Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SARAH EVERARD : Pembunuhan Paling Viral 2021

    Pada tarikh 4 Mac 2021, pihak polis di London telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki dikenali sebagai Josh Lowth yang mendakwa bahawa teman wanitanya dikhuatiri hilang. Laporan itu dibuat oleh Josh selepas Sarah tidak muncul untuk berjumpa dengannya pada waktu seperti yang telah dijanjikan. Dakwa Josh, kali terakhir dia mendengar berita tentang Sarah adalah malam 3 Mac 2021 yakni menerusi panggilan telefon pada sekitar pukul 9 malam. Mereka berdua sempat berborak lebih kurang 15 minit sebelum bersepakat untuk berjumpa pada keesokan harinya.

    Pada malam Sarah menghilang tersebut, dia yang merupakan seorang eksekutif pemasaran berusia 34 tahun sedang dalam perjalanan pulang dari rumah rakannya menuju ke rumah sendiri dengan berjalan kaki secara bersendirian. Jarak perjalanan itu adalah lebih kurang berjarak 4.8 kilometer. Seperkara harus diketahui, jalan yang dilalui oleh Sarah tersebut adalah jalan alternatif yang memang menjadi laluan utama orang ramai. Perkara ini bermaksud jalan itu bukanlah kawasan yang sunyi sepi. Jadi, sudah menjadi tabiat Sarah untuk berjalan kaki melalui jalan tersebut memandangkan tiada sebarang insiden tidak diingini yang pernah berlaku terhadapnya sebelum ini.

    Selepas menerima laporan kehilangan Sarah, pihak polis tidak melengahkan masa untuk melakukan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup di sepanjang kawasan jalan yang Sarah lalui. Pada masa sama, pihak polis menggesa pengusaha bas yang ada beroperasi di lokasi kejadian pada malam terbabit tampil untuk menyerahkan rakaman perjalanan bas mereka. Usaha pihak polis ternyata tidak sia-sia apabila terdapat rakaman yang menunjukkan Sarah sedang berborak dengan seorang lelaki tidak dikenali di tepi jalan. Dia kemudian memasuki kereta putih jenama Vauxhall yang dipandu oleh lelaki itu. Itulah kali terakhir Sarah dilihat sebelum dia dilaporkan hilang. Terdapat juga saksi yang mendakwa bahawa Sarah telah digari tangannya sebelum dibawa pergi menuju ke satu lokasi tidak diketahui.

    Walaupun imej lelaki yang menggari Sarah tersebut kurang jelas rakamannya, identiti sebenarnya berjaya untuk dikenalpasti. Pengenalpastian dapat dibuat oleh pihak polis hasil daripada maklumat nombor pendaftaran kereta Vauxhall berkenaan yang disahkan sebagai kereta sewa. Kereta Vauxhall putih itu telah disewa sejak dari tarikh 28 Februari oleh seorang anggota polis berusia 48 tahun yang bernama Wayne Couzens. Sedikit mengenai latarbelakang Wayne, dia adalah polis penjaga di Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat yang terletak di London. Wayne yang sudah beristeri serta bergelar bapa kepada dua orang anak tidak mempunyai sebarang rekod buruk sepanjang perkhidmatannya sebagai anggota polis. Dia bagaimanapun dikatakan telah beberapa kali berkelakuan aneh sebelum peristiwa kehilangan Sarah berlaku. Ini termasuklah melakukan cubaan mencabul, gangguan seksual dan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.  

    Pada malam kehilangan Sarah, Wayne didapati telah berkeliaran di lokasi kejadian dengan lagak gaya seperti seorang anggota polis peronda sedangkan waktu itu dia sepatutnya bercuti. Ingat, dia adalah polis penjaga, bukannya polis peronda. Wayne berkemungkinan besar telah menahan Sarah dengan alasan pelanggaran garis panduan perintah Covid-19. Apa yang dapat dipastikan, Wayne dan Sarah saling tidak mengenali antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, Wayne telah memilih mangsa penculikannya secara rawak. Wayne kemudian ditangkap pada 9 Mac 2021 di dalam rumahnya sendiri tanpa sebarang pergelutan. Dia akhirnya tidak dapat untuk berdolak-dalih lagi dengan pihak polis berikutan bukti yang sedia ada telah pun menjurus terhadapnya.

    Baiklah, apa yang sebenarnya berlaku kepada Sarah Everard? Setelah diculik Wayne, Sarah dibawa ke Dover. Setiba di lokasi, Sarah dipindahkan pula ke dalam sebuah kereta milik Wayne sendiri yang seterusnya dipandu ke sebuah lokasi terpencil. Pada waktu inilah Sarah menjadi mangsa rogol Wayne lalu dibunuh dengan cara cekikan leher menggunakan tali pinggang. Lagi kejam, Wayne tanpa sebarang rasa kemanusiaan telah bertindak untuk membakar mayat Sarah yang telah diletakkannya di dalam peti sejuk. Selesai berbuat sedemikian, mayat Sarah dimasukkan ke dalam sebuah beg besar dan ditinggalkan begitu saja di kawasan hutan yang berlokasi di Kent. Mayat Sarah yang dalam keadaan rentung telah pihak polis temui pada hari ketujuh kehilangannya.

    Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Wayne telah didapati bersalah atas pertuduhan melakukan pembunuhan terhadap Sarah. Rentetan daripada perkara tersebut, Wayne yang turut dilucut jawatannya sebagai polis menerima hukuman penjara untuk seumur hidup. Kes kematian Sarah ini telah mendapat liputan luas media serta tunjuk perasaan daripada orang ramai terutama kaum wanita yang menzahirkan rasa takut untuk keluar bersendirian pada waktu malam. Pihak kerajaan dan pihak polis di England digesa supaya lebih bertanggungjawab di samping mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan keselamatan kaum wanita di luar sana lebih terjamin.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SARAH EVERARD : Pembunuhan Paling Viral 2021"