Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

13 HARI KEHILANGAN MARINA ISMAIL

    Kisah ini adalah kisah benar yang diceritakan sendiri oleh mangsa iaitu Puan Marina kepada saya. Terima kasih Puan Marina atas kesudiannya untuk bercerita panjang. Diharap kita semua dapat mengambil iktibar dan pedoman dari kisahnya ini. Moga kehidupan kita semua sentiasa dirahmati oleh Allah S.W.T serta hidup sentiasa didekati dengan kebaikan dan dijauhkan dengan segala kejahatan

    Pada tahun 1988, Puan Mariam (bukan nama sebenar) iaitu seorang pekerja parkir di sebuah stesen kereta api telah didatangi oleh seorang lelaki tua yang tidak dikenali. Lelaki berkenaan datang bersama dengan dua orang lagi anak tirinya iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. Lelaki tua yang memperkenalkan dirinya sebagai Bakar (bukan nama sebenar) itu dianggarkan sudah pun berusia dalam sekitar 50an. Anak lelakinya berusia 4 tahun manakala si perempuan pula sudah menjangkau 18 tahun. Waktu tersebut, anak lelaki Bakar dilihat dalam keadaan yang kurang sihat serta tidak bermaya. Disebabkan rasa simpati, Puan Mariam telah membelikan makanan untuk budak lelaki itu.  Pada pertemuan itu juga entah kenapa Puan Mariam secara tiba-tiba telah memberikan alamat rumah kepada Bakar dan seterusnya  mempelawa mereka sekeluarga untuk datang ke rumah jika berkelapangan.

    Tiga hari kemudian, Bakar serta anak-anaknya betul-betul datang berkunjung ke rumah Puan Mariam. Waktu tersebut, Puan Mariam secara kebetulan hanya mampu berbaring akibat mengalami sakit demam. Kedatangan Bakar itu nyata telah menimbulkan rasa curiga kepada suami Puan Mariam iaitu Encik Zaidi (bukan nama sebenar) serta anak-anaknya memandangkan mereka semua tidak pernah tahu menahu pun tentang Bakar. Bakar bukan sekadar datang untuk menyinggah sebentar, sebaliknya bermalam selama 3 malam berturut-turut. Paling pelik, Puan Mariam sekeluarga menuruti saja permintaan Bakar untuk bermalam sedangkan Bakar adalah orang yang sangat asing bagi mereka.

    Hinggalah hari ketiga Bakar di rumah Puan Mariam, dia telah menyatakan hajat untuk menziarahi kubur isterinya di Sungai Buaya, Rawang. Entah apa yang bermain di fikiran Bakar, dia mengajak anak-anak Puan Mariam untuk mengikutnya sekali. Pada mulanya kakak sulung Marina meminta keizinan untuk pergi akan tetapi dihalang oleh Puan Mariam yang masih lagi tidak sembuh daripada sakit demamnya. Tidak lama selepas itu, Marina telah dipujuk oleh Bakar untuk pergi sekali bersama dengannya. Marina apa lagi, terus meronta-ronta serta memberontak untuk pergi. Sungguh aneh apabila Puan Mariam tiba-tiba membenarkan Marina pergi mengikut Bakar.

    Marina yang berasa seronok bergegas mengemaskan pakaiannya. Selesai mengemas, dia pun keluar dari rumah bersama Bakar. Tidak lama selepas pemergian Marina, Puan Mariam bertanya kepada anak lelakinya tentang keberadaan Marina. Alangkah terkejutnya Puan Mariam apabila dia diberitahu tentang Marina yang telah mengikuti Bakar. Pada masa itulah baru Puan Mariam tersedar bahawa dia berkemungkinan telah memberi keizinan kepada Marina untuk pergi dalam keadaannya mengelamun.

    Marina telah dibawa oleh Bakar menaiki bas menuju ke stesen kereta api. Pada masa yang sama, ada seorang kenalan Puan Mariam telah melihat Marina. Namun, dia mengendahkan saja situasi tersebut kerana beranggapan bahawa Bakar adalah saudara mara Marina.  Apa yang berlaku seterusnya, Bakar tidak turun pun di stesen Sungai Buaya tetapi melencong ke destinasi lain. Apabila Marina mengajukan soalan tentang destinasi sebenar yang ingin mereka tuju, Bakar cuma menjawab bahawa mereka akan menuju ke Ipoh. Mereka semua akhirnya  tiba di Ipoh pada waktu lewat malam. Sama seperti apa yang dilakukan kepada Puan Mariam, Bakar kemudian menegur seorang individu yang tidak dikenali. Lebih kurang sepuluh minit perbualan, individu itu mempelawa Bakar untuk tidur di rumahnya. Bakar, Marina dan anak-anak tiri Bakar pun akhirnya terus  tidur di rumah individu terbabit. Keesokan harinya, Bakar membawa Marina ke sebuah perkampungan orang asli. Kata Bakar, dia ingin berjumpa dengan seseorang. Walau bagaimanapun, orang yang dimaksudkan Bakar  itu langsung tidak muncul.

    Selepas Ipoh, destinasi Bakar yang berikutnya adalah Pendang. Marina yang masih tidak menyedari dirinya diculik berasa  seronok kerana dapat bermain di sawah bendang. Seperkara lagi hal aneh sepanjang penculikan Marina ini, dia tidak pernah pun disentuh apatah lagi didera oleh Bakar. Malah Marina juga dilayan dengan begitu baik sekali. Sampailah satu ketika, Bakar berpatah balik semula ke Cheras. Sekali lagi, seseorang yang tidak dikenali telah mempelawa Bakar untuk  datang ke rumahnya. Tuan rumah itu juga telah menyuruh Marina untuk pergi membeli barang di kedai runcit.

    Marina menuruti permintaan tersebut dan pergi ke kedai seperti yang dimaksudkan. Sewaktu dalam perjalanan perjalanan pulang dari kedai itu, tiba-tiba ada seorang lelaki menegur Marina. Lelaki itu menginginkan kepastian sama ada nama sebenar Marina adalah Marina Ismail. Sebaik saja Marina menganggukkan kepala, lelaki itu terus menyuruh Marina memasuki keretanya lalu dibawa ke Bukit Aman. Rupa-rupanya, lelaki tadi adalah seorang anggota polis! Saat itu barulah Marina menyedar bahawa dia sebenarnya adalah mangsa penculikan. Berita penemuan Marina ternyata melegakan perasaan Puan Mariam sekeluarga. Bercucuran air mata Puan Mariam apabila dapat memeluk semula anak perempuan kesayangannya itu. Sementara itu, Bakar telah ditangkap namun dilepaskan kerana tiada pendakwaan dibuat daripada Puan Mariam atas dasar simpati terhadap Bakar yang sedang meniti usia senjanya.

    Mengenai motif sebenar Bakar, semuanya masih kekal menjadi tanda tanya kepada Marina hingga pada hari ini. Begitu juga dengan penemuan buah limau dan satu alat (Puan Marina Ismail tidak mengingati nama alat itu) yang dijumpai oleh Puan Mariam di atas almari sejurus saja pemergian Marina dari rumahnya. Satu hari yakni beberapa tahun selepas kejadian penculikannya berlaku, Marina pergi mengikut ayahnya bekerja yang juga merupakan seorang kakitangan Hospital Kuala Lumpur. Secara kebetulan, Marina telah terserempak dengan anak perempuan Bakar. Marina apa lagi, terus menyorok di belakang badan ayahnya ekoran rasa fobia dengan apa yang sudah berlaku terhadap dirinya sebelum ini.

Catat Ulasan for "13 HARI KEHILANGAN MARINA ISMAIL"