KISAH MISTERI KEHILANGAN MEGUMI DAN NARUMI
Pada tarikh 5 Mei 1996, dua orang pelajar perempuan berusia 19 tahun iaitu Megumi Yashiki dan Narumi Takumi telah memulakan perjalanan mereka menuju ke bandar Uozu. Dua sekawan itu menyahut cabaran untuk pergi ke sebuah hotel terbiar yang dikatakan berhantu. Mereka berdua dikatakan mengetahui tentang hotel berhantu tersebut menerusi artikel daripada majalah. Namun pada dua hari berikutnya, Megumi dan Narumi telah dilaporkan hilang secara misteri oleh keluarga mereka. Bahkan kereta Subaru Vivio berwarna hitam yang mereka naiki juga gagal untuk dikesan sama sekali. Operasi pencarian telah dijalankan di kawasan hotel dan juga tebing berhampiran. Walau bagaimanapun, tiada sebarang petunjuk penting yang dapat untuk ditemui. Dalam erti kata lain, Megumi dan Narumi telah hilang secara misteri. Hingga pada akhirnya, kedua-dua mereka dipercayai telah melarikan diri atas sebab peribadi.
Hotel berhantu yang bernama The Tsubono Spa Hotel itu berlokasi di sebuah kawasan pergunungan Uozu. Seperkara harus diketahui, hotel tersebut telah jatuh bangkrap pada tahun 1982 susulan kegagalan pemiliknya yang gagal untuk mendapatkan pembeli baru. Walaupun terbiar, hotel itu menjadi tempat kumpulan motosikal ganas Jepun yang dikenali sebagai Bosozuku melakukan kegiatan vandalisme serta pada masa sama dijadikan mereka sebagai tempat untuk melepak. Selain itu, hotel Tsubono turut selalu mendapat kunjungan daripada mereka yang terdiri daripada peminat dan pengkaji paranormal.
Berbalik semula dengan cerita waktu kejadian yakni semasa Megumi dan Narumi dalam perjalanan menuju ke hotel Tsubono, mereka berdua ada menghantar mesej kepada keluarga masing-masing menerusi alat kelui. Pada sekitar pukul 9.30 malam, Megumi dan Narumi telah berehat sebentar di Taman Kaiomaru. Setengah jam kemudian, mereka berdua pergi mengisi minyak kereta di sebuah stesen minyak sebelum kembali menyambung perjalanan. Jam 11 malam, salah seorang rakan kepada Megumi dan Narumi telah menerima satu mesej bertulis “Kami sudah sampai di Uozu”. Tiada siapa sangka bahawa mesej tersebut sebenarnya adalah perkhabaran terakhir yang didengari daripada Megumi dan Narumi.
Sepanjang tempoh kehilangan Megumi dan Narumi, bermacam-macam teori yang te;ah timbul. Ini termasuklah teori di mana mereka berdua diyakini sengaja untuk menghilangkan diri. Ada juga pihak yang mendakwa bahawa Megumi dan Narumi berkemungkinan besar telah menjadi mangsa penculikan atau pembunuhan kepada geng Bosozuku. Lama-kelamaan kes Megumi dan Narumi ini pun menjadi semakin dingin. Hanya selepas 24 tahun berlalu, barulah terungkai segala-galanya. Pada bulan Mac 2020, pihak polis akhirnya telah menemui mayat Megumi dan Narumi yang hanya tinggal tulang rangka. Penemuan itu dibuat rentetan kereta Subaru Vivio milik Megumi yang berjaya dikeluarkan dari dasar laut yang berdekatan dengan Taman Kaiomaru. Pengenalpastian mayat tersebut adalah hasil ujian DNA. Punca sebenar kematian Megumi dan Narumi bagaimanapun tidak dapat untuk dipastikan berikutan keadaan mayat yang sudah tidak sempurna.
Jadi, bagaimana mayat Megumi dan Narumi boleh ditemui? Pada penghujung tahun 2014, pihak polis telah menerima maklumat daripada tiga orang lelaki mengenai kereta Subaru Vivio hitam yang dilaporkan terjatuh di lautan pada malam Megumi dan Narumi hilang. Kurang jelas mengapa pihak polis perlu menunggu masa selama enam tahun untuk mencari lokasi kereta Subaru Vivio itu tenggelam sedangkan mereka sudah mempunyai maklumat yang terperinci. Mengikut keterangan yang diberikan oleh tiga orang lelaki terbabit berhubung malam kejadian, mereka bertiga telah ternampak Megumi dan Narumi sedang berada di dalam kereta Subaro Vivio yang diparkir di kawasan penghujung tebing. Maka ketiga-tiga mereka pun cuba mendekati kereta Subaru Vivio itu untuk berborak dengan Megumi dan Narumi. Belum sempat berbuat sedemikian, kereta Subaru Vivio tersebut tiba-tiba berundur dengan laju lalu terus terjatuh ke dalam lautan. Tiga orang lelaki yang tidak didedahkan identiti itu terpaksa mendiamkan diri selama hampir dua dekad lamanya kerana bimbang akan dipersalahkan atas apa yang sudah berlaku terhadap Megumi dan Narumi. Kematian Megumi dan Nerumi ini seterusnya diklasifikasikan sebagai kes kemalangan.
Samada tiga orang lelaki tersebut bercakap benar atau sebaliknya, hanya Tuhan saja yang tahu. Boleh jadi juga ada insiden lain yang telah berlaku hingga menyebabkan Megumi dan Narumi menjadi sangat ketakutan. Satu lagi fakta daripada pihak polis, tiada sebarang bukti yang menunjukkan Megumi dan Narumi ada berada di hotel Tsubono pada malam kejadian.
Catat Ulasan for "KISAH MISTERI KEHILANGAN MEGUMI DAN NARUMI "