Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM PRIYANKA REDDY

Priyanka Reddy

    Pada malam 27 November 2019 bertempat di Hyderabad, India, seorang wanita cantik berusia 27 tahun iaitu Priyanka Reddy yang juga merupakan seorang doktor veterinar sedang dalam perjalanan pulang menuju ke rumah dari tempat kerjanya dengan menaiki skuter merah. Perjalanan Priyanka pada malam itu bagaimanapun terhenti seketika apabila dia telah memberhentikan skuternya di sebuah kawasan yang berdekatan dengan tol plaza. Tujuan Priyanka berhenti adalah untuk pergi ke klinik yang ada di kawasan situ. Tidak jauh dari tempat parkir skuter, ada empat orang lelaki yang sedang melepak telah memerhatikan segala gerak-geri Priyanka. Mereka adalah Mohammad Arif, Jollu Shiva, Jollu Noveen Kumar dan Chintakunta Chenna Keshavulu. Mohammad Arif dan Chenna bekerja sebagai pemandu trak manakala dua orang lagi daripada mereka pula merupakan pekerja pembersihan. Waktu tersebut, keempat-empat mereka sedang dalam keadaan mabuk teruk.

    Selesai urusan di klinik, Priyanka pun kembali ke tempat parkir skuternya. Namun apa yang benar-benar memeranjatkan Priyanka, salah satu tayar skuternya itu tiba-tiba telah kempis. Tidak lama kemudian, Arif muncul di depan Priyanka untuk menawarkan bantuan membaiki tayar skuter tersebut. Pada masa sama, Priyanka turut didekati Shiva yang memberikan alasan ingin membantu dengan membawa skuter itu ke mana-mana bengkel berdekatan. Dalam situasi mendebarkan tersebut, Priyanka yang cuba berlagak tenang bersetuju untuk dibantu. Tidak lama selepas Shiva beredar pergi, dia kembali semula kepada Priyanka dengan memberitahu bahawa semua bengkel pada malam itu telah pun ditutup. Tanpa Priyanka sedari, tayar skuternya itu sebenarnya telah dipancitkan oleh kumpulan Arif dan rakan-rakannya. Mereka berempat mempunyai rancangan jahat untuk merogol Priyanka.

    Seperkara harus diketahui, Priyanka sempat berborak dengan adik perempuannya menerusi panggilan telefon selama 6 minit untuk memberitahu tentang masalah tayar pancit yang sedang dihadapinya pada malam tersebut. Kata Priyanka dalam perbualan telefon itu, dia berasa ketakutan kerana dikelilingi oleh empat orang lelaki tidak dikenali. Adik perempuan Priyanka yang berasa bimbang telah menyuruh Priyanka untuk meninggalkan saja skuter tersebut dan menunggu di pagar tol yang berhampiran sementara menunggu keluarganya datang. Apa yang berlaku selepas itu, adik perempuan Priyanka gagal untuk menghubungi telefon Priyanka yang dipercayai terpadam.

    Jadi, apa yang berlaku terhadap Priyanka? Dia telah diheret ke sebuah kawasan lapang lagi sunyi yang tidak jauh dari tempar parkir skuter tersebut. Di situ, Priyanka dipaksa untuk minum arak hingga menyebabkannya mabuk. Semasa Priyanka dalam keadaan separuh sedar, dia telah dirogol secara bergilir-gilir oleh Arif, Shiva, Noveen dan Chenna. Lagi kejam, Priyanka sempat dipukul dengan kayu sebelum akhirnya dibunuh dengan cara cekikan leher. Setelah Priyanka mati, mayatnya dimasukkan ke dalam kabin trak lalu dibuang di bawah sebuah jambatan yang terletak kira-kira 35 kilo meter dari lokasi kejadian sebenar. Sewaktu dalam kabin trak, para pelaku yang masih tidak berasa puas sempat lagi untuk merogol mayat Priyanka. Setibanya di lokasi yang ditujui, mayat Priyanka telah dibakar sampai rentung. Satu lagi fakta, Shiva dan Noveen telah kembali semula ke lokasi pembuangan mayat Priyanka bagi memastikan jasad wanita yang mereka sudah bunuh tersebut benar-benar rentung hingga tidak dapat untuk dicam.

Adik perempuan Priyanka

    Sementara itu, keluarga Priyanka terus membuat laporan polis susulan kegagalan mereka untuk menemui Priyanka di lokasi tol plaza berkenaan. Cuma apa yang menyakitkan hati keluarga Priyanka, pihak polis yang mengendalikan kes Priyanka dilihat sambil lewa. Perkara ini termasuklah menunggu selama berjam-jam untuk memulakan operasi pencarian Priyanka. Mengenai mayat Priyanka, mayatnya telah ditemui pada pagi 28 November. Penemuan mayat tersebut dibuat oleh seorang lelaki penjual susu yang bernama Shamala Satyam. Identiti Priyanka berjaya dikenalpasti menerusi pengecaman loket dan kain sari yang dipakainya.

    Rentetan daripada penemuan mayat Priyanka, pihak polis yang melakukan pemeriksaan dan siasatan tidak mengambil masa lama untuk menangkap semua pelaku. Belum sempat dijatuh hukum, Arif dan tiga mereka yang lain telah mati ditembak oleh pihak polis pada awal pagi 6 Disember 2019 yakni sewaktu mereka berada di lokasi penemuan mayat Priyanka untuk melakukan rekonstruksi kejadian. Dalam insiden itu, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan terhadap Arif, Shiva, Noveen dan Chenna selepas mereka semua cuba untuk melarikan diri dari lokasi kejadian.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM PRIYANKA REDDY "