KISAH WU ZHIHENG : Pengorbanan Cinta yang Sia-sia
Setiap wanita pasti menginginkan yang terbaik dalam hidup
terutamanya dalam memilih pasangan untuk dijadikan sebagai suami. Lain orang,
lain citarasanya. Cuma bagaimana jika seseorang wanita mendapat jodoh dengan
seorang lelaki yang hampir sempurna daripada sudut segala-galanya. Dalam erti kata
lain, lelaki idaman yang cukup pakej seperti berwajah kacak, kaya-raya, setia dan
penyayang. Adakah semua itu akan menjamin kebahagiaan dalam kehidupan berumah
tangga. Boleh jadi ya dan keadaan juga boleh menjadi sebaliknya. Ingat, manusia
hanya mampu merancang dan Tuhan yang menentukan segala-galanya.
Wu Zhiheng adalah wanita berasal dari Hong Kong yang telah
dilahirkan pada tahun 1978. Dia bukan saja memiliki paras rupa yang sangat
cantik, bahkan juga cemerlang dalam bidang akademik. Maka tidak hairanlah Wu yang
merupakan satu-satu anak perempuan dalam keluarganya telah dapat melanjutkan
pelajaran ke salah sebuah universiti berprestij dunia iaitu Universiti Oxford. Pada
masa sama, Wu juga bergelar sebagai seorang model di mana dia sudah menceburi
dunia peragaan sejak dari usianya belasan tahun lagi. Ungkapan yang paling
sesuai untuk wanita seperti Wu, ‘Beauty With Brain’. Tentang keluarga Wu,
mereka berasal daripada golongan keluarga kelas pertengahan. Bapa Wu bukan
calang-calang orang, dia adalah salah seorang doktor perubatan yang terkenal di
Hong Kong.
Diringkaskan cerita yakni sewaktu Wu masih belajar di Universiti Oxford, dia telah menjadi rebutan ramai jejaka dek kerana kecantikannya. Hingga pada akhirnya, dia pun berkenalan dengan seorang lelaki jutawan tampan yang bernama Guo Yongchun. Mereka berdua kemudian saling jatuh cinta lalu menjadi pasangan kekasih. Pada tahun 2000, Wu dan Guo pun berkahwin atas dasar rasa cinta. Seperkara harus diketahui, perkahwinan mereka ini pada asalnya ditentang habis-habisan oleh ibu bapa Wu kerana Wu yang baru berusia 22 tahun waktu itu. Ibu bapa Wu merasakan Wu belum cukup matang untuk menempuh alam rumah tangga. Satu lagi penyebab tentangan berlaku, ibu bapa Wu tidak bersetuju dengan keputusan mengejut Wu untuk berhenti daripada belajar di Universiti Oxford. Bagi mereka, Wu sekurang-kurangnya perlu menamatkan pengajiannya terlebih dahulu sebelum berkahwin. Namun apakan daya, ibu bapa Wu terpaksa akur jua dengan keinginan Wu yang kuat untuk menjadi isteri kepada Guo.
Semasa awal perkahwinan tersebut, Wu benar-benar berasa
bahagia dengan layanan yang diberikan Guo. Dia dilayan bagaikan seorang puteri
dengan segala kemahuannya sentiasa dituruti oleh Guo yang sangat mencintainya.
Ramai orang memuji Wu kerana memiliki suami yang kaya seperti Guo. Begitu juga
dengan Guo yang sering menerima pujian daripada kenalannya atas sebab dapat beristerikan
seorang wanita model cantik lagi menawan. Sampai satu masa, Wu tekad untuk
menjadi seorang suri rumah sepenuh masa. Rentetan daripada perkara itu, Wu
telah berundur diri daripada dunia peragaan.
Bak kata pepatah, langit tidak selalu cerah. Satu hari, Wu telah ditegur oleh Guo mengenai berat badannya yang dilihat mengalami kegemukan. Guo menasihati Wu supaya cuba menurunkan berat badan hingga langsing seperti sebelumnya. Mendengar perkara tersebut, Wu yang berasa risau terus melakukan amalan diet pemakanan mengikut suka hatinya. Lagi teruk, dia mula mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat seperti menelan ubat terlarang dan merokok hingga membawa kepada komplikasi penyakit lain. Lama kelamaan, berat badan Wu turun dengan begitu mendadak sekaligus mencetuskan perubahan 180 darjah keadaan fizikalnya. Apabila dibawa berjumpa dengan doktor, Wu telah disahkan mengalami gangguan pemakanan yang disebut sebagai Anorexia Nervosa. Secara ringkasnya, Anorexia Nervosa merupakan penurunan berat badan yang disengajakan kerana rasa takut berlebihan pada kenaikan berat badan.
Demi menyelamatkan nyawa Wu, dia terpaksa menjalani
pembedahan selama beberapa kali untuk dikeluarkan sebahagian usus badannya. Paling
tidak disangka, Wu akhirnya diserang penyakit lumpuh yang telah memaksanya
untuk berkerusi roda. Mesti ada yang tertanya-tanya bagaimana dengan penerimaan
Guo terhadap penyakit Wu. Menyedari keadaan Wu yang tidak dapat untuk kembali
pulih seperti sediakala, Guo tekad untuk berpisah. Dua tahun setelah perpisahan
itu bersamaan dengan tahun kelapan perkahwinan mereka, pasangan tersebut
bercerai secara rasmi pada tahun 2008. Tidak lama selepas penceraian itu, Guo
telah mengahwini seorang artis wanita yang dikenali sebagai Yang Aijin. Hasil
perkahwinan kedua Guo tersebut, dia dikurniakan dua orang anak.
Lain pula ceritanya dengan Wu yang telah kembali tinggal bersama dengan ibu bapanya. Terdapat laporan yang mendakwa bahawa keadaan Wu kini beransur baik berbanding sebelum ini. Pendapat anda? Adakah memang benar wang segala-galanya? Sejauh mana pula kebenaran kata mutiara, “Cinta itu bukan daripada paras rupa akan tetapi datang daripada niat hati yang tulus dan ikhlas.”
Catat Ulasan for "KISAH WU ZHIHENG : Pengorbanan Cinta yang Sia-sia"