Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM ANAK MAGUAD : Anak Angkat Jelmaan “Orphan”

    Baru-baru ini, negara Filipina dikejutkan dengan satu kes pembunuhan di mana dua adik beradik yang bernama Crizzle Gwynn (18 tahun) dan Crizzule Louis (16 tahun) telah mati dibunuh dengan begitu kejam. Pembunuhan itu berlaku di rumah mereka sendiri yang terletak M’lang, North Cotabato. Rata-rata netizen di laman media sosial telah menyamakan kes ini seperti jalan cerita dalam filem thriller Orphan (2009). Bagi sesiapa yang belum menonton filem Orphan, jalan ceritanya mengisahkan tentang sepasang suami isteri yang telah mengambil seorang budak perempuan sebagai anak angkat mereka. Namun tanpa diduga, budak perempuan tersebut rupa-rupanya adalah seorang psikopat yang menakutkan.

    Berbalik dengan cerita Crizzle dan Crizzule, apa sebenarnya yang berlaku kepada pasangan adik-beradik itu? Crizzle dan Crizzule digambarkan sebagai pelajar sekolah yang berperwatakan baik, peramah serta pintar. Ibu bapa mereka iaitu pasangan Maguad merupakan guru merangkap pengetua sekolah. Seorang lagi anggota dalam keluarga Maguad adalah seorang gadis berusia 17 tahun yang dikenali sebagai Janice. Cumanya, Janice tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengan keluarga Maguad. Dalam erti kata lain, dia merupakan anak angkat yang dijaga pasangan Maguad sejak dari bulan Julai 2021.

Janice

    Seperkara harus diketahui, pasangan Maguad telah menjadikan Janice sebagai anak angkat mereka selepas diyakinkan sendiri oleh Crizzle untuk berbuat sedemikian atas dasar simpati. Hubungan Crizzle, Crizzule dan Janice kemudian menjadi sangat akrab. Adakalanya ketiga-tiga mereka merakam video menari bersama untuk dimuatnaik ke laman Tiktok. Crizzule bahkan rela tidur di ruang tamu kerana bilik tidurnya telah diambil alih oleh Janice. Apa yang pasti, Crizzle dan Crizzule benar-benar menganggap Janice seperti adik-beradik kandung. Begitu juga dengan pasangan Maguad yang tidak mengamalkan pilih kasih dalam memberikan kasih sayang kepada anak-anak mereka. Hidup Janice seakan nampak sempurna dan serba-serbi mencukupi.

    Kisah sebenar bermula pada 10 Disember 2021. Petang hari tersebut, Maguad yang sedang berada di sekolah telah menerima satu panggilan telefon memberitahu rumahnya telah dicerobohi. Tidak jelas tentang siapa yang membuat panggilan telefon itu. Tanpa berlengah, Maguad pun terus bergegas pulang ke rumahnya.  Setiba di rumah, Maguad yang memasuki rumahnya melalui pintu belakang berasa terkejut apabila menemui mayat Crizzle dan Crizzule dalam keadaan mengerikan. Mayat Crizzle yang berlumuran dengan darah ditemui terbaring di luar biliknya manakala mayat Crizzule pula berada berdekatan pintu masuk utama rumah. Badan kedua-dua mereka dipenuhi dengan kesan tikaman. Lain-lain penemuan adalah beberapa bukti penting seperti botol kaca yang sudah pecah, tukul, pemukul kayu besbol dan bungkusan plastik mengandungi pakaian milik suspek.

    Bagaimana pula dengan Janice? Jawapannya, dia terselamat. Janice muncul dari bilik tidur selepas namanya dipanggil berkali-kali oleh Maguad. Peliknya, Janice keluar dalam keadaan rambutnya basah seperti baru selepas mandi. Berdasarkan keterangan daripada Janice, dia mendakwa bahawa ada tiga orang individu tidak dikenali yang telah menceroboh masuk ke dalam rumah mereka. Dakwa Janice, penceroboh berkenaan diyakini cuba untuk melakukan rompakan. Sepanjang waktu kejadian, Janice memberitahu pihak polis bahawa dia telah bersembunyi di dalam bilik tidurnya. Pada masa sama, Janice cuba meminta bantuan dengan memuatnaik status di akaun laman media sosial Facebook miliknya. Tidak lama selepas itu, Janice memadam semula status yang telah mendapat lebih seribu perkongsian tersebut.

    Hasil siasatan yang pihak polis lakukan, mereka mula mencurigai Janice atas beberapa faktor. Faktor pertama, tiada satu pun barangan berharga di rumah keluarga Maguad yang didapati hilang sedangkan Janice mendakwa pencerobohan adalah bermotifkan rompakan. Faktor kedua, fakta mengenai hanya Janice seorang saja yang terselamat. Faktor ketiga, dakwaan daripada Janice yang mengatakan Crizzule merupakan mangsa pertama yang dibunuh. Walau bagaimanapun, bukti forensik telah menunjukkan keadaan sebaliknya. Perkara ini bermaksud suspek telah membunuh Crizzle terlebih dahulu sebelum menyerang Crizzule. Faktor keempat, senjata pembunuhan seperti tukul dan pemukul kayu besbol adalah dari rumah keluarga Maguad sendiri. Tempat simpanan untuk kedua-dua alat itu memang diketahui oleh Janice. Satu lagi perkara pelik yang berlaku pada hari kejadian, Janice telah memanggil pasangan Maguad dengan panggilan “Papa Mama” buat pertama kalinya sejak tinggal bersama dengan mereka.

    Setelah ditekan oleh pihak polis secara berterusan, Janice akhirnya membuat jua pengakuan sebagai dalang pembunuhan Crizzle dan Crizzule. Salah satu bukti yang Janice tidak dapat untuk elakkan, cap jarinya disahkan sepadan dengan cap jari yang ditemui pada pemukul kayu besbol. Buat masa sekarang, masih belum ada butiran terperinci tentang cara Janice membunuh Crizzle dan Crizzule. Ini termasuklah samada ada individu lain yang telah membantunya. Berhubung motif pembunuhan, Janice berkemungkinan berasa cemburu dengan Crizzle. Dia ingin mengambil alih tempat Crizzle dalam keluarga Maguad. Asal-usul sebenar Janice pula masih tidak dapat dipastikan kerana terlalu banyak versi yang berbeza-beza. Ada laporan yang kata Janice masih mempunyai ibu-bapa dan ada juga sumber mempercayai Janice adalah budak perempuan yang pernah hilang pada beberapa tahun lepas. Tidak kisah mana yang benar sekalipun, Janice sememangnya mempunyai ciri-ciri seorang perempuan psikopat.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM ANAK MAGUAD : Anak Angkat Jelmaan “Orphan” "