KISAH PEMBUNUHAN BAI JING : Pengkhianatan Terbesar Seorang Isteri
Bai Jing |
Bai Jing merupakan seorang anak seni berbakat yang
dilahirkan pada tarikh 4 Jun 1983 bertempat di Tieling, Liaoning, China. Sejak
dari kecil lagi, dia memang mempunyai minat yang begitu mendalam terhadap
bidang lakonan, tarian, nyanyian dan ilmu seni bela diri. Tahun 2002, Bai Jing yang
tinggal berdua bersama ibunya telah melanjutkan pelajaran di sebuah akademi
drama yang terletak di Beijing dengan mengambil jurusan seni teater.
Pada tahun 2004, Bai Jing berkenalan dengan seorang lelaki
bernama berusia 36 tahun iaitu Zhou Chengchai yang merupakan seorang pelabur
saham dengan status jutawan. Waktu tersebut, Zhou masih berstatuskan sebagai
suami orang dan mempunyai seorang anak lelaki. Walau bagaimanapun, Zhou
kemudian tekad menceraikan isterinya untuk bersama dengan Bai Jing. Selain itu,
Zhou juga sanggup melaburkan sejumlah wang bagi memastikan Bai Jing mendapat
tempat dalam industri perfileman China. Pengorbanan Zhou ternyata berbaloi
apabila Bai Jing diberikan kepercayaan untuk memegang watak utama dalam siri
drama berjudul Xue Se Xiang Xi yang
diterbitkan pada tahun 2007. Sejak dari itu, nama Bai Jing menjadi semakin
popular dalam kalangan peminat drama dan filem.
Zhou Chengchai dan Bai Jing |
Menyedari peranan Zhou dalam peningkatan kariernya, Bai Jing telah sudi untuk menjadi kekasih jutawan berkenaan. Mereka berdua seterusnya mendaftarkan perkahwinan secara rahsia pada tahun 2008. Tahun yang sama, Bai Jing telah membintangi filem berjudul Three Kingsdom : Resurrection of the Dragon yang dibintangi oleh para pelakon popular seperti Andy Lau dan Sammo Hung. Dua tahun berikutnya, Bai Jing muncul dalam filem Kung Fu Wing Chun dengan watak utamanya sebagai Yan Yongchun. Bulan Oktober 2010, Zhou dan Bai Jing berkahwin jua secara rasmi walaupun perkahwinan tersebut telah mendapat tentangan daripada ibu dan rakan-rakan Zhou.
Selepas berkahwin dengan Zhou, hidup Bai Jing dilimpahi
dengan kemewahan. Bai Jing sering dihadiahkan oleh Zhou dengan pemberian kereta
mewah, barang kemas dan beberapa aset hartanah. Begitu juga dengan ibu Bai Jing
yang diberikan apartment mewah berserta dengan wang perbelanjaan bulanan. Dalam
erti kata lain, kehidupan Bai Jing dan ibunya nampak begitu sempurna. Zhou
berbuat sedemikian kerana dia benar-benar mencintai Bai Jing.
Zhou Chengchai dan Qiao Yu |
Seperkara harus diketahui, Zhou mempunyai seorang rakan baik lelaki iaitu Qiao Yu yang dikenalinya pada tahun 2009. Keakraban mereka berdua bermula selepas Qiao Yu telah membantu menyelesaikan masalah ugutan simbahan cat kereta dan panggilan telefon misteri yang dialami Zhou. Cerita sebenar, Qiao Yu sendiri sebenarnya adalah dalang kepada masalah berkenaan. Dia berpura-pura untuk membantu kerana menyedari status Zhou sebagai seorang jutawan. Selepas masalah ugutan itu selesai, Zhou telah menghadiahkan Qiao Yu yang dianggap sebagai anggota keluarganya sendiri dengan pelbagai jenis hadiah mewah. Selain itu, Zhou sering mengajak Qiao Yu untuk datang berkunjung ke rumahnya. Maka bermula dari situlah Qiao Yu dan Bai Jing telah melakukan pengkhianatan besar terhadap Zhou di mana mereka berdua mula menjalinkan hubungan sulit. Sampai satu masa, Qiao Yu menyuruh Bai Jing untut menuntut cerai daripada Zhou demi mendapatkan harta.
