KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SITI SAIDAH
Kisah pembunuhan kejam ini dilaporkan berlaku di Mapolres,
Karawang, Jawa Barat, Indonesia pada tahun 2017. Tahun itu, Muhamad Kholil
adalah seorang lelaki berusia 23 tahun yang bekerja sebagai pembantu am
pejabat. Isteri Kholil pula bernama Siti Saidah yakni seorang petugas pemasaran
kompleks perumahan yang berusia 21 tahun. Pasangan suami isteri yang tinggal di
rumah sewa tersebut mempunyai seorang anak lelaki yang dilahirkan pada tahun
2016. Walau bagaimanapun, anak mereka itu telah dijaga sepenuhnya oleh ibu bapa
Kholil. Perkara ini berikutan Kholil dan Siti yang terlalu sibuk dengan kerja
mereka.
Kholil dan Siti dikatakan telah berkenalan menerusi laman
media sosial Facebook sebelum melangsungkan perkahwinan pada tahun 2015.
Sewaktu awal perkahwinan tersebut, mereka berdua dilihat sebagai pasangan yang
romantik. Kholil dan Siti sering memuatnaik gambar dan video di laman media
sosial yang menunjukkan kebahagiaan rumah tangga mereka. Namun pada hakikat
sebenar, Kholil dan Siti adalah pasangan yang selalu bertengkar dengan tiada persefahaman
antara mereka. Kholil merupakan seorang pemarah di mana dia selalu memarahi serta
mengasari Siti untuk hal yang remeh temeh. Mengenai Siti, dia sebenarnya terpaksa
bekerja untuk membantu Kholil menyara kehidupan keluarga kecil mereka.
Kisah sebenar bermula pada malam 3 Disember 2017. Malam itu berlakunya pertengkaran besar antara Kholil dan Siti. Pertengkaran tersebut dikatakan berpunca daripada Siti yang telah mendesak Kholil untuk membeli kereta baru. Kholil bagaimanapun tidak bersetuju kerana perkara itu akan menambah beban perbelanjaan bulanan mereka. Siti yang tidak berpuas hati kemudian tidak berhenti membebel dan menghina ibu bapa Kholil sekaligus menimbulkan kemarahan Kholil. Entah apa yang merasuki Kholil, dia telah bertindak untuk memukul leher Siti dengan tangan sebanyak dua kali hingga menyebabkan isterinya itu jatuh tersungkur lalu menjadi lemah tidak bermaya. Seterusnya, Kholil yang masih marah pergi mengambil pita pelekat untuk dilekat pada hidung dan mulut Siti.
Setelah menyedari isterinya tidak lagi bernyawa, terdetik di
fikiran Kholil untuk melakukan aksi yang mengerikan. Kholil dalam keadaannya
menangis telah bertindak mengerat mayat Siti kepada tiga bahagian iaitu kepala,
badan dan kali dengan menggunakan parang. Seperkara harus diketahui, aksi
kerat mengerat ini dilakukan oleh Kholil pada dua hari selepas kejadian
pembunuhan. Selesai berbuat sedemikian, keratan mayat tersebut telahdibuang Kholil ke
dalam dua bungkusan plastik untuk dibuangnya di dua kawasan daerah yang
berbeza. Pada 6 Disember 2017, Kholil kembali semula ke lokasi pembuangan mayat
untuk melakukan kerja-kerja pembakaran mayat Siti bagi tujuan penghapusan
bukti.
7 Disember 2017, pihak polis di kawasan kejadian telah
menerima maklumat mengenai penemuan mayat badan manusia tanpa kepala dan kaki.
Rentetan daripada maklumat penemuan tersebut, maka pihak polis pun terus
melakukan siasatan dan pemeriksaan. Lima hari berikutnya, Kholil tiba-tiba
muncul di balai polis untuk membuat laporan kehilangan isterinya. Sewaktu pihak
polis menyoal siasat Kholil secara lebih mendalam, suami Siti itu mula menggelabah
dan memberikan keterangan yang berbeza-beza termasuklah tidak dapat untuk
membuktikan alibinya pada hari kejadian. Hingga pada akhirnya, Kholil yang
tidak mampu untuk terus berbohong telah mengaku melakukan pembunuhan,
pengeratan, pembakaran dan pembuangan mayat Siti. Selepas pengakuan tersebut dibuat,
Kholil disuruh menunjukkan satu lagi lokasi tempat dia membuang plastik keratan
mayat Siti.
Menerusi keterangan daripada Kholil, dia sudah tidak tahan dengan permintaan isterinya yang selalu meminta untuk dibelikan barangan mahal. Cerita Kholil lagi, dia kerap dihina oleh Siti yang bergaji lebih tinggi daripadanya. Gaji Kholil hanyalah sekitar 3.8 juta Rupiah (RM1140) sebulan, Siti pula bergaji 5 juta Rupiah (RM1500). Barang keperluan Siti juga semakin bertambah akan tetapi semuanya memakai duit Kholil. Selain itu, Siti suka berdandan di salon dan lebih gemar untuk makan di luar berbanding masak di rumah. Saat kemuncaknya apabila Siti menyuruh Kholil membeli kereta baru disebabkan pengaruh rakan-rakan isterinya itu yang sudah memiliki kereta. Semasa proses perbicaraan di mahkamah, Kholil mendakwa begitu menyesali dengan perbuatan membunuhnya dan sanggup untuk menerima apa jua hukuman termasuklah dihukum mati. Kesudahan kes, Kholil hanya menerima hukuman penjara selama 15 tahun 5 bulan.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SITI SAIDAH "