rumah Shakeel berpunca daripada serangan jantung. Laporan berita tempatan pula melaporkan Samia membunuh diri kerana mengalami kemurungan disebabkan tidak mempunyai sebarang zuriat. Sudah naluri seorang suami, Mukhtar yang berasa tidak berpuas hati telah mendesak pihak berkuasa di Pakistan untuk menjalankan siasatan secara lebih telus. Berdasarkan laporan forensik, Samia dirogol sebelum dicekik sampai mati.

Shahid bapa Samia

    Selepas pihak polis melakukan siasatan, mereka telah menahan Shahid dan Shakeel yang dipercayai telah menjadi dalang utama kematian Samia. Shakeel melakukan pembunuhan terbabit kerana Samia enggan menetap di Pakistan serta kekal dengan pendiriannya untuk bersama Mukhtar. Mengenai Shahid, dia dikatakan bersubahat dengan Shakeel. Rentetan daripada perkara itu, kedua-dua mereka termasuk beberapa orang lagi anggota keluarga Samia yang lain telah ditangkap oleh pihak polis. Mereka semua bagaimanapun dibebaskan dengan cara jaminan kerana pihak pendakwaan tidak mempunyai bukti kukuh untuk meneruskan pendakwaan. Shahid telah meninggal dunia di hospital Lahore pada bulan Januari tahun 2018 tanpa diketahui penyebab kematiannya.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SAMIA SHAHID : Antara Cinta dan Keluarga"