KISAH AHMAD SURADJI : Dukun Paling Gila di Indonesia
Di Amerika Syarikat ada Ted Bundy, di Rusia ada MikhailPopkov, di India ada Mohan Kumar dan jangan lupa di Indonesia ada Ahmad
Suradji. Dia yang juga merupakan seorang dukun adalah pembunuh bersiri yang
telah melakukan 42 siri pembunuhan dari tahun 1986 hingga 1997. Paling gila, pembunuhan
berantai tersebut dilakukan Ahmad Suradji adalah konon untuk menguatkan lagi
ilmu hitam yang dimilikinya.
Ahmad Suradji dilahirkan pada tarikh 10 Januari tahun 1949
bertempat di Medan, Sumatera Indonesia. Dia yang juga merupakan anak sulung
daripada dua orang adik beradik turut dikenali dengan beberapa nama lain
seperti Nasib, Nasib Kelewang dan Datuk Maringgi. Ahmad Suradji telah
menamatkan zaman bujangnya pada usia 27 tahun dengan mengahwini seorang wanita
yang bernama Tumini. Selain Tumini, Ahmad Suradji juga mempunyai dua orang lagi
isteri lain yang dikenali sebagai Tuminah dan Natiyah. Cumanya jangan terkejut,
Tuminah dan Natiyah adalah adik ipar Ahmad Suradji sendiri. Ahmad Suradji dan
ketiga-tiga isterinya itu tinggal serumah. Gara-gara perkahwinan terlarang
tersebut, Ahmad Suradji sanggup bertindak untuk menghalau ibu kandungnya keluar
dari rumah akibat tidak tahan dimarahi secara berterusan.
Ahmad Suradji dikatakan mula meminati ilmu hitam sejak dari usianya 12 tahun lagi. Ilmu hitam itu dipelajari menerusi buku dan kitab mantera peninggalan arwah bapanya. Lama-kelamaan, minat Ahmad Suradji terhadap dunia kedukunan semakin mendalam hingga dia akhirnya berjaya menjadi dukun terkenal. Kisah sebenar bagaimanapun bermula semasa Ahmad Suradji berusia 36 tahun di mana dia tiba-tiba telah bermimpi arwah bapanya. Menerusi pesanan arwah bapanya dalam mimpi tersebut, Ahmad Suradji dikehendaki untuk membunuh seramai 72 orang wanita lalu meminum air liur mereka. Jika dapat berbuat sedemikian, maka ilmu hitam yang ada pada Ahmad Suradji akan menjadi sempurna.
Bagi mencapai niatnya untuk bergelar sebagai seorang dukun
yang hebat, Ahmad Suradji telah membunuh para wanita yang datang berubat
kepadanya. Pada masa sama, Ahmad Suradji terlebih dahulu mengambil kesempatan
dengan mengambil bayaran sekitar RM1000-RM1200 daripada mangsa. Dia kemudian
akan membawa mangsa ke ladang tebu yang terletak di belakang rumahnya. Di situ,
mangsa akan disuruh berbogel sebelum disuruh untuk memasuki ke dalam lubang
tanah yang sudah siap digali hingga paras pinggang. Selepas itu, mangsa
seterusnya dicekik sampai mati oleh Ahmad Suradji dengan menggunakan wayar. Selesai
membunuh, Ahmad Suradji akan menyedut air liur mangsa untuk diminumnya.
Seperkara harus diketahui, pembunuhan kejam Ahmad Suradji ini dilakukan dengan
bantuan Tumini. Adakalanya Ahmad Suradji terpaksa keluar mencari pelacur untuk
dibunuh jika dia tidak mempunyai pelanggan wanita.
Hinggalah pada 27 April 1997, mayat seorang wanita yang sudah mereput telah ditemui oleh penduduk kampung di ladang tebu milik Ahmad Suradji. Berdasarkan pemeriksaan pihak polis yang dimaklumkan tentang penemuan mayat tersebut, identiti mayat itu dikenalpasti sebagai Sri Kemala Dewi yang berusia 21 tahun. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah juga dengan nasib Ahmad Suradji yang ditangkap oleh pihak polis kerana disyaki telah membunuh Sri Kemala Dewi. Penangkapan tersebut dibuat susulan maklumat daripada seorang penarik beca yang mendakwa ada menghantar Sri Kemala Dewi ke rumah Ahmad Suradji pada beberapa hari sebelum insiden penemuan mayat. Pada mulanya Ahmad Suradji membuat penafian mengenai perkara itu akan tetapi kebenaran terbongkar rentetan penemuan barangan milik Sri Kemala Dewi hasil penggeledahan yang pihak polis lakukan di rumahnya.
Secara keseluruhannya, pihak polis telah menemui sebanyak 42 mayat wanita di ladang tebu Ahmad Suradji. Walau bagaimanapun, pihak polis tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa jumlah mangsa yang dibunuh Ahmad Suradji sebenarnya adalah lebih daripada angka tersebut. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Ahmad Suradji yang didapati bersalah telah dihukum mati oleh pihak mahkamah. Pelaksanaan hukuman mati itu dilaksanakan pada tahun 2008 dengan cara tembakan. Sebelum Ahmad Suradji ditembak mati, terdapat sumber yang mengatakan dia sudah bertaubat serta mendalami ilmu agama sepanjang 10 tahun meringkuk di penjara. Malah Ahmad Suradji juga sering memberikan pesanan dan nasihat berkaitan agama kepada banduan-banduan yang lain. Mengenai Tumini, dia telah diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Catat Ulasan for "KISAH AHMAD SURADJI : Dukun Paling Gila di Indonesia"