KISAH PEMBUNUHAN KEJAM VERA OKTARIA
Kisah pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 2019. Tahun
itu, Vera Oktaria adalah seorang gadis cantik berusia 20 tahun yakni seorang
juruwang di sebuah kedai runcit yang berlokasi di Palembang. Dia mempunyai seorang
teman lelaki bernama Deri Permana yang juga merupakan seorang anggota tentera.
Mereka berdua dikatakan sudah pun menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih
sejak dari bangku persekolahan menengah lagi. Selain itu, hubungan Deri dan
Permana juga sudah pun diketahui oleh keluarga masing-masing.
Kisah sebenar bermula pada 10 Mei 2019 apabila mayat seorang
gadis telah ditemui tanpa pakaian di sebuah hotel yang terletak di Musi,
Banyuasin, Sumatera Selatan. Penemuan mayat gadis yang sudah dalam keadaan
membusuk dan tangan kanan putus tersebut dibuat oleh pengurus hotel itu sendiri
selepas dia terhidu bau busuk dari bilik sewa gadis berkenaan. Pihak polis yang
kemudian menerima laporan berhubung perkara tersebut terus bergegas ke lokasi
kejadian. Hasil pemeriksaan, mayat gadis itu dikenalpasti sebagai Vera Oktaria
iaitu gadis yang dilaporkan hilang sejak dari malam 7 Mei 2019. Semakan pada buku
rekod tetamu mendapati tiada sebarang maklumat lengkap mengenai individu yang
telah mendaftar masuk hotel tersebut. Walau bagaimanapun, pihak polis berjaya
menemui cap cari di lokasi kejadian sekaligus membawa kepada pengenalpastian
identiti Deri Permana sebagai suspek utama pembunuhan Vera.
Tentang Deri, dia memang sangat mencintai Vera. Malah dia sering menghadiahkan Vera dengan pelbagai jenis hadiah seperti telefon pintar, baju dan juga wang. Cumanya, hubungan antara Deri dan Vera tidaklah berapa baik kerana sering bertengkar. Pertengkaran itu kebanyakannya berpunca daripada perangai Deri sendiri yang panas baran, kuat mengongkong, kaki pukul dan sering cemburu tidak bertempat. Dalam erti kata lain, hubungan Deri dan Vera adalah sebuah hubungan yang toksik. Vera juga pernah beberapa kali cuba untuk memutuskan perhubungan akan tetapi Deri tidak sesekali ingin melepaskannya. Bayangkan, Deri sanggup melarikan diri dari kem tentera hanya semata-mata untuk bersama dengan Vera. Rakan Vera sendiri pernah bercerita bahawa Deri lebih rela untuk membunuh Vera jika kekasihnya itu bersama dengan lelaki lain.
Baiklah, apa sebenarnya yang telah berlaku kepada Vera
sebelum, semasa dan selepas dia dibunuh? Pada 7 Mei 2019, Vera bekerja seperti
biasa. Sepanjang bekerja pada hari tersebut, dia bagaimanapun dilihat berada
dalam keadaan kegelisahan. Telefonnya juga banyak kali berdering. Hinggalah
pukul 11.30 malam, Vera pun keluar dari kedai tempatnya bekerja. Sejam
berikutnya, keluarga Vera muncul di kedai itu untuk menanyakan keberadaan Vera
yang langsung tidak pulang ke rumah serta gagal untuk dihubungi. Jadi, ke mana
Vera pergi? Dia rupa-rupanya dipaksa oleh Deri untuk menuju ke sebuah lokasi yang
berjarak 132 kilometer dari Palembang dengan menaiki motosikal. Pada mulanya,
Deri memberitahu Vera bahawa dia ingin pergi ke rumah bapa saudaranya. Tanpa
Vera duga, dia dibawa oleh Deri untuk menginap di bilik sebuah hotel.
Dalam bilik hotel tersebut, Vera telah dipaksa Deri untuk melakukan hubungan seks. Setelah Deri berasa puas, dia pun cuba membuka telefon Vera kerana mengesyaki kekasihnya itu ada bermesej dengan lelaki lain. Setelah menyedari Vera sudah menukar kata kunci telefon tersebut, Deri mula berasa marah. Pada masa sama, Vera mempersoalkan keseriusan Deri yang sudah berjanji untuk mengahwininya. Entah apa yang merasuki Deri, dia bertindak menekup muka Vera dengan bantal. Selepas menyedari Vera tidak lagi bernyawa, Deri mula menjadi panik lalu keluar dari hotel sebelum menemui sebuah gergaji berkarat. Rancangan asal Deri, gergaji itu dia akan gunakan untuk mengerat mayat Vera secara halus-halus bagi tujuan penghapusan bukti. Gergaji tersebut bagaimanapun patah sewaktu Deri masih cuba mengerat sepenuhnya tangan kanan Vera. Rentetan daripada perkara itu, Deri keluar untuk pergi membeli sebuah gergaji baru. Cubaan kerat mengerat kali kedua juga gagal untuk Deri lakukan kerana gergaji baru tersebut turut patah. Hanya tangan kanan Vera saja yang dapat dikeratnya. Seperkara harus diketahui, Deri ada melakukan cubaan untuk membakar mayat Vera tetapi cara itu juga tidak berhasil. Menyedari dirinya semakin kesuntukan masa, Deri pun melarikan diri dari lokasi kejadian.
Sepandai-pandai tupai melompat, jatuh ke tanah jua. Begitulah juga dengan nasib Deri. Selepas menjadi buruan pihak polis selama sebulan, dia akhirnya berjaya jua ditangkap di Serang Banten. Sewaktu disoal siasat dan dibicarakan, keterangan yang diberikan Deri sering berubah-rubah. Apa yang dapat dipastikan, Deri ada membuat pengakuan tentang segala pengorbanannya untuk Vera selama lima tahun yang langsung tidak dihargai. Sepanjang perbicaraan kes, Deri kerap menangis kerana menyesali perbuatan pendek akalnya yang menyebabkan kematian Vera. Kesudahan kes, Deri yang dipecat keanggotaannya sebagai tentera telah dihukum penjara seumur hidup. Saksikan video Deri menangis saat melihat ibunya membuat permohonan maaf kepada keluarga Vera : https://youtu.be/i0fashyeC9Y
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM VERA OKTARIA "