KISAH PEMBUNUHAN KEJAM JESSICA LUNSFORD
Pada pagi 24 Februari 2005, seorang lelaki bernama Mark Lunsford telah memasuki bilik anak perempuannya yang berusia 9 tahun iaitu Jessica untuk mematikan jam penggera yang berbunyi. Namun sebaik memasuki bilik tersebut, Mark berasa terkejut apabila mendapati Jessica tiada di dalam bilik. Mark yang bermalam di rumah teman wanitanya malam sebelum itu mula berasa panik. Disebabkan gagal menemui Jessica di rumah, Mark akhirnya pergi membuat laporan polis. Apa yang dapat dipastikan yakni pada sekitar pukul 10 malam sebelum kejadian berlaku, Jessica telah dibawa masuk ke dalam bilik tidur oleh datuk dan neneknya. Dalam erti kata lain, waktu itulah kali terakhir Jessica dilihat secara sahih. Seperkara harus diketahui, Jessica tinggal di rumah datuk dan neneknya.
Susulan laporan kehilangan yang dibuat oleh Mark, pihak polis yang tidak melengahkan masa terus melancarkan operasi pencarian secara besar-besaran di sekitar lokasi kediaman datuk dan nenek Jessica yang berlokasi di Homosassa, Florida. Operasi pencarian yang turut disertai oleh para sukarelawan dan penduduk tempatan tersebut termasuklah meliputi di kawasan hutan dan sungai. Kes Jessica bagaimanapun menjadi semakin rumit apabila pasukan pencarian tidak dapat menemui sebarang petunjuk. Hinggalah pada awal bulan Mac, pihak berkuasa telah melakukan siasatan secara lebih meluas dan menyeluruh demi mengesan Jessica. Salah satu usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa adalah dengan mengeluarkan rekod senarai pesalah laku seksual yang tinggal berhampiran dengan rumah datuk dan nenek Jessica. Berdasarkan rekod berkenaan, terdapat 208 nama pesalah laku seksual yang berkemungkinan besar dapat membantu merungkai kehilangan Jessica. Salah seorang pesalah laku seksual itu merupakan seorang lelaki berusia 46 tahun, John Evander Couey.
Tentang John, dia tinggal bersama dengan kakak tirinya di
sebuah rumah yang berjarak kira-kira 1 kilometer dari rumah datuk dan nenek
Jessica. John juga pernah beberapa kali dipenjarakan atas kesalahan melakukan
jenayah seperti rompakan, pemanduan di bawah pengaruh alkohol, pemalsuan harta
dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak. Satu lagi fakta, John jarang
dipantau oleh pihak berkuasa pada setiap kali pembebasannya dari penjara. Pada
12 Mac, pihak polis telah menahan John kerana disyaki sebagai orang
berkepentingan dalam kes kehilangan Jessica. Dia bagaimanapun dibebaskan
sebelum kembali ditahan pada beberapa hari kemudian rentetan penemuan kesan
darah pada tilam dan bantal yang disimpan di dalam almari bilik tidurnya. Hasil
analisis forensik, DNA yang ada pada tilam tersebut disahkan sebagai DNA
Jessica.
Selepas penahanannya semula, John akhirnya telah mengaku menculik, merogol dan membunuh Jessica. Pengakuan mengejutkan itu sekaligus telah membawa kepada penemuan bungkusan plastik mengandungi mayat Jessica yang ditanam di dalam tanah kawasan belakang rumah John. Dua kesan koyakan kecil pada plastik tersebut memberi kesimpulan bahawa Jessica sempat untuk cuba bernafas sebelum dia mati kerana kekurangan oksigen. Dalam erti kata lain, dia telah ditanam hidup-hidup oleh John. Lagi menyedihkan, mayat Jessica ditemui dalam keadaan tangannya menggenggam erat sebuah patung ikan lumba-lumba.
Cerita John mengenai malam kejadian, dia pada asalnya
memasuki rumah datuk dan nenek Jessica dengan niat sekadar untuk melakukan
rompakan. Namun selepas melihat Jessica, dia menukar rancangan rompakan itu
kepada penculikan. Setelah Jessica diculik dan dibawa pergi ke rumah John, dia telah
dirogol berkali-kali. Sesudah dirogol John, Jessica dikurung pula di dalam sebuah
almari. Hari ketiga penculikan, John telah menyuruh Jessica memasuki ke dalam
dua buah plastik sampah. Jessica menuruti saja permintaan John kerana dia
diberitahu akan dihantar pulang semula ke rumahnya. Entah apa yang merasuki
John, dia seterusnya telah menanam Jessica hidup-hidup. Bayangkan, Jessica
berada dalam kegelapan hanya untuk menunggu kematiannya.
Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes tahun 2007, John yang didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman mati. Belum sempat John untuk menjalani hukuman tersebut, dia meninggal dunia pada tahun 2009 akibat penyakit kanser yang dihidapinya. Berikutan cara kematian Jessica yang benar-benar tragis, pihak berkuasa yang menerima desakan daripada orang ramai telah memperkenalkan satu undang-undang baru memperuntukkan hukuman lebih berat kepada pesalah laku seksual. Di bawah undang-undang Jessica’s Law, seseorang pesalah laku seksual akan dipenjarakan untuk tempoh yang lama dan dipantau secara ketat sejurus selepas dibebaskan dari penjara.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM JESSICA LUNSFORD "