ARTHUR LABINJO-HUGHES, BUDAK LELAKI YANG DIBUNUH IBU TIRI
ENGLAND – Sejak kebelakangan ini, nama Arthur Labinjo-Hughes
menjadi tular di internet. Malah sewaktu perlawanan Liga Perdana Inggeris pada minggu
lepas, rata-rata kelab bola sepak Inggeris telah memberhentikan perlawanan pada
minit keenam sebagai tanda penghormatan kepada Arthur. Gambar Arthur yang
merupakan peminat kelab Birmingham City terpapar di skrin besar stadium. Semua
penonton di stadium termasuklah para pemain dan barisan kejurulatihan bangun
berdiri sambil bertepuk tangan. Jadi, siapakah sebenarnya Arthur ini hingga dia
menjadi perhatian besar di England?
Kisah sebenar bermula apabila ibu kandung Arthur iaitu Olivia
Labinjo-Halcrow menerima hukuman penjara selama 11 tahun selepas didapati
bersalah membunuh teman lelakinya dengan cara tikaman. Disebabkan itu, Arthur
kemudian telah dijaga sepenuhnya oleh bapanya yang bernama Thomas Hughes. Pada
sekitar bulan Ogos tahun 2019, Thomas mula berkenalan dengan seorang wanita
yang dikenali sebagai Emma Tustin melalui laman media sosial. Maka bermula dari
sinilah episod hitam dalam hidup Arthur.
Diringkaskan cerita yakni pada 16 Jun 2020, Arthur telah
meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dia alami bahagian kepalanya.
Selama Arthur tinggal bersama Thomas, dia rupa-rupanya menjadi mangsa penderaan
kejam Emma dan bapanya sendiri. Bayangkan, terdapat 130 kesan kecederaan pada
tubuh badan Arthur akibat ditampar, ditendang dan dipukul secara berterusan.
Selain itu, Arthur yang sering dikurung dalam bilik selalu dipaksa berdiri
untuk satu tempoh yang lama serta pada masa sama dia dibiarkan untuk kehausan dan
kelaparan. Terdapat juga laporan media tentang kandungan garam yang sangat
tinggi di dalam badan Arthur.
Susulan kematian Arthur, Emma yang didapati bersalah atas kesalahan melakukan penderaan dan pembunuhan telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan minimum 29 tahun. Sementara itu, Thomas pula terpaksa meringkuk di penjara untuk tempoh 21 tahun kerana membiarkan Arthur didera. Tentang Emma, dia kini terpaksa dipenjarakan secara isolasi. Perkara ini berikutan Emma yang telah menjadi sasaran utama banduan wanita lain.
Sebelum kematiannya, Arthur pernah bercita-cita untuk menjadi pemain Liverpool dan seterusnya mewakili kelab Tottenham Hotspur pada saat dia dewasa.
Catat Ulasan for "ARTHUR LABINJO-HUGHES, BUDAK LELAKI YANG DIBUNUH IBU TIRI"