Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN HANA KIMURA YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

    Dipetik daripada laman Wikipedia, buli siber adalah perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti mesej teks, mesej, e-mel, telefon bimbit atau permainan internet. Seseorang yang mengalami buli siber secara berterusan akan mengalami kesan serius daripada segi emosi, fizikal dan mental. Lebih parah jika mangsa buli siber itu mengalami masalah kemurungan melampau hingga boleh menyebabkannya mencederakan atau membunuh diri.

    Baiklah, artikel kali ini mengisahkan mengenai seorang penggusti wanita hebat yang telah membunuh diri akibat akibat menjadi mangsa buli siber. Hana Kimura yang dilahirkan pada 3 September 1997 di Yokohama, Kanagawa, Jepun merupakan anak kepada seorang penggusti wanita professional Jepun bernama Kyoko Kimura. Hana memang tinggal berdua dengan Kyoko memandangkan bapanya telah meninggalkannya sejak dia daripada kecil lagi. Tidak banyak yang diketahui tentang bapa Hana. Namun apa yang dapat dipastikan, bapa Hana berasal dari negara Indonesia. Hana dikatakan sebagai seorang yang berperwatakan baik hati, rajin, peramah dan begitu disenangi oleh orang di sekelilingnya.

    Seawal usia 5 tahun, Hana telah dilatih oleh ibunya untuk menjadi seorang penggusti. Dia meraih kejuaraan gusti pertamanya pada usia 8 tahun. Tahun 2010, Hana telah menyertai sebuah akademi gusti professional sebelum berjaya menamatkan latihan pada enam tahun berikutnya. Populariti Hana kemudian semakin meningkat naik susulan aksi hebat yang dipamerkannya di gelanggang gusti. Dia pernah menjadi juara JWP Junior Champhionship edisi tahun 2016 selain pernah juga menumpaskan ibunya sendiri.

    Kisah sebenar bermula pada tahun 2019 iaitu sewaktu Hana berusia 22 tahun, dia telah bersetuju untuk membintangi sebuah rancangan realiti televisyen terbitan syarikat penyiaran Fuji TV dengan kerjasama Netflix yang berjudul Terrace House : Tokyo 2019-2020. Rancangan realiti tersebut memaparkan kehidupan seharian enam orang peserta yakni tiga lelaki dan tiga perempuan yang tinggal bersama di sebuah rumah mewah. Semua peserta berkenaan adalah para personaliti popular Jepun. Salah seorang daripada mereka itu termasuklah Kai Kobayashi, pelawak kacak yang mempunyai ramai peminat wanita. Demi mendapatkan tontonan tinggi, penerbit rancangan realiti berkenaan telah memilih Hana untuk memegang karakter antagonis di mana dia terpaksa berperwatakan sebagai seorang wanita yang degil, pemarah dan ego. Strategi tersebut ternyata berkesan apabila penonton mula menjadi emosi dan menyampah dengan kelakuan Hana sedangkan semua itu bukanlah karakternya yang sebenar.

    Hana bagaimanapun mula mendapat kecaman teruk di laman media sosial selepas terdapat satu adegannya merampas topi yang sedang dipakai Kai. Perselisihan tersebut berpunca daripada Kai yang secara tidak sengaja telah merosakkan pakaian gusti Hana. Adegan itu sekaligus memicu kemarahan penonton yang begitu kurang senang dengan aksi kurang ajar Hana. Lebih-lebih lagi apabila Kai yang telah menjadi mangsanya. Ingat, adegan tersebut adalah dirancang semata-mata bagi memancing emosi penonton. Pada asalnya, Hana dipaksa oleh penerbit untuk menampar pipi Kai tetapi dia enggan untuk berbuat sedemikian. Namun hasil perbincangan sesama mereka, masing-masing bersetuju bagi melakukan adegan topi itu.

    Susulan adegan tersebut, Hana telah menjadi mangsa buli siber secara berterusan di laman Twitter dan Instagram. Hana bukan saja menerima komen berbaur ejekan, malah dia turut dimaki dan dihina oleh kebanyakan netizen Jepun. Bayangkan, betapa remuknya hati Hana saat dia membaca komen yang menghina asal-usul bapanya, komen yang meminta dia untuk tidak lagi muncul di televisyen, komen yang meminta dia untuk membunuh diri dan lain-lain komen pedas lagi menusuk jiwa. Hingga pada akhirnya, Hana yang kian tertekan telah mengalami kemurungan. Pagi 23 Mei 2020, Hana telah memuatnaik sekeping fotonya bersama dengan seekor kucing dengan kapsyen “Selamat Tinggal”. Tidak lama selepas hantaran foto itu dibuat, Hana ditemui mati oleh ibunya di rumah mereka. Menyedihkan, punca kematian Hana diklasifikasikan sebagai kes bunuh diri dengan cara meminum gas Hidrogen Sulfida.

    Rentetan kematian Hana yang benar-benar mengejutkan, rancangan Terrace House terus diberhentikan tayangannya. Ramai pihak telah menggesa pihak berkuasa Jepun untuk menjatuhkan hukuman yang berat kepada para pembuli Hana memandangkan buli bukanlah perkara yang sama sekali boleh dipandang remeh. Pada bulan Mac 2021, Kyoko secara rasmi telah menubuhkan Remember Hana, sebuah organisasi anti buli yang dinamakan sempena nama Hana.

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN HANA KIMURA YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN"