SERANGAN JOKER JEPUN PADA MALAM HALLOWEEN
Pada malam 31 Oktober 2021 yakni bersamaan dengan malam Halloween,
seorang lelaki muda warga Jepun berusia 24 tahun bernama Kyota Hattori telah memasuki
sebuah kereta api yang terletak di Tokyo. Malam itu, Kyota mengenakan kostum
karakter popular iaitu “Joker”. Dia
memakai baju kemeja berwarna hijau berserta dengan sut ungu. Pada mulanya, para
penumpang kereta api yang lain beranggapan bahawa Kyota berpakaian sedemikian
adalah sempena sambutan Halloween malam berkenaan. Namun apa yang berlaku
kemudian benar-benar di luar jangkaan. Kyota ternyata benar-benar menjadi Joker
di dunia nyata.
Kyota tiba-tiba telah bertindak untuk menikam dada seorang
lelaki tua berusia 72 tahun yang duduk bersebelahannya. Suasana dalam kereta
api tersebut tiba-tiba bertukar menjadi huru-hara apabila melihat Kyota
mengamuk. Semua penumpang yang panik telah bergerak dari satu gerabak ke gerabak
lain untuk menyelamatkan diri hingga ada antara mereka yang terpaksa keluar
dari kereta api melalui tingkap. Kyota dengan muka selamba terus mengorak
langkah kaki sambil melambai-lambaikan pisau yang sedang dipegangnya. Sebelah
tangannya lagi pula memegang sebuah botol yang berisi minyak petrol. Dia
kemudian menyimbah sebahagian kerusi dalam kereta api dengan minyak petrol
sebelum melakukan pembakaran. Selesai berbuat sedemikian, Kyota duduk di atas
kerusi sambil merokok dengan lagak tenang.
Diringkaskan cerita, Kyota berjaya ditangkap oleh pihak polis sejurus selepas kereta api yang dinaikinya itu berhenti di Stesen Kokuryo. Penangkapan tersebut dibuat tanpa dilawan oleh Kyota. Secara keseluruhannya dalam serangan mengejutkan itu, Kyota telah mencederakan seramai 17 orang dengan 3 daripada jumlah mangsa tersebut dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Tentang Kyota, dia berasal dari Fukuoka. Kyota yang begitu obses
dengan watak Joker baru saja berhijrah ke Tokyo pada bulan September lalu. Berdasarkan
maklumat awal yang diketahui oleh pihak polis mengenai Kyota, dia merupakan
seorang lelaki bermasalah yang dikelilingi dengan hutang piutang. Selain itu,
Kyota telah dibuang kerja selain ditinggalkan teman wanitanya. Dalam erti kata
lain, hidupnya tidak tentu arah dan menjadi kucar-kacir. Motif Kyota melakukan
serangan dalam kereta api tersebut adalah untuk melakukan pembunuhan supaya dia
akan dihukum mati. Satu-satu perkara yang paling dikesali Kyota, tiada mangsa
yang dapat dibunuhnya sewaktu kejadian berlaku. Seperkara yang harus diketahui,
Kyota sudah pun merancang melakukan serangan dahsyat itu sejak dari bulan Jun
lalu.
Buat masa sekarang, masih tidak dapat dipastikan pertuduhan yang bakal diterima Kyota. Perkara ini berikutan kes masih lagi dalam siasatan penuh oleh pihak polis. Insiden serangan sebegini bukan yang pertama kali berlaku di Jepun pada tahun ini. Bulan Ogos lepas yakni juga bertempat di Tokyo, seorang lelaki telah bertindak menikam secara rawak seramai 10 orang penumpang tren. Alasan serangan yang diberikan oleh penyerang terbabit, dia ingin menyerang wanita yang kelihatan gembira.
Catat Ulasan for "SERANGAN JOKER JEPUN PADA MALAM HALLOWEEN "