Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SAVANNA GREYWIND : Anak Kau, Anak Aku

    Pada awal tahun 2017, segalanya nampak sempurna untuk seorang wanita muda berusia 22 tahun iaitu Savanna LaFontaine-Greywind. Tahun itu, dia telah mengandungkan anak pertamanya hasil hubungan dengan teman lelakinya yang dikenali sebagai Ashton Matheny. Mengikut perancangan asal Savanna, dia dan Ashton akan tinggal serumah selepas kelahiran anak pertama mereka yang dijangka dilahirkan pada bulan September. Sementara menunggu waktu bersalin, Savanna yang bercita-cita untuk menjadi seorang jururawat telah tinggal di sebuah apartment kawasan Fargo, North Dakota bersama dengan ibu bapa dan juga adik beradik lelakinya.

    Di tingkat atas apartment yang didiami oleh keluarga Savanna, tinggallah sepasang kekasih yang bernama William Hoehn (36 tahun) dan Brooke Crews (38 tahun). Apa yang diketahui, William dan Brooke sering bertengkar. Pertengkaran yang dikatakan berpunca daripada perangai mereka sendiri. Dalam erti kata lain, hubungan pasangan tersebut adalah sebuah hubungan yang toksik. Kedua-dua mereka sering keluar masuk ke dalam balai polis. Brooke sendiri mempunyai tujuh orang anak hasil hubungan terdahulu dengan pasangan yang berbeza-beza. Walau bagaimanapun, semua anak Brooke tersebut telah dijaga oleh bekas pasangannya. Mengenai William, dia mempunyai dua orang anak di mana anak-anaknya itu diabaikan.

    Kisah sebenar bermula apabila Brooke menerima ugutan daripada William bahawa dia akan ditinggalkan jika tidak dapat memberikan zuriat. Tidak lama kemudian, Brooke terpaksa berbohong tentang dirinya yang sudah hamil. Perkara itu bagaimanapun diketahui oleh William sekaligus menimbulkan kerisauan Brooke. William memaksa Brooke untuk mendapatkan anak walau dengan apa cara sekalipun. Pada pagi 19 Ogos 2017, Brooke telah pergi ke apartment keluarga Savanna untuk meminta Savanna mencuba sehelai pakaian yang baru saja dijahitnya. Kata Brooke lagi, dia berniat untuk menjual pakaian tersebut dengan harga serendah $20. Savanna yang baik hati bersetuju untuk melihat pakaian itu lalu terus pergi ke apartment Brooke serta pada masa sama dia sempat menghantar teks mesej kepada ibunya soal keberadaannya.

    Lebih kurang pukul 4.30 petang hari tersebut, ibu Savanna pun pulang ke apartment. Dia mula berasa hairan dan curiga setelah mendapati anak perempuannya itu tiada di dalam apartment. Rentetan daripada perkara tersebut, ibu Savanna telah melakukan pencarian di luar dan dalam bangunan apartment temasuklah mengajukan pertanyaan kepada Brooke. Jawapan yang diberikan Brooke, Savanna telah pun keluar dari apartmentnya pada sekitar pukul 2.45 petang. Naluri seorang ibu, ibu Savanna dapat merasakan bahawa ada sesuatu buruk yang sudah menimpa Savanna. Lebih-lebih lagi Savanna telah pergi ke apartment Brooke yang sememangnya bermasalah. Maka tanpa berlengah ibu Savannah pun pergi membuat laporan polis mengenai kehilangan Savanna.

    Pihak polis telah melakukan pemeriksaan di apartment Brooke selama dua hari berturut-turut yakni pada petang 19 dan 20 Ogos. Hasil pemeriksaan bagaimanapun tidak membuahkan sebarang hasil. Hinggalah pada 24 Ogos, pihak polis sekali lagi memeriksa apartment selepas mendapat maklumat daripada rakan sekerja William yang mendakwa Brooke telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Mendengar perkara mengejutkan itu, pihak polis bergegas pergi menyerbu semula apartment Brooke sebelum menemui bayi perempuan seperti yang diberitahu. Keputusan ujian DNA mengesahkan bayi perempuan tersebut sebenarnya adalah anak Savanna. Tiga hari berikutnya, mayat Savanna telah ditemui di dalam sebuah bungkusan plastik hitam yang terapung di sebuah kawasan sungai. Penemuan itu dibuat oleh orang awam yang sedang melakukan aktiviti kayak di sungai berkenaan.

    Jadi, apa sebenarnya yang berlaku kepada Savanna pada hari kejadian? Tidak lama selepas memasuki apartment Brooke, Savanna telah diprovokasi oleh Brooke. Provokasi yang mengakibatkan insiden pertengkaran di dalam bilik mandi. Brooke yang lebih kuat bertindak untuk menolak Savanna pada singki hingga menyebabkannya jatuh pengsan. Sungguh kejam apabila Brooke telah membelah dua perut Savanna dengan memakai pisau. Selesai melakukan aksi kejam itu, bayi Savanna pun dikeluarkan oleh Brooke. Keadaan Savanna waktu tersebut menjadi semakin lemah kerana kehilangan banyak darah. Dia akhirnya mati sejurus selepas William pulang ke rumah. Savanna dibunuh oleh William dengan cara cekikan leher menggunakan tali.

    Paling membuatkan keluarga Savanna rasa terkilan adalah fakta kecuaian pihak polis yang boleh terlepas pandang untuk menemui bayi dan mayat Savanna sewaktu melakukan pemeriksaan dalam apartment Brooke pada 19 dan 20 Ogos. Perkara ini telah membolehkan William untuk melakukan kerja-kerja pembuangan mayat Savanna pada 21 Ogos. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes tahun 2018, Brooke yang didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa sebarang peluang pembebasan secara bersyarat. Sementara itu, William yang bersubahat pula dipenjarakan selama 20 tahun.  Anak Savanna? Dia yang dinamakan sebagai Haisley Jo telah membesar dengan sihat. Haisley yang kini berusia 4 tahun tinggal bersama dengan bapanya.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SAVANNA GREYWIND : Anak Kau, Anak Aku"