Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH CHRISTA PIKE : Pembunuhan Syaitan

Christa Pike

    Christa Pike atau nama sebenarnya Christa Gail Pike dilahirkan pada tahun 1976 bertempat di West Virgina, Amerika Syarikat. Sewaktu dia masih kecil, Christa telah dijaga dan dibesarkan oleh neneknya. Kehidupan Christa bagaimanapun berubah 180 darjah pada usia 12 tahun selepas neneknya itu meninggal dunia. Christa dikatakan menjadi budak nakal setelah tinggal bersama dengan ibunya yang juga merupakan seorang kaki botol dan penagih dadah. Salah satu perangai buruk Christa adalah mencuri. Dia pernah ditangkap beberapa kali atas kes kecurian hingga pada akhirnya menyebabkan dia diberhentikan daripada persekolahan.

    Selepas berhenti bersekolah, Christa telah memasuki program kemahiran Job Corps yang berpusat di Universiti Tennessee. Di situ, Christa yang mengambil jurusan kejururawatan telah berkenalan dengan seorang lelaki bernama Tadaryl Shipp. Mereka berdua kemudian saling jatuh hati sebelum menjadi pasangan kekasih yang menganut ajaran Satanisme. Seorang lagi pelajar perempuan yang rapat dengan Tadaryl dan Christa adalah Shadolla Peterson. Christa sangat mencintai Tadaryl. Bagi Christa, hanya dia yang layak untuk memiliki Tadaryl. Keobsesan Christa terhadap Tadaryl sampai ke tahap menimbulkan kebenciannya terhadap seorang pelajar perempuan yang dikenali sebagai Collen Slemmer.

Christa Pike, Tadaryl Shipp dan Shadolla Peterson

    Jadi, kenapa Christa begitu membenci Colleen? Christa beranggapan bahawa Colleen turut menyukai Tadaryl. Dalam erti kata lain, Colleen cuba untuk merampas Tadaryl daripada Christa. Namun harus diketahui, Colleen beberapa kali telah membuat penafian tentang perkara ini. Dia langsung tidak menyukai Tadaryl seperti yang Christa fikirkan. Walau bagaimanapun, Christa yang berasa bimbang akan kehilangan Tadaryl tekad untuk membunuh Colleen. Pada malam 12 Januari 1995, Christa berserta Tadaryl dan Shadolla telah mengajak Colleen keluar dari asrama untuk pergi menghisap ganja. Colleen yang langsung tidak berasa curiga bersetuju untuk mengikut tiga orang sekawan tersebut.

    Tanpa Colleen duga , dia telah dibawa masuk ke dalam sebuah hutan. Di situ, barulah Colleen tersedar bahawa dia sebenarnya sudah pun termakan umpan Christa. Apa yang berlaku, Colleen  diejek terlebih dahulu lalu diseksa oleh Christa dengan begitu kejam sekali selama hampir sejam. Entah apa yang merasuki Christa, dia telah membelasah dan mengelar Colleen termasuk di bahagian leher dengan menggunakan pisau lipat. Lagi dahsyat apabila Tadaryl bertindak untuk mengukir simbol pentagram pada bahagian dada Colleen. Sesudah berasa puas melakukan penyeksaan, Christa mengambil satu ketulan besar asfalt untuk dihentakkannya pada kepala Colleen dengan lima hentakan. Hentakan yang telah mengakibatkan muka Colleen menjadi hancur manakala tengkoraknya pula pecah. Sebelum beredar pergi dari hutan itu, Christa sempat mengambil serpihan tengkorak Colleen untuk dijadikannya sebagai cenderahati pembunuhan.

Colleen Slemmer

    Sekembalinya ke asrama, Christa dengan berasa bangga telah menunjukkan serpihan tengkorak Colleen kepada penghuni asrama lain. Pada masa sama, pakaian yang dipakainya masih lagi berlumuran dengan darah. Perkara tersebut sekaligus membawa kepada penangkapan Christa, Tadaryl dan Shadolla dalam tempoh masa 36 jam selepas insiden pembunuhan Colleen berlaku. Apa yang pasti, tiada sebarang penyesalan dalam diri Christa. Bahkan sewaktu perbicaraan kes, dia siap tersenyum dan gelak ketawa di depan juri. Pada bulan Mac 1996, Christa yang didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman mati dengan cara renjatan elektrik. Mengenai Tadaryl, dia dipenjarakan untuk seumur hidup dengan pembebasan bersyarat selepas 25 tahun penjara sedangkan Shadolla pula diberikan keringanan hukuman penjara selama 6 tahun kerana memberikan maklumat terperinci kepada pihak polis berhubung dengan kes pembunuhan Colleen.

Wajah terkini Christa Pike

    Sepanjang tempoh Christa meringkuk di penjara, dia pernah menimbulkan masalah besar sebanyak dua kali. Pertama, dia ada melakukan cubaan membunuh seorang banduan wanita dengan cara cekikan. Mujur sajalah insiden berbahaya itu telah disedari oleh pengawal penjara. Kedua, Christa pernah cuba untuk melarikan diri dari penjara. Seorang pegawal penjara yang bersubahat dengan Christa bagi menjayakan rancangan lari tersebut telah dihukum penjara selama 7 tahun. Hingga pada hari ini, Christa masih lagi hidup di penjara. Tidak jelas tentang tarikh sebenar pelaksanaan hukuman matinnya. Kini, Christa juga adalah satu-satunya wanita di Tennessee yang menunggu untuk dihukum mati.          

Catat Ulasan for "KISAH CHRISTA PIKE : Pembunuhan Syaitan"