Proses tuntutan penceraian mestilah mempunyai bukti.
Rentetan daripada perkara tersebut, Qiao Yu dan Bai Jing telah merencanakan
satu rancangan yang jahat untuk mengenakan Zhou. Jadi, ada satu hari yakni
semasa Zhou dalam perjalanan urusan bisnes, dia yang bersendirian telah
menginap di sebuah hotel yang ditempah oleh Bai Jing. Di hotel itu, Zhou telah
tertewas dengan godaan seorang pelacur cantik upahan Qiao Yu. Aksi hubungan
intim antara Zhou bersama pelacur tersebut telah dirakam sebuah kamera yang
dipasang secara sembunyi di dalam bilik hotel tersebut. Sebaik Bai Jing
mendapat rakaman video lucah itu, dia terus meminta cerai daripada suaminya.
Zhou yang sedar akan kesilapannya telah berulang-ulang kali memohon maaf kepada
Bai Jing. Menyedihkan Zhou, Bai Jing bukan saja tidak menerima permohonan maaf
tersebut malah telah keluar dari rumah. Selepas itu, Bai Jing yang masih
berniat untuk menyakitkan hati Zhou telah pergi melawat ibu mentuanya yang
terlantar sakit di hospital. Ibu Zhou telah meninggal dunia akibat serangan
jantung setelah dia melihat video lucah Zhou yang ditunjukkan oleh Bai Jing.
Qiao Yu |
Zhou menjadi semakin kemurungan selepas dua insan yang disayanginya pergi meninggalkannya serentak pada waktu begitu singkat. Mengenai Qiao Yu, dia telah menghilangkan diri. Lagi membuatkan Zhou rasa tidak berpuas hati, Qiao Yu yang membawa lari sejumlah wang pelaburannya tidak mengangkat sebarang panggilan telefon. Enggan untuk berdiam diri, Zhou telah membuat laporan polis tentang perkara itu. Pihak polis tidak mengambil masa yang lama untuk melakukan penangkapan terhadap Qiao Yu. Cumanya, Zhou jatuh terduduk apabila mendapat tahu hubungan sulit yang terjalin antara Qiao Yu dan Bai Jing. Dia telah dikhianati oleh dua individu yang paling dipercayainya selama ini. Soal penangkapan Qiao Yu, dia dibebaskan semula berikutan pihak polis tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwanya dengan tuduhan melakukan penggelapan wang sebagaimana yang didakwa Zhou.
Tanggal 28 Februari 2012, Zhou telah pergi ke rumah
apartment Bai Jing bagi membincangkan masalah penceraian mereka. Apa yang
terjadi sesudah itu ternyata benar-benar di luar jangkaan. Entah apa yang merasuki
Zhou, dia bertindak untuk menikam Bai Jing sampai mati dengan menggunakan
pisau. Selesai melakukan pembunuhan, Zhou membunuh diri cara terjun dari
bangunan apartment. Sebelum mati, dia sempat menelefon setiausahanya hanya
semata-mata untuk memmberitahu tentang perangai Bai Jing yang kejam hingga
sanggup menganiayai suami sendiri.
Susulan kematian Zhou, pihak polis telah menangkap semula Qiao Yu pada awal tahun 2013 selepas mendapat banyak maklumat dan bukti kukuh daripada anggota keluarga Zhou. Hasil keputusan perbicaraan kes pada tahun 2016, Qiao Yu yang didapati bersalah atas kesalahan menggelapkan wang milik Zhou telah dijatuhkan hukuman penjara selama 11 tahun.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN BAI JING : Pengkhianatan Terbesar Seorang Isteri"